Konsert 2026-27 BABYMONSTER WORLD TOUR [CHOOM] yang berlangsung di Unifi Arena, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu telah melabuhkan tirai dengan jayanya.
Artikel Berkaitan: BABYMONSTER Bakal Gegarkan Kuala Lumpur November Ini, Tiket Bermula RM398
BABYMONSTER di Kuala Lumpur

Kumpulan K-pop popular ini berjaya mencipta suasana cukup meriah dengan menampilkan enam anggota iaitu RUKA, PHARITA, ASA, AHYEON, RORA dan CHIQUITA.
Tidak dinafikan, konsert yang berlangsung selama 2 jam 30 minit itu sememangnya tidak mengecewakan apabila setiap seorang daripada ahli BABYMONSTER memberikan persembahan penuh bertenaga.
Bukan sahaja BABYMONSTER tampil bertenaga di atas pentas, malah kehadiran mereka turut disambut meriah oleh peminat yang tidak henti-henti bersorak dan ‘sing along’ setiap persembahan sejak awal sehingga ke penghujung konsert.
Vokal dan tarian mereka memang cukup memukau, ditambah pula dengan produksi konsert yang tidak kurang hebatnya. Dari segi sistem bunyi, pencahayaan sehinggalah visual LED pada pentas, semuanya melengkapkan persembahan dan membuatkan suasana konsert lebih meriah.
Bagaimanapun, antara momen yang paling mencuri perhatian pastinya usaha keenam-enam ahli BABYMONSTER berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia ketika berinteraksi dengan MONSTIEZ.
Walaupun tidak fasih sepenuhnya, namun kesungguhan mereka yang mencuba dan menggunakan beberapa ungkapan Bahasa Malaysia sehingga membuatkan peminat tidak berhenti bersorak.
Antara dialog yang mencuri perhatian termasuk lah ‘Kami rindu korang’, ‘Jom enjoy kaw-kaw hari ini’, ‘Masih ada energy lagi?’, ‘Semua orang gembira hari ini?’, ‘Best tak korang?’, ‘Janji?’ dan banyak lagi.
MONSTIEZ enjoy!

Mereka turut berterima kasih kepada peminat yang hadir ke konsert selain berharap dapat berjumpa lagi dengan MONSTIEZ Malaysia secepat mungkin.
Interaksi dua hala seperti ini menjadikan suasana konsert lebih mesra dan dekat, sekali gus membuktikan kesungguhan mereka yang cuba berinteraksi dengan peminat di Malaysia.
Sepanjang dua jam setengah konsert berlangsung, BABYMONSTER membawakan sebanyak 28 buah lagu termasuk persembahan solo setiap anggota. Antara lagu yang mendapat sorakan paling meriah daripada peminat ialah WE GO UP, CHOOM, BATTER UP, DRIP, SHEESH dan PSYCHO serta lagu terbaru mereka Deserve, Persembahan mereka turut diakhiri dengan beberapa lagu encore.
Secara keseluruhannya, BABYMONSTER berjaya memberikan sebuah persembahan yang cukup menghiburkan menerusi gabungan vokal mantap, koreografi bertenaga dan produksi pentas yang memukau.
Konsert yang dibawakan menerusi jelajah dunia 2026-27 BABYMONSTER WORLD TOUR [CHOOM] itu merupakan sebahagian daripada rangkaian persembahan mereka di Asia dan Oceania.
Dianjurkan oleh Live Nation Malaysia yang berlangsung pada 14 November 2026 itu turut menjadi kunjungan semula kumpulan berkenaan ke Kuala Lumpur selepas persembahan mereka di Malaysia pada tahun lalu.
The post BABYMONSTER Curi Hati MONSTIEZ, Usaha Bertutur Bahasa Malaysia Di Konsert Raih Pujian first appeared on OHBULAN!.





