Pelakon veteran, AR Badul mendedahkan peluang untuk menembusi industri lakonan sekitar 50 tahun lalu bukan sesuatu yang mudah memandangkan ruang untuk pendatang baharu ketika itu sangat terhad.
Artikel Berkaitan: FFM35: Dominasi 12 Pencalonan, Shamyl Othman Yakin ‘Khadam’ Ada Kekuatan Tersendiri – ‘Kalau Menang, Alhamdulillah’
Cabaran tembus dunia seni

AR Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie, 78, bagaimanapun bersyukur kerana dilahirkan dalam keluarga berdarah seni yang sedikit sebanyak memudahkannya menceburi bidang lakonan.
Saya manusia yang bertuah, saya bersyukur kerana keturunan saya berdarah seni. Zaman dahulu nak jadi pelakon atau pelawak sangat payah, memang peluang dan ruang itu terhad atau mungkin tiada.
Sebab industri seni ketika itu sudah didominasi oleh pelakon-pelakon yang muncul lebih awal sebelum zaman saya.
Sehingga satu hari ada pertandingan namanya Bakat TV, saya ambil peluang untuk sertai uji bakat. Zaman dahulu kalau berjaya bina nama, maknanya mereka golongan yang terbaik.
AR Badul berkata demikian ketika ditemui pada Program Pesona Sinema sempena Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Rembau, baru-baru ini.
Berkongsi pandangan mengenai usaha membina nama dan mengukuhkan kedudukan dalam industri, AR Badul menasihatkan penggiat seni khususnya pendatang baharu supaya bijak mencari dan merebut setiap peluang yang ada.
Nak bina nama, nak buat penjenamaan atau tempatkan diri sebagai pelakon, perkara paling utama adalah perlu bijak cari peluang.
Kemahiran atau bakat perlu hadir bersama peluang. Kalau tidak rebut peluang yang ada, mungkin susah untuk berjaya.
Sebagai contoh, jika ada uji bakat, pergilah rebut peluang tersebut jika ada keinginan. Kalau tiada keinginan, tidak perlulah.
Untuk info, bapa kepada AR Badul merupakan seniman terkenal Allahyarham Tan Sri AR Tompel yang cukup dikenali sebagai pelakon dan pelawak legenda tanah air.
Selain itu, adik-beradik AR Badul iaitu Allahyarham Amran Tompel juga bergiat aktif dalam bidang lakonan dan pelawak selain Adlin Aman Ramlie yang dikenali sebagai aktor serta pengacara.
The post AR Badul ‘Throwback’ Cabaran Mahu Jadi Pelakon 50 Tahun Lalu – ‘Syukur Keturunan Saya Darah Seni’ first appeared on OHBULAN!.





