Menjelang sambutan Tahun Baru Cina, beberapa syarikat penerbangan menasihatkan penumpang supaya tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu pelepasan berikutan lonjakan jumlah perjalanan sempena musim perayaan.
Artikel Berkaitan: Bangunan Sultan Abdul Samad Dibuka Kepada ‘Public’, Masuk Percuma Sepanjang Februari!
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Mahu Percutian Lancar Tanpa Stres? Elak 5 Kesilapan Ini Ketika Melancong Ke Luar Negara
Lengkapkan daftar masuk secara dalam talian

Memetik kenyataan Malaysia Airlines, peningkatan mendadak jumlah penumpang dalam tempoh cuti dijangka menyebabkan kesesakan di kaunter daftar masuk, pemeriksaan keselamatan dan imigresen.
Selain itu, Batik Air Malaysia memaklumkan lapangan terbang di seluruh negara dijangka merekodkan trafik lebih tinggi daripada kebiasaan sepanjang tempoh puncak perjalanan.
Penumpang digalakkan bagi melengkapkan daftar masuk secara dalam talian sebelum tiba bagi mempercepatkan proses di lapangan terbang.
Penumpang dinasihatkan untuk tiba sekurang-kurangnya empat jam sebelum berlepas, dengan pas masuk sudah tersedia bagi memberi masa yang mencukupi untuk menurunkan bagasi, pemeriksaan keselamatan dan urusan di lapangan terbang yang lain.
Perancangan lebih awal membantu memastikan permulaan perjalanan anda lebih lancar dan santai.
Supaya anda boleh fokus pada yang penting pada musim perayaan ini.
Kaunter daftar akan ditutup 60 minit sebelum berlepas

Dalam pada itu, syarikat penerbangan Malaysia Airlines turut menggesa penumpang yang melakukan perjalanan antara 13 Februari hingga 22 Februari supaya hadir ke Terminal 1 KLIA sekurang-kurangnya empat jam lebih awal.
Ini membolehkan masa yang mencukupi untuk daftar masuk dan pengesahan dokumen di pelbagai ‘touchpoints’ perlepasan lapangan terbang.
Syarikat penerbangan tesebut turut memaklumkan bahawa kaunter daftar masuk akan ditutup 60 minit sebelum waktu berlepas bagi penerbangan domestik dan antarabangsa.
Di samping itu, bagi proses imbasan terakhir pas masuk ditetapkan 40 minit sebelum waktu berlepas untuk penerbangan domestik dan 50 minit bagi penerbangan antarabangsa, manakala pintu pelepasan akan ditutup 30 minit sebelum waktu berlepas.
Dalam keadaan trafik yang tinggi, masa menunggu di lokasi utama seperti kaunter daftar masuk, imigresen dan pemeriksaan keselamatan berkemungkinan melebihi 45 minit.
Sehubungan itu, penumpang disarankan untuk tiba tiga jam lebih awal bagi penerbangan antarabangsa dan dua jam bagi penerbangan domestik.
Sumber: Malaysia Airlines
The post Penumpang Diminta Tiba 4 Jam Lebih Awal Di Lapangan Terbang Susulan Cuti Tahun Baru Cina first appeared on OHBULAN!.





