Kelate Charity Festival (KCF) 2025 melabuhkan tirai dengan penuh gemilang apabila lebih 50,000 pengunjung membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sepanjang empat hari penganjuran bermula 17 hingga 20 September lalu.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Netizen Terhibur Cik Lan Geli Azlee Senario Peluk Dari Belakang – ‘Nak Kahwin Dengan Datuk Seri Vida Kena Straight’
Sambutan meriah!

Festival sulung anjuran Madoo Bee dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan HMS Maju Group itu membuktikan peranannya bukan sekadar menghiburkan, malah meringankan beban golongan asnaf serta membuka peluang ekonomi kepada peniaga tempatan.
Mengangkat slogan ‘Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelate’, Pengarah Eksekutif KCF, Muhammad Kamal Azmi Mohd Rasdin melahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran edisi pertama ini.
Sambutan sangat luar biasa. Alhamdulillah, sasaran 50,000 pengunjung tercapai. Ramai berpuas hati, bukan sahaja orang ramai malah juga tetamu kenamaan dan para peniaga yang menyertai festival ini.
Kejayaan KCF turut menarik perhatian ramai penaja, malah ketika festival sedang berlangsung masih ada pihak yang berminat menaja namun terpaksa ditolak kerana slot penajaan telah penuh.
Selain hiburan, matlamat utama KCF tercapai apabila lebih 500 asnaf diraikan dengan sumbangan tunai daripada Maybank, Bank Muamalat dan Agro Bank.
Menurut Kamal lagi, pihaknya menyasarkan bantuan kepada 1,500 asnaf pada edisi akan datang.
Matlamat kami jelas iaitu menyemai kasih, berkongsi rezeki dan memelihara budaya. Dana hasil sewaan gerai serta penjualan barangan akan dimasukkan ke tabung KCF 2026.
Persembahan artis

Suasana festival lebih meriah dengan persembahan artis popular termasuk Datuk Awie, Datuk Nash, Faizal Tahir, Ameng Spring, Senario, Caliph Buskers, Rahmad Mega, Naqiu, Halim Yazid dan Bob Sentuhan.
Ameng sendiri menyifatkan KCF antara festival terbesar pernah dianjurkan di Kelantan.
Festival lengkap dengan elemen hiburan, budaya dan kebajikan. Kehadiran artis menjadikan acara lebih hidup dan berjaya menarik orang ramai.
Festival ini turut mencatat sejarah apabila menghimpunkan 1,111 pendikir barat bersama 20 penyanyi dan tukang karut, selain program Selawat Perdana yang disertai 1,111 peserta bersama penceramah jemputan, Ustazah Asma’ Husin dan Angeline Tan.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga disajikan dengan Kelate Charity Walk yang mendapat sokongan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang turut turun padang berjalan bersama rakyat.
The post Awie, Ameng & Senario Bersama 50,000 Pengunjung Meriahkan Kelate Charity Festival 2025 first appeared on OHBULAN!.





