Malam penuh bintang kembali lagi! Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bakal menghimpunkan nama-nama besar industri muzik Malaysia dalam satu pentas.
Lebih menarik, edisi kali ini mencipta sejarah apabila AIM25 buat pertama kalinya berlangsung di Sarawak selepas 25 tahun penganjurannya.
Daripada persembahan eksklusif hingga kolaborasi istimewa, macam-macam kejutan bakal menanti. Persoalannya, siapa pula yang bakal bawa pulang trofi malam ini?
AIM25 pertama kali berlangsung di Sarawak

Bertempat di Borneo Convention Centre Kuching, Sarawak, AIM25 bakal berlangsung pada 26 September 2026, Sabtu.
Penganjuran oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan TVS ini bukan sahaja membawa kemeriahan AIM ke Borneo, malah memberi peluang kepada penonton di seluruh negara untuk meraikan kepelbagaian muzik tempatan.
Lebih istimewa, AIM25 turut membuka ruang kepada bakat dari seluruh Malaysia, khususnya dari Sabah dan Sarawak, untuk mendapat pengiktirafan di pentas nasional.
Bukan itu sahaja, dua kategori baharu turut diperkenalkan tahun ini iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik, selain 32 kategori yang dipertandingkan.
Barisan bintang bakal gegarkan pentas AIM25
AIM25 bakal menampilkan barisan artis popular tanah air termasuk Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Akim Ahmad, Hael Husaini, Marsha Milan, Amir Masdi, Adira Suhaimi, Hafiz Suip dan Hujan.
Dengan gabungan nama besar serta bakat daripada pelbagai latar muzik, pastinya ada persembahan yang bakal menjadi antara momen paling diingati sepanjang AIM25.
Lebih menarik, acara ini bakal dikendalikan oleh Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya, manakala Sheera Abg Mansoor, yang juga wartawan, hos, pembaca berita dan editor TVS, akan mengendalikan karpet merah AIM25.
Siapa bakal bawa pulang trofi?
Selain persembahan, debaran pastinya tertumpu kepada 32 kategori yang dipertandingkan pada AIM25.
Bagi memastikan karya yang dipertandingkan dinilai daripada pelbagai sudut, AIM25 turut menghimpunkan barisan juri berpengalaman yang diketuai Ajai selaku Ketua Juri.
Antara nama yang turut berada dalam barisan juri ialah Datuk Syafinaz, Ernie Zakri, Hael Husaini, Hafiz Hamidun, Loque, Mark Adam, Saari Amri, Sharon Paul dan Tomok, selain ramai lagi penggiat industri muzik tempatan.
Jadi, siapakah yang bakal membawa pulang trofi dan siapakah pula yang bakal mencuri perhatian menerusi persembahan paling epik?

Sesi Sidang Media AIM25 yang berlansung di Kuala Lumpur baru-baru ini.AIM25 bawa kemeriahan ke seluruh negara
Kemeriahan AIM25 turut mendapat sokongan Rakan Radio Rasmi iaitu CATS FM, Era FM, Hitz FM, MY FM dan Raaga FM.
Kesemua rakan radio berkenaan bakal menyemarakkan lagi suasana menerusi liputan khas di platform masing-masing untuk dinikmati peminat muzik di seluruh Malaysia.
Paling penting, anda tak perlu risau kalau tak dapat hadir ke Kuching kerana keseluruhan acara boleh disaksikan secara langsung menerusi TVS.
Karpet merah bermula 8.00 malam menerusi platform media sosial TVS (@tvs__entertainment) di Facebook, Instagram dan TikTok serta aplikasi TVS Inspire.
Manakala siaran langsung AIM25 bermula 8.30 malam menerusi TVS Saluran 122 di MYTV, Unifi TV dan Astro, selain aplikasi TVS Inspire.
Jadi, dah bersedia untuk malam penuh muzik, kejutan dan kemenangan?
Saksikan Malam Kemuncak Segala-galanya secara langsung di TVS pada 26 September 2026! #TVS #TVSarawak #AIM25diTVS122 #AIM25 #AnugerahIndustriMuzik
The post Debaran AIM25 Bermula! Raikan 25 Tahun Muzik Malaysia Dengan Persembahan Eksklusif Di TVS first appeared on OHBULAN!.





