Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman, menjelaskan mengenai hukum membeli dan memakan yang ayam tidak disembelih mengikut syarak tanpa mengetahui status sebenar penyembelihan haiwan tersebut.
Artikel Berkaitan: Pejabat Islam Daerah Kuantan Jawab Isu Viral Video Sembelih Ayam Belakang Kedai
Hukum dalam Islam

Memetik laporan Sinar Harian, Mohd Sukki berkata, umat Islam yang berdepan situasi tersebut tidak berdosa kerana Islam tidak menghukum sesiapa jika kekhilafan yang dilakukan tidak disengajakan.
Seseorang yang memakan makanan haram dalam keadaan benar-benar tidak mengetahui hakikatnya tanpa unsur kesengajaan atau kecuaian yang disengajakan, tidak berdosa atas perbuatan tersebut.
Menurut Mohd Sukki, begitu juga bagi umat Islam yang membeli ayam di restoran halal, namun tidak mengetahui status penyembelihan, mereka tidak akan menanggung dosa bagi makanan yang telah dimakan tersebut.
Bagaimanapun, jika seseorang dengan sengaja makan haiwan yang sudah diketahui status penyembelihannya tidak mengikut syarak, maka perbuatan tersebut adalah berdosa dan wajib bertaubat pada Allah SWT.
Tidak timbul juga persoalan bahawa tubuh badan seseorang menjadi najis atau ibadahnya tidak diterima semata-mata kerana pernah termakan makanan tidak halal tanpa pengetahuan.
Bagaimanapun, apabila seseorang telah mendapat maklumat sahih bekalan ayam itu tidak halal, dia wajib berhenti daripada memakannya.
Justeru, Mohd Sukki menggesa agar umat Islam peka terhadap isu berkenaan dengan mengambil tahu tentang sumber makanan mereka.
Antara langkah wajar diamalkan pengguna Islam ialah mengutamakan premis dan pembekal yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah, khususnya ketika membeli ayam dan daging telah diproses.
Selain itu, pengguna disaran menyemak status halal menerusi saluran rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau pihak berkuasa agama negeri dan tidak hanya bergantung kepada logo atau pengakuan penjual.
Dalam masa yang sama, Mohd Sukki menegaskan bahawa setiap umat Islam seharusnya memastikan dengan jelas sumber bekalan makanan yang dibeli, agar tidak timbul perkara tidak diingini.
Jangan mudah terpengaruh dengan harga terlalu murah sehingga mengabaikan persoalan sumber dan kaedah penyembelihan.
Elakkan juga pembelian daripada sumber yang mempunyai keraguan berasas, khususnya apabila terdapat maklumat boleh dipercayai mengenai pelanggaran hukum syarak.
Terdahulu, media melaporkan sebuah gudang penyembelihan dan pemprosesan ayam mentah di Puchong yang memproses 40,000 ekor ayam sehari telah diserbu dan didakwa tidak mematuhi syarak.
Ayam berkenaan dipercayai telah diedarkan ke kedai runcit, restoran dan premis perniagaan di kawasan Puchong, Putrajaya, Cyberjaya, Damansara, Cheras serta Bangi.
Sumber: Sinar Harian
The post Mufti Perjelas Hukum Termakan Ayam Tak Disembelih Ikut Syarak first appeared on OHBULAN!.





