Perkongsian dan luahan penyanyi Ernie Zakri di laman Threads telah menyorot perhatian ramai.
Artikel Berkaitan: ‘Sejambak Bunga’ Lagu Kebangkitan Ernie Zakri
Artikel Berkaitan: Ernie Zakri Pertaruh Emosi Dalam ‘Tak Berlagu’, OST Filem Khadam
Luahan Ernie

Menurusi sebuah hantaran, Ernie atau nama lengkapnya, Nur Ernie Shahirah Zakri meluahkan rasa kecewa berikutan terdapat segelintir pihak yang kurang senang dengan kejayaan yang diperolehnya sebagai anak seni.
Menurut Ernie, meskipun dirinya sudah berusaha sebaik mungkin untuk menghasilkan sesebuah karya, namun masih ada yang menganggap ia belum cukup baik.
Kadang-kadang, saya penat untuk berkarya. Bukan kerana sudah tiada apa yang mampu saya berikan, tetapi kerana entah bagaimana, sebanyak mana pun saya curahkan dalam karya saya, akan sentiasa ada seseorang yang merasakan ia masih belum cukup.
Walaupun pencapaian yang kecil sekalipun tetap akan dinilai atau dipersoalkan. Dan ada kalanya saya tertanya-tanya, sebenarnya, apa yang dikatakan cukup?
Saya tahu orang akan sentiasa bercakap. Mereka bercakap tentang apa yang mereka lihat, tentang apa yang mereka anggap dan kadangkala tentang perkara yang mereka sendiri tidak tahu apa-apa mengenainya. Saya sudah berdamai dengan hakikat itu.
Tambah Ernie, penghasilan sesebuah karya bukanlah sesuatu yang mudah kerana setiap lagu memerlukan komitmen, fokus serta masa yang mencukupi bagi memastikan hasilnya benar-benar berkualiti.
Apa yang awak lihat hanyalah sebuah lagu. Awak tidak melihat malam-malam tanpa lena yang dilalui untuk menghasilkannya.
Awak melihat pentas, tetapi awak tidak melihat bertahun-tahun usaha yang diperlukan untuk sampai ke situ.
Awak melihat pencapaian, tetapi awak tidak melihat insan yang terpaksa terus percaya pada dirinya sendiri untuk sampai ke tahap itu.
Bagaimanapun, pelantun lagu Sejambak Bunga itu mengambil pendekatan untuk tetap optimis dalam penghasilan karya-karyanya tanpa membuktikan dirinya kepada sesiapa.
Mungkin… saya akan berhenti cuba membuktikan bahawa saya sudah cukup. Saya hanya akan terus berkarya.
Jika kemenangan kecil saya sekalipun masih terasa terlalu kecil untuk awak, mungkin masalahnya bukan pada sebesar mana pencapaian saya.
Bukan berhenti

Dalam hantaran lain, Ernie menegaskan bahawa luahannya itu bukan bererti dia mahu meninggalkan kerjaya sebagai penyanyi.
Saya tak cakap apa-apa pasal nak berhenti. Kenapa ada yang rasa dah nak putus asa?
Jika kemenangan kecil saya masih dianggap kecil untuk segelintir orang, saya rasa itu bukan sebab kemenangan saya tapi sebab awak..awak yang bermasalah.
Saya bukan nak berhenti, jauh lagi perjalanan.
Sumber: Threads
The post ‘Kadang-Kadang Saya Penat Untuk Berkarya..Pencapaian Yang Kecil Pun Tetap Dinilai & Dipersoalkan’ – Ernie Zakri first appeared on OHBULAN!.





