Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun membela diri atas pertuduhan membunuh rakan sekolahnya di SMK Bandar Utama Damansara (4) pada tahun lalu.
Hakim Adlin Abdul Majid menyampaikan keputusan itu dalam prosiding tertutup pagi tadi memandangkan tertuduh adalah seorang bawah umur, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan bukti kredibel yang membuktikan elemen penting kesalahan tersebut. Keputusan itu dibuat di akhir peringkat pendakwaan.
Pihak media dimaklumkan mengenai keputusan mahkamah itu oleh peguam remaja berkenaan, Kitson Foong.
Remaja itu didakwa atas kesalahan tersebut di mahkamah majistret Petaling Jaya pada 22 Oktober tahun lalu. Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan pada waktu itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Remaja itu kemudian mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut apabila kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Februari tahun ini.
Mangsa, Yap Shing Xuen, ditikam hingga mati di tandas perempuan di sekolahnya di Bandar Utama, Selangor pada 14 Oktober.





