Tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin, pelakon Indonesia, Oki Setiana Dewi sanggup menolak beberapa tawaran kerja bernilai tinggi daripada syarikat atau produk yang dikaitkan dengan Israel.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Intan Najuwa Semak Senarai Boikot Sebelum Beli Perkakas Dapur Jenama Antarabangsa – ‘Kalau Tersilap, Saya Akan Buang’
Solidariti Palestin

Oki, 36, berkata, keputusan itu dibuat bukan kerana tekanan mana-mana pihak, sebaliknya kesedaran peribadi untuk kekal istiqamah menyokong Gaza. Meskipun dia terpaksa melepaskan tawaran yang menjanjikan pulangan lumayan.
Banyak tawaran kerja yang terpaksa saya tolak walaupun bayarannya sangat lumayan. Sebagai manusia biasa, tentu saya perlukan wang untuk keperluan hidup dan pendidikan anak-anak.
Namun saya tidak sanggup menipu diri sendiri. Dalam hati, saya ingin membantu Gaza, jadi saya lakukan apa yang termampu.
Oki berkata demikian ketika ditemui di Majlis Tayangan filem Hayya 3: Gaza yang berlangsung di Pavilion Bukit Jalil, baru-baru ini.
Tambah Oki, walaupun pendiriannya menyokong Gaza sudah diketahui ramai, tetapi masih ada pihak yang tetap mendekatinya dengan tawaran lumayan.
Mereka tahu saya menyokong Gaza, tapi masih ada yang menawarkan pekerjaan dengan bayaran tinggi. Mungkin kerana mereka melihat saya sebagai figura Islam dan mahu melibatkan saya dalam projek mereka. Namun saya tetap berpegang pada pendirian saya.
Dalam perkembangan lain, Oki turut membintangi filem Hayya 3: Gaza yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 30 Oktober ini.
Filem arahan Jastis Arimba terbitan Warna Pictures and 786 Productions itu turut menampilkan pelakon seperti Amna Shahab, Azamy Shauqi, Cut Syifa, Adhin Abdul Halim dan ramai lagi.
The post Oki Setiana Dewi Tolak Tawaran Lumayan Kerjasama Produk Zionis – ‘Tidak Sanggup Tipu Diri Sendiri’ first appeared on OHBULAN!.





