Bintang K-Pop terkenal, Kim Jae Joong mengumumkan bakal singgah ke Singapura bagi menjayakan siri jelajah Asia terbaharunya.
J-Party Asia Tour Fan Concert

Konsert Kim Jae Joong J-Party Asia Tour Fan Concert ‘Galaxy 1986’ dijadualkan berlangsung pada hari Sabtu, 28 Mac 2026, bertempat di Arena @ EXPO bermula jam 7.30 malam.
Lebih menarik, ini merupakan konsert solo pertamanya di Singapura sepanjang bergelar anak seni.
Memulakan langkah dalam industri pada tahun 2003, Jae Joong bukan sahaja berjaya membuktikan kehebatannya sebagai artis solo dalam genre rock dan pop, malah turut memahat nama sebagai pelakon menerusi pelbagai drama dan filem Korea popular.
Pemilihan konsep ‘Galaxy 1986’ pula bukanlah satu kebetulan, sebaliknya ia diilhamkan daripada tahun kelahiran bintang ikonik ini.
‘Galaxy 1986’ melambangkan perjalanan seninya yang kini mencecah usia 23 tahun, sekaligus menjadi simbolik kepada hubungan akrab dan utuh bersama peminat yang sentiasa menjadi tunjang sokongan sepanjang dua dekad yang lalu.
Lebih istimewa, acara fan-con ini mengekalkan tradisi eksklusif J-Party dengan menyediakan sesi interaksi khas yang sangat dinantikan.
Harga tiket

Antara kelebihan yang ditawarkan termasuklah peluang untuk menyertai sesi Sound Check dan Hi-Bye, serta berpeluang membawa pulang cenderamata seperti poster bertandatangan, kad foto, foto polaroid dan sesi foto berkumpulan.
Tiket bagi menyaksikan persembahan hebat ini ditawarkan pada beberapa kategori harga bermula daripada SGD128 sehingga SGD278 untuk kategori VIP.
Sesi jualan pra-tiket akan bermula pada 21 Januari 2026 jam 12.00 tengah hari melalui platform DAMAI dan MAISEAT.
Manakala, jualan umum pula akan dibuka keesokan harinya, 22 Januari 2026, bermula jam 10.00 pagi menerusi semua saluran rasmi SISTIC.
Untuk sebarang maklumat terkini dan butiran lanjut, peminat disarankan untuk mengikuti akaun Instagram rasmi Sliding Doors Entertainment.
The post Kim Jae Joong Bakal Gegar Singapura Menerusi J-Party Asia Fan Concert ‘Galaxy 1986’ Mac Depan first appeared on OHBULAN!.





