Episod hitam selepas ditamatkan kontrak oleh syarikat rakaman pada tahun lalu tidak menjadi penghalang buat penyanyi Kaka Azraff meneruskan karier nyanyiannya.
Sudah ‘move on’
Menurut Kaka, dia sudah ‘move on’ dan bergerak sendiri. Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff memberitahu pada awalnya dia kurang keyakinan diri, namun semangatnya melonjak apabila mendapat sokongan positif daripada pelbagai pihak.
Alhamdulillah, sekarang saya semakin yakin untuk bergerak sendiri dalam karier nyanyian walaupun tidak lagi dinaungi syarikat rakaman dan rezeki tawaran menyanyi pun tidak putus diterima.
Saya juga mendapat banyak peluang untuk meluaskan karier seni sejak bergerak sendiri, antaranya merancang untuk menerbitkan album penuh kerana selama 12 tahun tahun dalam industri, saya masih belum ada album.
Disoal mengenai sejauh mana ibu saudaranya, Ella memberi sokongan selepas apa yang berlaku, Kaka berkata, ratu rock itu sangat menyokong tindakannya dan yakin dia boleh bergerak sendiri.
Ella sangat menyokong saya dan katanya, tak mengapa teruskan usaha. Jadi, sekarang memang saya sangat bersemangat dalam menguruskan karier seni.
Tambah Kaka yang ditemui pada Program Bual Bicara: Menangani Krisis, Membina Reputasi anjuran Pelajar Sarjana Pengurusan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), dia turut menerima tawaran daripada syarikat rakaman lain.
Bukan itu sahaja, Kaka bersyukur apabila Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sudi menerima kunjungannya bagi membincangkan mengenai hala tuju dalam karier muziknya.
Pertemuan itu bagi mendapatkan nasihat atas apa yang sudah berlaku. Jadi, saya amat bersyukur dan gembira sebab tahu saya tidak keseorangan berhadapan situasi berkenaan.
Menteri cuma mahu dengar daripada pihak saya apa yang terjadi dan selebihnya mengenai apa yang saya perlu lakukan dalam karier pada masa akan datang.