Hasrat untuk menyaksikan BTS secara langsung bertukar menjadi mimpi ngeri buat puluhan peminat apabila mereka dipercayai menjadi mangsa penipuan tiket konsert yang menyebabkan kerugian hampir RM96,000.
Kena scam beli tiket BTS

Memetik laporan Kosmo Online, sebanyak 41 kes telah direkodkan polis setakat ini, dipercayai melibatkan tawaran tiket palsu yang dijual menerusi media sosial menjelang BTS World Tour yang dijadualkan berlangsung pada Disember depan.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, kebanyakan mangsa tertarik dengan tawaran tiket yang diiklankan di media sosial sebelum jualan rasmi dibuka.
Penipu dipercayai menggunakan pelbagai helah untuk meyakinkan pembeli, termasuk mendakwa mempunyai laluan khas bagi mendapatkan tiket terhad serta akses awal kepada kategori premium.
Modus operandi yang dikenal pasti termasuk menawarkan tiket sebelum jualan rasmi atau pra-jualan, mendakwa mempunyai akses dalaman atau kuota khas.
Sindiket ini didapati menggunakan tangkap layar palsu sebagai bukti tempahan serta mengarahkan mangsa membuat bayaran melalui pindahan bank, DuitNow atau kod QR bagi tujuan kononnya untuk ‘mengunci’ tempahan tiket.
Bagaimanapun, selepas wang dipindahkan, tiket yang dijanjikan tidak diterima dan suspek gagal dihubungi.
Rusdi berkata, risiko penipuan dijangka meningkat selepas tiket rasmi habis dijual kerana ramai peminat tidak mahu melepaskan peluang menghadiri konsert tersebut.
Susulan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran tiket yang meragukan atau mendakwa mempunyai akses istimewa.
Tidak mudah mempercayai dakwaan memiliki akses khas, kuota dalaman atau tiket sebelum jualan rasmi dibuka. Menyemak kesahihan akaun bank dan nombor telefon melalui portal Semak Mule sebelum membuat sebarang transaksi,.
Dalam masa sama, mereka yang merasakan diri telah ditipu diminta segera menghubungi National Scam Response Center (NSRC) menerusi talian 997 bagi tindakan lanjut.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa yang boleh mengakibatkan kerugian kewangan.
Sumber: Kosmo Online
The post Nak Tengok BTS, Tapi Kena Scam! 41 Peminat Rugi Cecah RM96,000 first appeared on OHBULAN!.





