Legenda rock tanah air, Datuk Awie, bakal mencatat satu lagi detik bersejarah menerusi konsert berskala besar Awie Rock King – Last Man Standing yang dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 September 2026.
Artikel Berkaitan: Awie Akui Amy Search Lebih Layak Pegang Gelaran ‘Raja Rock Negara’ – ‘Dia Yang Patut Diangkat Sebagai Godfather’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Isteri Minta Bawa Jumpa Erra Fazira’ – Awie
Konsert Awie

Konsert berskala mega yang dianjurkan oleh Bombbay Legend Worldwide bersama Ultimate Media ini bakal menampilkan persembahan solo epik Awie, yang merangkumkan empat dekad perjalanan kerjayanya sebagai penyanyi dan artis rakaman profesional dalam industri muzik tanah air.
Konsert yang dijadualkan bermula pada jam 8.30 malam itu turut dijangka menjadi antara persembahan paling bersejarah dalam industri muzik tempatan, dengan gabungan elemen muzik, naratif serta produksi berskala besar di sebuah pentas ikonik.
Pengarah Eksekutif Bombbay Legend Worldwide, Zamberi Shaari atau Bombay berkata, ini bukan kali pertama dia bekerjasama dengan Awie dalam penganjuran konsert berskala besar.
Dari era Wings, kemudian ke perjalanan solo Awie, sehingga kembali ke pelbagai fasa evolusi seni beliau, kami sering bekerjasama dan kolaborasi ini telah membentuk satu chemistry yang kuat dan kukuh dalam meningkatkan taraf dan mutu setiap persembahan konsert yang kami lakukan bersama.
Tajuk “Last Man Standing” membawa simbolik kepada perjalanan seni Awie yang penuh keteguhan melalui jatuh bangun, perubahan era serta transisi daripada kumpulan ke solo dan pelbagai fasa dalam industri muzik.
Dalam apa jua keadaan, dia tetap berdiri teguh di atas pentas, mempertahankan identiti dan bahasa seninya yang tidak pernah pudar.
Sementara itu, Awie menyifatkan konsert ini sebagai satu penghargaan besar terhadap perjalanan seninya yang telah mencecah lebih empat dekad dalam industri muzik tanah air.
Menurut pelantun lagu Ratuku itu, konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah refleksi kepada jatuh bangun serta evolusi yang telah dilalui sepanjang kariernya.
Awie turut meluahkan rasa terharu dengan sokongan peminat yang tidak pernah putus sejak era awal bersama Wings, perjalanan solo dan sehingga kini. Baginya, setiap fasa tersebut membentuk dirinya sebagai seorang anak seni yang lebih matang dan kuat dalam menghadapi perubahan industri muzik.
Perjalanan seni

Konsert ini turut menampilkan puluhan pemuzik berpengalaman serta barisan penyanyi undangan popular dan terkemuka yang akan membawa mesej penghargaan sebagai sebuah tribute kepada perjalanan seni Awie.
Penglibatan artis jemputan ini menggabungkan generasi lama dan baharu, dengan setiap penyanyi mempersembahkan karya-karya ikonik Awie sebagai tanda penghormatan terhadap legasinya.
Susunan repertoir konsert pula dirancang bagi membawa penonton menyelusuri evolusi muziknya, dengan gabungan elemen nostalgia dan sentuhan moden, sekali gus mencipta pengalaman yang lebih dinamik dan bermakna pada setiap segmen persembahan.
Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan tiket anda! Pembelian tiket boleh dibeli secara dalam talian iaitu dengan serendah RM98 hingga RM5,998 di platform iLasso Tickets.
The post Konsert Solo Terbesar ‘Awie Rock King – Last Man Standing’ Janjikan Persembahan Ikonik, Raikan 40 Tahun Legasi Seni first appeared on OHBULAN!.





