Sekolah pondok merupakan institusi pendidikan Islam tradisional yang telah lama menjadi tempat menimba ilmu agama serta membentuk sahsiah dan disiplin pelajar.
Disebalik populariti dan kehidupan glamor yang sering menjadi perhatian, beberapa selebriti tempatan sebenarnya pernah menuntut di sekolah pondok sebelum mencipta kerjaya dalam industri seni.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Johan Tegas Dengan Semua Anak – ‘Mak Kau Panggil Tak Menyahut…Memang Nak Kena’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] PU Riz Respon Selepas Sering Digesa Nasihat Adik Beradik Ipar – ‘Saya Tak Diam..Tetap Tegur’
3 selebriti lelaki pernah sertai Sekolah Pondok
1. Johan Raja Lawak

Sebelum bergelar antara pelawak dan pengacara paling popular di Malaysia, Johan pernah melalui fasa yang jauh berbeza daripada kehidupan glamor hari ini. Dalam satu temu bual, Johan mendedahkan dia dihantar oleh bapanya ke sekolah pondok ketika usia remaja kerana sikapnya yang agak nakal.
Menurut Johan, keputusan bapanya itu pada mulanya sukar diterima. Namun, selepas beberapa ketika berada di sekolah pondok, dia mula memahami tujuan sebenar dan mengakui pengalaman tersebut banyak mengubah cara berfikir serta membentuk disiplin dalam dirinya.
Johan pernah berkongsi setiap perkara yang baik kadangkala bermula dengan paksaan, namun akhirnya menjadi sesuatu yang dilakukan dengan penuh keikhlasan. Pengalaman menuntut ilmu agama itu turut menjadi antara kenangan paling bermakna dalam hidupnya sebelum dia berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki dan akhirnya menyertai program Raja Lawak pada tahun 2007.
Kini, nilai-nilai yang dipelajari itu turut diterapkan dalam kehidupan berkeluarga. Johan dan isterinya, Ozlynn Wati, sering menjadi perhatian ramai kerana menitikberatkan didikan agama serta pembentukan akhlak anak-anak.
2. PU Riz

Sebelum dikenali sebagai juara program Pencetus Ummah, pelakon dan pendakwah, PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail menghabiskan sebahagian besar zaman remajanya di sekolah pondok di Besut, Terengganu.
PU Riz pernah mendedahkan pengajiannya di sekolah pondok berlangsung sehingga sekitar usia 20 tahun. Tempoh tersebut dimanfaatkan untuk mendalami pelbagai cabang ilmu agama sebelum menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Latar belakang pendidikan agama yang kukuh menjadi asas kepada kerjayanya sebagai pendakwah apabila muncul sebagai juara Pencetus Ummah musim pertama. PU Riz kini aktif berkongsi kandungan berunsur dakwah serta motivasi menerusi pelbagai platform media sosial.
Walaupun kini aktif sebagai selebriti dan usahawan, PU Riz bersama isterinya, Neelofa, dilihat konsisten mengutamakan pendidikan agama dalam membesarkan anak-anak mereka. Pasangan ini sering berkongsi didikan bermula dari rumah, dengan memberi penekanan kepada pengenalan Allah SWT, akhlak, adab serta kecintaan terhadap al-Quran sejak usia kecil.
3. Johan As’Ari

Pelakon Johan As’ari juga mempunyai pengalaman menimba ilmu agama di sekolah pondok. Ketika berada di kemuncak populariti, Johan pernah mengambil keputusan berehat daripada dunia lakonan bagi memberi tumpuan kepada pengajian agama.
Ketika berusia 20 tahun, Johan mengikuti pengajian di sebuah Pondok Pesantren As-Syuhada di Jambi, Indonesia, selama kira-kira setahun. Sepanjang berada di sana, Johan mempelajari al-Quran, hadis serta pelbagai disiplin ilmu Islam dalam suasana pembelajaran yang lebih sederhana dan jauh daripada dunia glamor.
Menurut Johan, keputusan itu dibuat bagi mencari ketenangan jiwa serta memperbaiki diri. Pengalaman tersebut banyak mengubah cara beliau melihat kehidupan dan memberi ruang untuk mendalami agama dengan lebih serius.
Selepas menamatkan pengajian, Johan kembali aktif dalam dunia lakonan, namun dia tetap terbuka berkongsi bagaimana pengalaman di pondok telah memberi impak besar terhadap perjalanan hidup dan pembentukan peribadinya.
Walaupun hanya segelintir selebriti mempunyai latar belakang pendidikan di sekolah pondok, kisah mereka membuktikan perjalanan menuju kejayaan tidak semestinya bermula di pentas hiburan.
The post Tak Ramai Tahu, Perjalanan Dunia Glamor 3 Selebriti Ini Bermula Dari Sekolah Pondok first appeared on OHBULAN!.





