Penyanyi dan komposer, Aina Abdul mengakui kurang berpuas hati dengan persembahannya di pentas Anugerah Juara Lagu 40 Separuh Akhir (AJL40 SA) menerusi lagu Kamu susulan berlaku masalah teknikal.
Artikel Berkaitan: Aina Abdul, Marsha Milan, Amira Othman, Amir Masdi Antara Lolos.. Ini Senarai Penuh 20 Lagu Separuh Akhir AJL40
Masalah teknikal

Aina atau nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani, 32, berkata, gangguan yang berlaku sedikit sebanyak mengganggu fokus dan menjejaskan nyanyiannya di atas pentas.
Saya tidak berapa puas sebenarnya. Mungkin ada yang perasan, ada sedikit gangguan teknikal yang berlaku dan itu antara sebab saya rasa kurang puas hati.
Gangguan teknikal itu berlaku seketika dan sedikit sebanyak memang mengganggu persembahan saya. Sejujurnya, saya agak terkilan dan kecewa juga. Sepanjang sesi raptai, langsung tiada masalah seperti ini berlaku.
Namun, inilah persembahan secara langsung. Apa sahaja boleh terjadi. Saya terima sahaja, cuma rasa sedikit kecewa itu memang ada.
Aina berkata demikian ketika ditemui pada sidang media hari pertama AJL40 SA yang berlangsung di Studio TV3, Glenmarie, Shah Alam pada Jumaat.
Berkongsi lanjut, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-29 (AIM29) itu berharap dia dapat menebus peluang untuk melakukan yang terbaik sekiranya karya tersebut berjaya layak ke pentas akhir AJL40.
Saya harap akan ada peluang lain, mungkin di pentas final untuk saya tebus kembali segala kekurangan yang berlaku. Jika lagu Kamu masuk final, saya mahu tebus kekecewaan itu. Sepanjang penyertaan saya dalam Muzik-Muzik dan AJL, perkara seperti ini tidak pernah berlaku.
Kalau ada yang kata persembahan saya masih bertenaga, saya bersyukur. Gangguan itu hanya berlaku di hujung persembahan sahaja. Saya risau memikirkan penonton di rumah kerana mereka tidak menyaksikan secara langsung dan mungkin akan membuat pelbagai tanggapan.
Namun bagi saya, yang penting adalah juri yang berada di hadapan dan penonton di studio dapat melihat sendiri persembahan saya. Mereka tahu saya menyanyi secara langsung dan memahami bahawa perkara seperti ini memang boleh berlaku.
Baju tuala Good Morning

Dalam pada itu, diminta berkongsi mengenai busana mega berona putih dan merah rekaan Melinda Looi yang digayakan, Aina memberitahu gaun itu dihasilkan menggunakan lebih 150 helai tuala jenama ‘Good Morning’.
Idea datang daripada Melinda. Kami sudah lama berbincang tentang apa lagi kelainan yang boleh dilakukan kerana sebelum ini kami sudah mencuba pelbagai idea.
Melinda kemudian menghantar gambar ‘Good Morning Towel’ dan mencadangkan untuk menjadikannya sebagai busana. Saya memang gemar idea yang luar daripada kebiasaan, jadi saya terus menyahut cabaran tersebut.
Pemilihan ‘Good Morning Towel’ ini ada simboliknya. Sebelum ini mungkin ada yang menyangka saya berehat, tetapi sebenarnya tidak. Jadi, konsep ‘Good Morning’ itu melambangkan kemunculan semula saya, seolah-olah kembali dengan semangat baharu.
Untuk busana ini, kami menggunakan lebih 150 helai kain dengan kualiti gred tertinggi iaitu ‘triple A’, yang lebih tebal dan sesuai dijadikan pakaian. Proses menyiapkannya mengambil masa kira-kira dua minggu.
Hari pertama AJL40 SA menyaksikan 12 buah lagu telah berentap antaranya Kamu (Aina Abdul), Pernah Punya Aku (Shila Amzah), Hijab Rindu (Black Hanifah), Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan Londoh), Tiwikarma (KOI) dan Puaskah (Ameerais & Mariam Saim).
Selain itu, turut bersaing adalah Semacam Pandora (Hazama), F (Floor 88), Rasa & Takdir (Irfan Harris & Umairah), Hilangmu Tak Terganti (Afieq Syazwan & Tajul), Ke Mana Ni (Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik) dan Kerana Ego (Khai Bahar).
AJL40 SA bersiaran secara langsung di TV3 jam 9 malam dan dihoskan oleh Fiza Frizzy serta Sissy Iman.
The post AJL40 SA: Ada Masalah Teknikal, Aina Abdul Kurang Puas Hati Dengan Persembahan – ‘Jika Masuk Final Saya Akan Tebus Semula’ first appeared on OHBULAN!.





