Pengasas Bersama dan Penerbit Filem Lomo Pictures, Aron Koh, menerima Fellowship Kehormat (Honorary Fellowship) daripada Lincoln Professional Academy sebagai pengiktirafan terhadap jasa serta komitmennya dalam memajukan industri perfileman Malaysia.
Artikel Berkaitan: Filem Biopik Allahyarham Sudirman Bakal Dihasilkan, Produksi Cari Rakan Kerjasama – ‘Harap Ia Jadi Realiti’
Artikel Berkaitan: Qifarah Buktikan Filem Tempatan Setanding Hollywood
‘Harap banyak peluang’ – Aron Koh

Penghormatan tersebut diberikan sebagai menghargai sumbangan Aron dalam pembangunan industri kreatif, selain usaha memperkukuh hubungan kerjasama antara dunia perfileman, pendidikan dan pertukaran budaya di peringkat antarabangsa.
Menurut Aron, anugerah itu membawa makna yang cukup besar kerana mencerminkan kepercayaan terhadap usaha yang telah dilakukannya selama ini dalam mengembangkan industri filem tempatan.
Saya amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Anugerah ini bukan hanya milik saya, malah turut dikongsi bersama para pembikin filem, pencerita dan rakan kerjasama yang telah bersama-sama saya sepanjang perjalanan ini.
Kami berkongsi keyakinan bahawa filem dan penceritaan mampu merapatkan hubungan antara masyarakat daripada pelbagai budaya.
Saya berharap lebih banyak peluang dapat diwujudkan agar bakat serta karya Malaysia terus mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa.
Aktif jalin kerjasama serantau

Sepanjang pembabitannya dalam industri, Aron banyak menggerakkan kerjasama antara Malaysia dengan beberapa negara termasuk Hong Kong, Taiwan, China dan Singapura menerusi pelbagai projek filem dan televisyen.
Aron percaya pengiktirafan yang diterima mampu meningkatkan lagi kredibilitinya di peringkat antarabangsa, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak kolaborasi rentas negara pada masa akan datang.
Selain memberi nilai tambah kepada setiap projek yang bakal diterajui, anugerah tersebut juga dilihat dapat memperkukuh pelbagai inisiatif berkaitan pembangunan industri filem dan televisyen.
Sepanjang lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang perfileman, Aron memainkan peranan penting menerusi penerbitan filem bebas, kerjasama serantau serta pelbagai program yang menghimpunkan pembikin filem, institusi pendidikan dan komuniti kreatif dari pelbagai negara.
Aron juga aktif menganjurkan festival filem bertaraf antarabangsa serta menggerakkan pelbagai inisiatif pendidikan kreatif bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap industri filem Asia Pasifik.
Antara pencapaian terbesar ialah menerajui Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-61 dan ke-62 sebagai Pengerusi Penganjur.
Festival berprestij itu berjaya menghimpunkan pengarah, penerbit, pelabur serta pemain industri dari seluruh rantau sekali gus menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama dan pertukaran budaya.
Selain itu, Aron juga merupakan Pengasas dan Pengerusi Penganjur Festival Filem Pertukaran China-Malaysia, yang baru sahaja melabuhkan tirai penganjuran edisi ketiganya.
Festival tersebut diwujudkan bagi mengeratkan hubungan budaya dan kerjasama industri perfileman antara Malaysia dan China, di samping menjadi medan buat pembikin filem, penggiat industri kreatif serta institusi dari kedua-dua negara membina jaringan dan berkongsi kepakaran.
Usaha tersebut melengkapi peranannya di Lomo Pictures, syarikat yang diasaskan bersama pada tahun 2016.
Di bawah kepimpinannya, syarikat itu telah menerbitkan dan mengedarkan lebih 30 buah filem merangkumi pelbagai genre dan bahasa, selain menjalin kerjasama dengan syarikat produksi serta pembikin filem di seluruh Asia Pasifik.
Dalam masa sama, Aron turut memberi perhatian terhadap pembangunan modal insan apabila berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Filem Digital, Mantissa College.
Aron menegaskan pengiktirafan yang diterima menjadi pembakar semangat untuk terus memperkukuh ekosistem perfileman Malaysia menerusi kerjasama bersama pembikin filem, institusi pendidikan dan rakan industri.
Malah, Aron berharap lebih banyak peluang dapat diwujudkan bagi membawa karya-karya dari Malaysia dan Asia ke pentas antarabangsa serta memperkenalkan kisah tempatan kepada penonton di seluruh dunia.
The post Aron Koh Terima Fellowship Kehormat, Angkat Nama Industri Filem Malaysia Ke Peringkat Global first appeared on OHBULAN!.





