
Dua pelajar Malaysia iaitu Athena Siow dan Namira Lee Tzu berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Muda di Harvard College.
Athena Siow, Namira Lee Tzu lanjut pengajian

Athena Siow yang berasal dari Kuala Lumpur merupakan penerima biasiswa Yayasan UEM telah mengambil jurusan Sains Politik (Data Science Track).
Athena dikenali sebagai seorang yang aktif dan pernah mewakili Malaysia di Conference of Youth di COP 2023 di Dubai. Bukan itu sahaja, gadis ini juga melatih lebih 13,000 pelajar melalui program Girl Guide dan juga melatih pemain catur muda.
Manakala, Namira yang berasal dari Kuala Terengganu merupakan lulusan SMK Chung Hwa Wei Sin dan penerima biasiswa PNB Global.
Gadis ini akan melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains dan Kejuruteraan Alam Sekitar. Kecintaannya terhadap pemuliharaan alam bermula dengan penyertaannya dalam Southeast Asia Youth Leadership Programme di AS.
Dia berjaya mendapatkan geran untuk projek pemuliharaan penyu bersama WWF dan memperluaskannya ke sekolah-sekolah luar bandar selain terlibat dalam inisiatif pendidikan seperti BASE Initiative.
Harvard Financial Aid Initiative

Harvard College terus mengekalkan dasar kemasukan need-blind bagi semua pemohon dengan menawarkan bantuan kewangan yang besar kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
Bermula tahun akademik 2025-2026, Harvard akan memberikan pengajian percuma kepada pelajar dari keluarga berpendapatan $100,000 (RM470,000) ke bawah, termasuk yuran pengajian, makanan, penginapan, insurans kesihatan dan kos perjalanan.
Lebih 25% pelajar Harvard berasal daripada keluarga dalam kategori ini. Sementara itu, pelajar dengan pendapatan keluarga $200,000 (RM940,000) ke bawah akan menerima yuran pengajian percuma serta bantuan tambahan bergantung kepada keadaan kewangan mereka.
Setiap tahun, sekitar 55% pelajar Harvard menerima biasiswa berdasarkan keperluan kewangan, mengurangkan kos tahunan purata kepada $13,000 (RM61,000) untuk keluarga yang layak.
Sejak pelancaran Harvard Financial Aid Initiative pada 2005, universiti ini telah menyalurkan lebih $3 bilion (RM14 bilion) dalam bentuk bantuan kewangan.
Pengumuman ini dibuat sebagai sebahagian daripada usaha Harvard untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses oleh lebih ramai pelajar berbakat tanpa mengira latar belakang kewangan.





