Kalau selama ini isu kelestarian sering dikaitkan dengan pengurangan plastik atau penggunaan tenaga hijau, sektor komunikasi dan multimedia juga tidak terkecuali dalam agenda tersebut.
Terbaharu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan LESTARI: Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030 (SFR2030) bagi menetapkan hala tuju kelestarian sektor telekomunikasi, penyiaran serta pos dan kurier sehingga 2030.
Pelancaran itu dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil di Kuala Lumpur pada 28 September 2026.
Sasar 15 juta peranti diurus secara lestari

Menerusi LESTARI, MCMC bersama syarikat dan organisasi dalam sektor ini akan melaksanakan pelbagai inisiatif demi manfaat rakyat dan alam sekitar.
Antara fokus utama adalah mengurangkan sisa elektronik atau e-sisa dengan memastikan peranti yang masih boleh digunakan dibaik pulih, digunakan semula atau dinaik taraf.
Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan pembaziran sumber, malah boleh membantu menurunkan kos pemilikan peranti dan memperluas akses kepada teknologi, khususnya dalam kalangan golongan rentan dan berpendapatan rendah.
Menjelang 2030, LESTARI menyasarkan 15 juta peranti diurus secara lestari menerusi penggunaan semula, naik taraf, penggantian kepada teknologi lebih cekap serta kitar semula secara bertanggungjawab.
Pada masa sama, pelbagai program impak sosial yang dilaksanakan MCMC bersama pemain industri dijangka memberi manfaat kepada 5 juta rakyat.
Tiga teras utama LESTARI

Dibangunkan bersama industri menerusi sesi libat urus yang melibatkan 116 peserta daripada 47 organisasi, LESTARI menggariskan tiga teras utama.
- Kelestarian Iklim dan Alam Sekitar – Fokus kepada kecekapan tenaga, pengurangan pelepasan karbon, tenaga boleh baharu, ekonomi kitaran serta daya tahan infrastruktur.
- Impak Sosial dan Keterangkuman – Melibatkan aspek keterangkuman, keselamatan, kemahiran dan kesejahteraan rakyat.
- Teknologi dan Inovasi – Menggalakkan penggunaan teknologi, kecerdasan buatan (AI) serta inovasi rendah karbon bagi mempercepatkan penyelesaian berkaitan kelestarian.
Pelaksanaan LESTARI juga akan dipantau secara berkala berdasarkan sasaran dan petunjuk yang dipersetujui bersama industri bagi memastikan setiap inisiatif mencapai hasil yang ditetapkan.
Kerjasama industri diperkukuh menerusi NZCA

Selain LESTARI, Net Zero & Circularity Alliance (NZCA) turut diperkenalkan sebagai platform kerjasama industri.
Platform ini memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan pelepasan karbon serta memperluas pengumpulan, penggunaan semula dan kitar semula peranti secara lebih tersusun.
Sebagai tanda komitmen awal terhadap agenda kelestarian sektor komunikasi dan multimedia, sebanyak 15 organisasi daripada pelbagai segmen ekosistem digital turut menandatangani ikrar sokongan kepada LESTARI dan NZCA.
Secara keseluruhannya, inisiatif ini menyokong aspirasi sektor komunikasi dan multimedia ke arah pelepasan gas rumah hijau sifar bersih seawal 2050, di samping memperkukuh ekonomi kitaran dan akses kepada teknologi yang lebih mampu milik.
Pelaksanaan LESTARI juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13, National Energy Transition Roadmap (NETR) serta komitmen iklim Malaysia.
The post LESTARI Pacu Sektor Komunikasi & Multimedia Ke Arah Lebih Lestari Menjelang 2030 first appeared on OHBULAN!.





