Siapa sangka sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 yang berlangsung selama tiga hari di MITC, Ayer Keroh Melaka baru-baru ini mencatatkan angka yang cukup membanggakan.
Dengan kehadiran lebih 58,000 pengunjung, acara ini bukan sahaja berjaya capai matlamat, tapi turut membuktikan koperasi masih relevan dan semakin diyakini rakyat.

Mengangkat tema “Koperasi Memperkasa Komuniti, Membina Negara MADANI”, penganjuran HKN 2025 selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ekonomi rakyat menerusi pembangunan koperasi sebagai pemacu utama di peringkat akar umbi.
Antara pencapaian paling ketara sepanjang acara ini ialah nilai jualan koperasi dan usahawan yang direkodkan mencecah lebih RM1 juta, manakala potensi jualan yang diunjurkan pula melebihi RM21 juta.
Ia merupakan satu impak ekonomi yang cukup besar kepada ekosistem koperasi negara.
Sambutan luar biasa, melepasi sasaran awal

Dengan sasaran awal 50,000 orang, kehadiran seramai 58,114 pengunjung jelas menunjukkan sambutan yang sangat positif dari pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya komuniti B40 yang menjadi antara tumpuan utama program ini.
Lebih menarik, program MyFutureJobs On The Go yang diadakan sepanjang acara turut menerima penyertaan seramai 655 orang pencari kerja, memberi akses terus kepada peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat terlibat.
Gerakan koperasi semakin kukuh, anggota cecah 7.2 juta

Setakat ini, gerakan koperasi di Malaysia terus mencatatkan perkembangan yang memberangsangkan dengan kehadiran 16,284 koperasi aktif meliputi pelbagai sektor ekonomi.
Lebih 7.2 juta ahli atau hampir satu perlima rakyat Malaysia kini merupakan sebahagian daripada keluarga koperasi menunjukkan satu angka yang membuktikan penerimaan masyarakat terhadap model ini.
Tak cukup dengan itu, sektor koperasi juga berjaya mencatat jumlah perolehan mencecah RM68.1 bilion, manakala aset terkumpul keseluruhan mencecah RM173 bilion, hasil gabungan modal syer dan yuran keanggotaan sebanyak RM18.3 bilion (setakat tahun 2024).
Koperasi, lebih dari sekadar perniagaan
Melalui pelbagai aktiviti sepanjang HKN 2025, jelas terbukti koperasi bukan sekadar satu bentuk perniagaan, tapi satu gerakan yang mampu memperkasakan komuniti secara holistik dari segi ekonomi, sosial dan pembangunan insan.
Dengan pencapaian dan sambutan yang sangat positif tahun ini, tak mustahil HKN seterusnya bakal membawa impak yang lebih besar dan menyeluruh untuk rakyat Malaysia.
The post Lebih 58,000 Kunjungi HKN 2025, Jualan Cecah RM21 Juta first appeared on OHBULAN!.





