Dalam era yang semakin mencabar dengan lambakan hiburan tanpa sempadan, satu program istimewa bakal menghimpunkan masyarakat dalam sebuah malam yang penuh dengan penghayatan cinta kepada Rasulullah SAW menerusi penganjuran Konsert Malam Qolbu yang dijadual berlangsung pada 24 Ogos ini di Idealive Kuala Lumpur.
Artikel Berkaitan: ‘UNIC Trauma Dengan Apa Yang Terjadi’ – Bazli
Artikel Berkaitan: Fitri Haris Buat Laporan Polis, Penganjur Konsert ‘This Is UNIC’ Didakwa Belum Lunaskan Bayaran
Barisan artis terkenal

Konsert ini diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul, ianya bukan sekadar berteraskan muzik Islamik, malah membawa misi yang lebih besar iaitu mengajak umat Islam mengingati dan meneladani junjungan agung Nabi Muhammad SAW yang telah menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia.
Menurut wakil penganjur, idea penganjuran Konsert Malam Qolbu tercetus daripada rasa tanggungjawab serta kecintaan terhadap Rasulullah SAW, yang dirasakan wajar disampaikan melalui medium yang lebih dekat dengan masyarakat masa kini.
Kami melihat penganjuran ini sebagai satu amanah yang sangat besar.
Tanpa Rasulullah SAW, kita tidak akan mengenal Islam seperti hari ini.
Maka menjadi satu kebanggaan buat kami apabila diberi peluang untuk menganjurkan sebuah majlis yang mengajak masyarakat berselawat, mengenang sirah Baginda dan menyemarakkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW.
Mungkin usaha ini kecil, tetapi jika ia mendapat keredaan Allah dan menjadi sebab kita memperoleh syafaat Rasulullah SAW, maka itu adalah sesuatu yang amat bernilai buat kami.
Tambahnya lagi, masyarakat juga disaran menjadikan kehadiran ke Konsert Malam Qolbu sebagai satu bentuk pelaburan rohani yang mampu memberi manfaat berpanjangan, selain menjadi medan untuk memperkayakan jiwa dengan pengisian yang bermanfaat.
Dalam kehidupan ini kita sentiasa melabur untuk dunia.
Namun sesekali, marilah kita melabur untuk saham akhirat.
Setiap selawat, setiap doa, setiap ilmu dan peringatan yang diperoleh pada malam tersebut mudah-mudahan menjadi amal yang berpanjangan dan memberi ganjaran yang berlipat ganda.
Dengan mengangkat tema Islamik Nusantara Musik, konsert ini bakal menampilkan barisan artis terkenal seperti Opick, Mawi, Rabbani, UNIC dan The Rayhan.
Selain itu, persembahan yang disusun turut diperkukuhkan dengan elemen penceritaan yang menyentuh emosi menerusi Gimik Pembukaan Sirah & Cahaya, segmen Interlude Pantomim dan Visual Poetry serta penutup yang penuh bermakna melalui alunan Selawat Nabi yang menyatukan seluruh hadirin.
Rasa cinta kepada Rasulullah SAW

Dalam pada itu, pihak penganjur turut berharap Konsert ini mampu menjadi pencetus kepada perkembangan baharu dalam industri hiburan Islamik tanah air serta membuktikan bahawa program yang membawa mesej dakwah dan kecintaan kepada Rasulullah SAW masih mempunyai tempat yang kukuh dalam kalangan masyarakat, termasuk generasi muda.
Di negara jiran seperti Indonesia, program dan konsert Islamik mampu mendapat sambutan luar biasa sehingga disiarkan secara langsung di televisyen dan mendapat rating yang tinggi.
Kami percaya Malaysia juga mempunyai masyarakat yang dahagakan pengisian sebegini.
Anak-anak muda hari ini bukan sahaja mampu menganjurkan acara hiburan, malah mampu menjadi penggerak kepada program yang membawa manfaat kepada ummah.
Sebagai edisi pertama penganjurannya, Konsert Malam Qolbu berperanan sebagai platform yang memperkukuhkan hubungan masyarakat dengan nilai-nilai Islam melalui pendekatan seni yang mendidik, menyentuh hati dan memperkukuhkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW .
Dalam masa sama, konsert ini juga diharapkan dapat menyemai serta meningkatkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW, sekali gus memelihara keimanan dan memperdalam penghayatan Islam dalam kehidupan seharian.
Di samping itu, tiket konsert ini boleh diperoleh melalui Ticketmelon dan Fantopia dengan harga bermula dari RM250 hingga RM350, manakala harga istimewa turut ditawarkan kepada pelajar menerusi platform yang sama.
Konsert Malam Qolbu merupakan hasil kerjasama antara Duyufurrahman Travel & Tours Sdn Bhd dan Aftermusic Project bersama rakan strategik mereka, Laskar Entertainment.
Kerjasama tiga pihak ini bertujuan merealisasikan sebuah acara yang bukan sahaja menawarkan hiburan, malah menjadi medium penyampaian mesej dakwah, kerohanian serta kecintaan kepada Rasulullah SAW kepada masyarakat.
Duyufurrahman turut diperkuatkan dengan kehadiran tenaga muda yang berpengalaman dalam industri Haji dan Umrah, termasuk Mualim Muda Anas serta Mualim Muda Ashraf yang membawa pendekatan lebih dekat dengan masyarakat melalui gaya penyampaian yang mesra dan berjiwa pendakwah dalam setiap inisiatif yang dijalankan.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut serta membuat pembelian tiket, orang ramai boleh melayari laman rasmi Ticketmelon dan Fantopia.
The post Konsert Malam Qolbu Dekatkan Generasi Muda Dengan Rasulullah SAW Sempena Maulidur Rasul first appeared on OHBULAN!.





