27.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 20, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Anak Belum 16 Tahun Tapi Dah Ada Media Sosial Kerajaan Cadang Had Umur Baharu Demi Lindungi Generasi Muda!

    Shopee Sale

    Pernah tak korang lihat anak umur 13 tahun dah pandai buat live TikTok? Atau kanak-kanak berusia 12 tahun tapi sudah mempunyai beberapa akun media sosial? Kami yakin kita semua pernah melihatnya.

    Meskipun perkara ini dilihat kecil, tapi hakikatnya inilah antara punca utama peningkatan kes eksploitasi seksual, buli siber dan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai dalam kalangan remaja bawah umur.

    Disebabkan itu, kerajaan kini mencadangkan had umur minimum 16 tahun untuk membuka akaun media sosial di Malaysia di mana langkah ini dianggap penting untuk melindungi kanak-kanak dan remaja daripada bahaya dunia maya.

    Apa Sebab Utama Kerajaan Nak Hadkan Umur Ni?

    Menurut Kementerian Komunikasi, langkah ini bertujuan untuk melindungi golongan bawah 16 tahun daripada kandungan dan interaksi berisiko tinggi termasuk:

    • Eksploitasi seksual dan pemerasan dalam talian (OCSEA) – laporan UNICEF (2023) mendapati sekurang-kurangnya 4% pengguna internet berumur 12–17 tahun di Malaysia pernah mengalami gangguan atau eksploitasi seksual secara digital.
    • Pendedahan awal kepada pornografi – satu kajian pada 2021 menunjukkan 74.5% pelajar pernah terdedah kepada bahan lucah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
    • Buli siber – sekitar 3 daripada 10 remaja Malaysia mengaku pernah jadi mangsa buli siber (PMC, 2022).

    Selain itu, beberapa kes gang rape yang tular di Melaka dan Kedah tahun ini menunjukkan betapa seriusnya pengaruh dunia digital terhadap tingkah laku pelajar — bila video, mesej atau gambar tidak wajar mula tersebar dalam kalangan remaja sendiri.

    Kenapa Umur 16 Tahun Jadi ‘Garis Selamat’?

    Kerajaan menilai bahawa usia 16 tahun merupakan titik di mana remaja mula lebih matang dari segi emosi dan pemikiran di mana mereka mampu faham tentang keselamatan siber dan tahu menilai risiko kandungan di media sosial.

    Langkah ini juga beri masa kepada:

    • Sekolah dan ibu bapa untuk tanam asas literasi digital dan keselamatan siber lebih awal.
    • Pihak berkuasa untuk menguatkuasakan sistem verifikasi umur yang lebih ketat dan selamat.
    • Platform media sosial untuk menapis kandungan sensitif mengikut norma tempatan.

    Adakah Langkah Ini Dilihat ‘Terlalu Ketat’?

    Ada juga yang mempersoalkan adakah langkah ini terlalu ketat? Antara cabaran yang dibangkitkan terdiri daripada:

    • Remaja mungkin rasa terhad dari segi kebebasan bersuara dan akses maklumat.
    • Kemungkinan wujud akaun palsu atau guna akaun ibu bapa.
    • Platform kecil mungkin terbeban dari segi kos dan sistem verifikasi.
    • Isu privasi dan perlindungan data peribadi (PDPA) juga perlu diberi perhatian.

    Namun bagi pihak kerajaan, perlindungan terhadap kesejahteraan dan keselamatan anak-anak lebih penting di mana mereka kini sedang merangka pelan pelaksanaan yang lebih realistik dan berperingkat.

    Bagaimana Perlaksanaan Bakal Dijalankan Nanti?

    Beberapa persoalan yang masih dibincangkan termasuklah:

    • Adakah pelaksanaan ni serta-merta atau berperingkat?
    • Apa jadi dengan akaun sedia ada bawah umur? Akan disemak semula atau dinyahaktif?
    • Bagaimana cara verifikasi umur yang menggunakan guna MyDigital ID atau dokumen rasmi seperti MyKad?
    • Dan kenapa platform seperti TikTok atau Instagram belum kuatkuasakan sistem ini dari awal?
    MENARIK:  Orang Asing Memberi Penghargaan kepada Karya Seni Negara, Mereka Menghargai Bakat Setiap Individu yang Terlibat dalam Dunia Filem, Penulisan Skrip dan Produksi.

