25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, September 10, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Daripada Pelakon Tambahan Sampai Jadi Leading Lady, Kenapa Siti Khadijah Halim Tak Mahu Terperangkap Dengan Status Heroin?

    Shopee Sale

    Semakin melonjak naik, nama aktres Siti Khadijah Halim bukan lagi asing dalam barisan pelakon wanita yang kerap diberikan tanggungjawab membawa watak utama dalam naskhah tempatan.

    Namun di sebalik kedudukan yang semakin kukuh itu, perjalanan Siti bukan bermula terus sebagai heroin. Sebaliknya, dia melalui proses sedikit demi sedikit, daripada menjadi pelakon tambahan atau extra, sebelum diberikan watak second lead, co-lead dan akhirnya berada pada tahapnya hari ini.

    ARTIKEL BERKAITAN: ‘Jangan Berkata Lebih, Kita Pun Tak Tahu Bila Kita Kena’ – Siti Khadijah Halim

    ARTIKEL BERKAITAN: Siti Khadijah Percaya Pada Perancangan Allah, Umur 33 Sebagai ‘Target’ Akhiri Fasa Bujang

    Tak Mahu Hanya Dikenali Sebagai Heroin

    Bagi pelakon filem Khadam itu, perjalanan tersebut menjadi antara perkara yang membuatkan dirinya kekal berpijak di bumi nyata meskipun semakin banyak pencapaian berjaya diraih.

    “Alhamdulillah, perjalanan itu cantik susunan Allah. Daripada saya extra, second lead, co-lead sampai ke tahap ini.

    “Perjalanan itu juga sentiasa buat saya grounded. Ia buat saya sentiasa berpijak di bumi nyata supaya saya tak hanyut dengan apa yang sudah dicapai,” katanya.

    Menariknya, meskipun semakin banyak naskhah meletakkan Siti sebagai antara teraju utama, pelakon itu tidak melihat status heroin sebagai sesuatu yang perlu dipertahankan dalam setiap projek.

    Malah, bagi Siti, sesebuah karya tidak semestinya perlu dibezakan menerusi label hero, heroin atau pelakon kedua, terutama apabila ia dibina menerusi konsep ensemble cast.

    Dia menjadikan beberapa projek terdahulu sebagai contoh apabila setiap watak mempunyai kepentingan tersendiri dan bergerak bersama dalam menghidupkan keseluruhan cerita.

    “Saya tak rasa saya hanya memilih watak leading sahaja. Kalau cerita itu benar-benar menarik dan watak yang diberikan mendatangkan impak, saya okey sahaja kalau membawa watak supporting ataupun second lead.

    “Kalau konsepnya ensemble cast, semua orang sama-sama naik. Jadi tak semestinya kena ada istilah hero dan heroin,” jelasnya.

    Bagi pelakon yang mula dikenali dengan drama bersiri Sekali Lagi Cinta Kembali yang bersiaran di slot Akasia TV3, perkembangan seorang pelakon barangkali bukan sekadar diukur melalui sebesar mana nama atau kedudukan watak pada poster, tetapi sejauh mana sesuatu karakter mampu memberikan ruang untuk dirinya berkembang.

    Memilih Naskhah, Bukan Mengejar Status

    Bagaimanapun, Siti tidak menafikan dia kini lebih berhati-hati apabila menerima sesebuah tawaran.

    Bukan kerana hanya mahukan watak utama, sebaliknya pemilihan naskhah penting bagi memastikan momentum kerjayanya dapat diteruskan selepas penonton mula meletakkan jangkaan tertentu terhadap lakonannya.

    “Saya memilih juga daripada segi naskhah supaya momentum itu tetap ada. Bila orang datang bercerita tentang sesuatu projek, saya rasa ada expectation yang saya kena meet in the middle.

    “Saya pun mahu berikan yang terbaik untuk penonton dan penyokong saya,” katanya.

    " data-video-id="7683475627814522120" style="max-width: 605px;min-width: 325px">
    @xtra_my Cantiknya gadis Melayu terakhir ni 😍Anggun penampilan Siti Khadijah Halim hari ni dengan persalinan denim! 😍 . Siti membintangi naskhah Takdirnya Cinta bergandingan dengan Zul Ariffin. Menjalankan penggambaran di Turkiye, karya ini diterbitkan oleh Datuk Adzliana Hasan & diarahkan oleh Izuan Mokhtar. . Komen & follow OHBULAN! dan Xtrapedia untuk berita terkini. . #xtramy #xtrapedia #xtrapediaKR #takdirnyacinta ♬ original sound – XTRA
    MENARIK:  Syasya Rizal Rasa Berdosa, Tidak Sengaja Doa Suami Demam – ‘Mulut Isteri Memang Masin’

    Situasi itu mungkin menjadi dilema yang biasa hadir apabila seseorang pelakon mula mendapat lebih banyak perhatian. Semakin meningkat kedudukan mereka, semakin besar juga persoalan mengenai projek apakah yang wajar dipilih selepas itu.

    Dalam kes Siti, jawapannya bukan semata-mata watak heroin, tetapi naskhah yang dirasakan mampu meneruskan perjalanan dan momentum kerjayanya.

    Takdirnya Cinta Temukan Dengan Zul Ariffin

    Antara projek terbaharu yang memperlihatkan Siti kembali memegang watak utama ialah telefilem Takdirnya Cinta, yang turut menemukan dirinya dengan Zul Ariffin buat pertama kali dalam sebuah naskhah.

    Diterbitkan bersempena ulang tahun pertama platform penstriman UTV, telefilem yang diterbitkan oleh Datuk Adzliana Hasan itu membawa kisah percintaan lebih matang dengan Istanbul, Turkiye sebagai antara latar utama. Siti membawakan watak Sofea, manakala Zul menjadi pasangan utamanya dalam karya berkenaan.

    Pertemuan itu turut menunaikan salah satu wishlist Siti sebagai pelakon. Dia mengakui agak gementar ketika pertama kali berhadapan dengan Zul kerana menyedari kekuatan aura dan gaya lakonan aktor berkenaan.

    “Pertama kali berlakon dengan Abang Zul, saya memang agak gementar sebab kita tahu aura dia kuat dan lontaran dialog dia sangat natural.

    “Dalam kepala saya masa itu, saya fikir saya kena jadi lebih natural daripada dia. Tapi Alhamdulillah, kami dapat bekerjasama dengan baik dan senang untuk dapatkan chemistry,” katanya.

    View this post on Instagram

    A post shared by UTV (@utv.officials)

    Pengarah Takdirnya Cinta, Izuan Mokhtar turut menjelaskan naskhah berkenaan sengaja dibentuk sebagai sebuah kisah cinta yang lebih matang dan tidak terlalu bergantung kepada formula romantik biasa.

    Malah, chemistry antara watak utama dibina melalui emosi, dialog dan pandangan tanpa perlu terlalu bergantung kepada sentuhan fizikal, sekali gus menjadi cabaran buat kedua-dua pelakon untuk membuatkan penonton percaya kepada hubungan yang berkembang antara karakter mereka.

    Daripada Extra, Kini Nama Yang Dipertanggungjawabkan Membawa Naskhah

    Dalam Takdirnya Cinta, Siti memegang watak Sofea, seorang wanita yang kehilangan tunangnya dalam kemalangan sebelum berangkat ke Istanbul bagi menunaikan amanat terakhir lelaki itu.

    Perjalanannya kemudian menemukan Sofea dengan seorang lelaki misteri yang perlahan-lahan membuka kembali pintu hatinya, namun pertemuan tersebut turut menyimpan rahsia daripada masa lalu. Penggambaran telefilem itu berlangsung selama 10 hari dengan lapan hari dilakukan di Istanbul dan dua hari di Kuala Lumpur.

    Daripada sekadar berdiri sebagai extra di belakang pelakon lain, hari ini Siti menjadi antara nama yang diberikan tanggungjawab membawa perjalanan emosi sebuah cerita.

    Namun mungkin perkara yang lebih menarik adalah bagaimana dia melihat kedudukan itu sendiri.

    Menjadi leading lady bukan bermaksud setiap tawaran selepas ini perlu menjadikan dirinya satu-satunya heroin. Buat Siti, ruang untuk terus mencuba watak, berkongsi pentas dengan pelakon lain dan memilih naskhah yang tepat mungkin lebih penting daripada sekadar mempertahankan label.

    Dan barangkali di situlah perjalanan daripada seorang extra kepada pelakon utama benar-benar memberikan makna, apabila pencapaian bukan lagi hanya tentang berada di hadapan, tetapi tahu mengapa sesuatu watak itu patut dipilih.

    The post Daripada Pelakon Tambahan Sampai Jadi Leading Lady, Kenapa Siti Khadijah Halim Tak Mahu Terperangkap Dengan Status Heroin? first appeared on OHBULAN!.



    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah