Anjung Syawal yang bakal berlangsung bersempena Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2027 menyasarkan kehadiran seramai 1.5 juta pengunjung sepanjang 30 hari penganjurannya bermula 8 Februari hingga 9 Mac tahun hadapan.
Artikel Berkaitan: Festival Ramadan Putrajaya 2024 Himpun 1,000 Peniaga, Target Hampir 1 Juta Pengunjung
Artikel Berkaitan: #OBCallingFoodies: Rai Ramadan Dengan Hidangan Mesra Muslim Pertama oleh TIEN by PUTIEN
Anjung Syawal

Acara yang akan bertempat di Dataran Putrajaya, Presint 3 itu bakal diperkasakan dengan penambahan pelbagai tarikan meliputi aspek membeli-belah, gastronomi, seni dan aktiviti kekeluargaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Puncak Niaga Maju Sdn. Bhd. (PNM), Muhamad Arif Omar berkata, sasaran tersebut dirangka berdasarkan pencapaian memberangsangkan pada edisi 2026 yang berjaya merekodkan sebanyak 1,386,452 kunjungan menerusi sistem pengiraan pengunjung.
Menurutnya, penganjuran tahun hadapan yang bersempena FRP kali ke-15 anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) bertemakan ‘Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran’ itu akan mengetengahkan konsep ‘satu acara’ bagi menawarkan pengalaman Ramadan yang lebih menyeluruh.
Anjung Syawal akan terus menjadi tumpuan membeli-belah dan persiapan Aidilfitri dengan pelbagai pilihan vendor serta jenama terkenal.
Gastro Seni pula memberi fokus kepada makanan, seni, kreativiti dan gaya hidup, manakala Laman Iftar menyediakan ruang berbuka puasa secara santai bersama keluarga dan komuniti.
Muhamad Arif turut memaklumkan bahawa edisi 2027 merupakan kali pertama PNM diberi tanggungjawab mengendalikan segmen Gastro Seni, yang sebelum ini dianjurkan oleh PPj dengan kerjasama Kelab Usahawan Putrajaya (KUPPutra) pada tahun 2026.
Mengulas mengenai sambutan peniaga, difahamkan lebih 200 lot niaga Anjung Syawal telah habis terjual dalam tempoh 24 jam selepas tempahan dibuka.
Dalam pada itu, PNM akan turut memperkenalkan pelbagai pengisian harian dan mingguan bagi memeriahkan lagi festival berkenaan, termasuk persembahan artis, nasyid, program kebudayaan, sesi bersama selebriti dan pempengaruh serta aktiviti interaktif untuk seisi keluarga dan generasi muda.
Kami mahu Anjung Syawal menjadi lebih daripada sebuah bazar Raya. Pengunjung bukan sahaja datang untuk mencari keperluan Aidilfitri, tetapi turut menikmati suasana Ramadan, berbuka puasa dan meluangkan masa bersama keluarga.
Pengisian yang berterusan sepanjang 30 hari juga diharap dapat menarik kunjungan berulang, sekali gus memberi peluang perniagaan yang lebih luas kepada vendor dan jenama yang mengambil bahagian.
Tambah Muhammad Arif, kedudukan strategik Putrajaya yang mudah diakses dari Cyberjaya, Bangi, Kajang dan kawasan sekitarnya turut menjadi pemangkin utama dalam menarik lebih ramai pengunjung.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program dan pengisian Anjung Syawal FRP 2027 boleh melayari laman web atau platform media sosial rasmi acara berkenaan.
The post Anjung Syawal FRP 2027 Sasar 1.5 Juta Pengunjung, Lebih 200 Lot Niaga Habis Terjual Dalam 24 Jam first appeared on OHBULAN!.





