Band popular dari Indonesia, Letto berjaya memukau lebih 2000 orang peminat mereka menerusi Konsert Letto 20th Anniversary yang bertempat di Zepp Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Persembahan penuh puitis
Panggung konsert tersebut dibuka kira-kira jam 8.00 malam dimulakan dengan persembahan penyanyi, Dalia Farhana menerusi lagu Rumah dan Masih Di Bawah Langit Yang Sama.
Sorak sorai penonton mula didengari selepas kumpulan Letto mengambil alih pentas dengan mendendangkan lagu bahasa Inggeris yang berjudul ‘Love Bird’.
Susana makin gamat apabila peminat bersama-sama ‘sing along’ lagu-lagu hits kumpulan Letto seperti Sandaran Hati, Ruang Rindu, Permintaan Hati dan Sebelum Cahaya. Letto pada malam tersebut membawa sebanyak 17 buah lagu yang pernah dipopularkan mereka sepanjang 20 tahun berada di dalam industri muzik.
Bukan itu sahaja, Letto yang dianggotai oleh Noe (vokalis), Cornel (gitar), Patub (gitar), Widi (keyboard), dan Dhedot (dram) pandai mengambil hati peminat di negara ini dengan menyanyikan lagu-lagu nostalgia iaitu Suci Dalam Debu (Iklim) dan Isabella (Search).
Paling menarik perhatian adalah paparan lirik di skrin yang sangat puitis dan kami percaya ianya telah mengubat hati peminat yang sedang galau.
Alunan gamelan yang memukau
Sementara itu, ketika ditemui seusai konsert, vokalis kumpulan tersebut berkata mereka membawa tujuh orang pemuzik gamelan jawa dari Jojjakarta untuk memberi ‘vibes’ yang berbeza kepada penonton.
Kami ketika di sekolah menengah lagi membuat persembahan gamelan, jadi itu adalah perjalanan kami. Letto dalam sejarahnya memang sering memasukkan unsur etnik.
Kami sudah berkali-kali membuat persembahan bersama kumpulan gamelan ini tetapi untuk persembahan seperti malam tadi terutama dari susunan lagu ianya adalah pertama kali.
Dalam masa yang sama, mereka bersyukur kerana mendapat sambutan luar biasa daripada peminat di Malaysia.
Alhamdulillah dengan jumlah penonton yang ramai, diharapkan kami tidak mengecewakan mereka.