
Pelakon Nora Danish mengakui belum tertutup pintu hati untuk berkahwin lagi biarpun sudah dua kali mengalami kegagalan rumah tangga.
Terbuka kahwin lagi

Sentiasa menaruh harapan dipertemukan jodoh yang baik, pemilik nama lengkap, Nora Danish Mohd. Haniff, 43, berkata, dia tak berasa serik mahupun trauma untuk berkahwin lagi.
Siapa sahaja tak mahu kahwin, kan? Memang saya nak sangat. Saya tak pernah putus harapan atau fobia dengan perkahwinan sebelum ini.
Semasa menunaikan umrah Februari lalu, saya berdoa supaya ditemukan dengan insan baik. Tapi apa pun biar saya perbaiki diri dahulu sebelum bertemu jodoh yang sesuai.
Mempelajari banyak ilmu menerusi perkahwinan terdahulu, Nora bagaimanapun berkata, dia masih belum mempunyai calon.
Katanya, dia mahu lebih berhati-hati memilih pasangan hidup dan dalam masa sama ingin memperbaiki diri ke arah kebaikan.
Kita tak sempurna, tapi apabila sudah faham agama, tentu kita mahu seseorang yang baik mampu membimbing ke arah kebaikan. Tapi sampai sekarang, belum ada calon lagi.
Dikenen dengan ustaz

Dalam pada itu, pelakon drama Puteri ini mendedahkan dirinya sering menjadi bahan usikan rakan-rakan setiap kali menghadiri kelas agama.
Bila kita single, pergi kelas agama memang ada yang suka mengusik. Kalau ada ustaz bujang, mesti ada yang cuba ‘kenen-kenenkan’.
Tapi saya tak terasa pun. Mungkin sebab dah biasa dengan gurauan orang. Kalau perkara baik, saya terima dengan hati terbuka.
Imbas kembali, Nora mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Nedim Mohamad Nazri, namun bercerai pada Jun tahun lalu selepas tujuh tahun hidup bersama. Pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl, 7.
Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan bercerai pada 2008. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal, 16.