    Menurut pihak kementerian, semua ini sedang diperhalusi bersama pengendali platform dan agensi penguat kuasa supaya langkah ini adil, selamat dan praktikal untuk semua pihak.

    Pakar Sokong Langkah Kerajaan Tangani Isu Keselamatan Anak Di Media Sosial

    Langkah kerajaan nak kuatkuasakan pengesahan umur dan eKYC (electronic Know Your Customer) nampaknya dapat sokongan padu daripada pakar hak kanak-kanak dan kesihatan mental.

    Menurut Dr Hartini Zainudin, aktivis hak kanak-kanak, inisiatif daripada Kementerian Komunikasi dan MCMC ni memang langkah yang betul untuk lindungi kanak-kanak daripada bahaya dunia maya.

    “Selama ni, kawal selia sendiri oleh platform tak cukup untuk jaga keselamatan kanak-kanak. Jadi, kerajaan memang perlu masuk campur.

    Semua platform yang beroperasi kat Malaysia patut dilesenkan dan diaudit untuk pematuhan keselamatan kanak-kanak, siap dengan laporan telus dan hukuman kalau gagal patuh.

    Ini bukan langkah ekstrem sebaliknya ini standard minimum untuk negara yang serius nak lindungi anak-anak mereka,” katanya.

    “Platform Dah Tak Boleh Lepas Tangan Lagi” – Pakar Kesihatan Mental

    Sementara tu, Dr Fauziah Mohd Saad, pakar kesihatan mental, turut bersetuju dengan dasar baru ni. Katanya, peraturan wajib macam ni penting untuk pastikan semua pihak ada tanggungjawab yang jelas.

    “Ini petanda kerajaan serius. Platform tak boleh lagi sekadar ‘self-regulate’ tanpa tanggungjawab.

    Mereka kena jaga pengguna muda, kena lebih telus, dan patuh pada undang-undang tempatan,” jelasnya.

    Didikan Digital Pun Sama Penting

    Dr Hartini turut menegaskan undang-undang je tak cukup. Ibu bapa, sekolah, dan kerajaan kena bekerjasama untuk pastikan anak-anak tahu cara kenal pasti dan elak bahaya online.

    “Pendidikan digital ni kena jadi pertahanan pertama. Bukan sekadar sekat akses, tapi kita nak lahirkan generasi yang tahu beza mana bahaya dan mana selamat,” katanya.

    Beliau juga cadangkan supaya subjek empati, keselamatan siber, dan kesan emosi akibat buli atau bahaya dalam talian dimasukkan dalam silibus sekolah.

    “Dan untuk ibu bapa, bagi je panduan ringkas dan mudah dan bukannya PDF panjang berjela,” tambahnya sambil berseloroh.

    Demi Masa Depan Anak-Anak Malaysia

    Dalam dunia di mana kanak-kanak kini membesar dengan telefon di tangan, tanggungjawab menjaga keselamatan digital bukan hanya pada kerajaan, tapi juga ibu bapa dan platform media sosial.

    Kerajaan percaya, dengan had umur 16 tahun, sistem verifikasi rasmi dan kesedaran digital yang lebih tinggi, kita mampu bentuk generasi muda yang lebih seimbang, selamat dan bertanggungjawab dalam dunia maya.

    Kerana akhirnya, masa depan mereka bukan hanya bergantung pada apa yang mereka lihat di skrin, tapi bagaimana kita mendidik mereka mengenali bezanya dunia nyata dan maya.

    The post Anak Belum 16 Tahun Tapi Dah Ada Media Sosial Kerajaan Cadang Had Umur Baharu Demi Lindungi Generasi Muda! first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah