30.1 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    97.9% Ladang Diusahakan Individu, Majoriti Berumur 60 ke atas – Ini Fakta Menarik Banci Pertanian 2024

    Shopee Sale

    Banci Pertanian 2024 yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini telah mendedahkan beberapa dapatan penting mengenai landskap pertanian negara.

    Hasil awal banci ini diumumkan dalam Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 yang berlangsung di MAEPS Serdang pada 29 Mei 2025, dan telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof.

    Kredit: Facebook Banci Pertanian 2024

    Pegangan pertanian individu mendominasi masih jadi tulang belakang sektor pertanian

    Daripada 1,030,020 pegangan pertanian yang direkodkan di seluruh Malaysia, 97.9% (1,008,829 pegangan) diusahakan secara individu. Ini membuktikan bahawa struktur pemilikan dalam sektor pertanian masih didominasi oleh individu.

    Penglibatan golongan berusia kekal tinggi

    Satu lagi dapatan yang menarik perhatian ialah komposisi umur dalam kalangan pengusaha pertanian individu. 45.4% daripada pengusaha adalah berumur 60 tahun ke atas, menjadikan kumpulan ini sebagai penyumbang terbesar dalam sektor pertanian ketika ini. 

    Sementara itu, golongan belia dalam kumpulan umur 15 hingga 40 tahun adalah seramai 142,888 orang atau 14.2 peratus.

    Negeri Sarawak (63,452 orang), Kedah (61,886 orang) dan Sabah (57,007 orang) merupakan tiga negeri teratas dengan jumlah pengusaha pengusaha pertanian berumur 60 tahun ke atas.

    Ke arah pertanian yang lebih mampan

    Walaupun penglibatan golongan muda masih rendah, potensi untuk menarik minat mereka ke dalam sektor ini tetap tinggi dengan pelbagai inisiatif yang sedang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan serta agensi berkaitan.

    Usaha berterusan diperlukan untuk menjadikan sektor ini lebih moden, kompetitif dan menarik kepada generasi baharu.

    Banci ini juga merangkumi lima subsektor utama:

    • Tanaman makanan
    • Tanaman komersial
    • Ternakan
    • Perikanan & Akuakultur
    • Perhutanan & Pembalakan

    Selain itu, sistem baharu TaniStats turut diperkenalkan sebagai platform pintar untuk rujukan data pertanian. Turut dilancarkan ialah MyAgroPrice, sebuah portal interaktif yang memaparkan harga semasa barangan pertanian.

    Inisiatif ini dijangka membantu pembuat dasar, usahawan dan orang awam dalam membuat keputusan yang lebih tepat dan pantas.

    Pengeluaran tanaman, ternakan & perikanan catat angka memberangsangkan

    Mengikut dapatan Banci Pertanian 2024, Malaysia mempunyai 7.5 juta hektar kawasan bertanam dan tanaman yang paling luas adalah kelapa sawit. Ia meliputi 5.8 juta hektar, diikuti oleh getah (0.7 juta hektar), padi (0.5 juta hektar) dan tanaman lain (0.1 juta hektar).

    Mengikut jumlah pengeluaran, subsektor tanaman menghasilkan 103.4 juta tan pada tahun 2023. Daripada jumlah itu, pengusaha individu telah menyumbang 19.2 juta tan, manakala pertubuhan menyumbang 84.2 juta tan.

    Untuk ternakan, Malaysia menghasilkan:

    • 1.0 bilion ekor ayam & itik
    • 1.8 juta ekor babi
    • 313.6 ribu ekor lembu & kerbau
    • 14.9 bilion biji telur
    • 47.5 juta liter susu segar (lembu, kerbau, kambing)

    Sektor perikanan pula mencatat 1.1 juta tan, dengan pengusaha individu menguasai 82.8% daripada jumlah tersebut. Akuakultur (air payau & air tawar) pula menghasilkan 484.3 ribu tan, selain 6.4 bilion ekor benih dan ikan hiasan.

    Aktiviti pembalakan pula menyumbang pengeluaran sejumlah 6.6 juta meter.

    Hasil jualan RM117.9 bilion untuk sektor tanaman sahaja!

    Secara keseluruhan, jumlah jualan tanaman ialah 102.3 juta tan metrik bernilai RM117.9 bilion. Daripada nilai tersebut, 72.8% datang daripada pertubuhan pertanian, dan selebihnya dari pengusaha individu.

    Untuk ternakan, ayam dan itik mendominasi dengan 915.1 juta ekor dijual, disusuli babi (1.6 juta ekor) dan lembu/kerbau (260 ribu ekor). Telur ayam terjual sebanyak 13.9 bilion biji, manakala susu segar pula 46.5 juta liter, menjadikan nilai jualan keseluruhan untuk ternakan sebanyak RM24.8 bilion.

    Perikanan tangkapan pula menghasilkan RM10.8 bilion, manakala akuakultur menyumbang RM4.4 bilion. Aktiviti hasil hutan bukan kayu seperti rotan dan herba pula hasilkan RM67.4 juta, dan pembalakan merekodkan jualan sebanyak RM3.8 bilion.

    Kelapa sawit, aktiviti utama dalam industri pertanian

    Tak dinafikan, kelapa sawit ialah penyumbang utama industri pertanian negara. Pada tahun 2023, pengeluaran mencecah 95.1 juta tan metrik, dengan negeri utama pengeluar ialah:

    • Sarawak – 22.6 juta tan (1.7 juta hektar)
    • Sabah – 22.4 juta tan (1.5 juta hektar)
    • Pahang – 15.5 juta tan (0.8 juta hektar)

    Getah masih relevan walaupun berdepan penurunan. Kini cuma ada 717.3 ribu hektar kawasan getah, berbanding 1.54 juta hektar pada 1960. Pengeluaran juga menurun dari 1.52 juta tan metrik (1980) kepada 423.7 ribu tan metrik (2023).

    Seramai 208,053 pesawah (pegangan prertanian individu dan pertubuhan) terlibat dalam penanaman padi di Malaysia, dengan 174,810 pesawah aktif mencurah keringat di bendang. Daripada jumlah ini, 126,146 pegangan menanam padi untuk tujuan jualan, manakala 48,834 pesawah menanam untuk kegunaan sendiri (sara diri), dengan Sarawak mencatat jumlah tertinggi bagi kategori ini.

    Menariknya, Kelantan merekodkan peratusan tertinggi pesawah sara diri, iaitu 62.6%, menunjukkan betapa pentingnya aktiviti penanaman padi untuk keperluan harian masyarakat di negeri itu.

    Secara keseluruhan, keluasan sawah padi di Malaysia kini mencecah 506.4 ribu hektar. Namun begitu, kawasan ini semakin terancam akibat penukaran guna tanah dan cabaran infrastruktur yang membelenggu sektor pertanian.

    Dari segi hasil, sebanyak 1.7 juta tan metrik padi telah dijual pada tahun 2023, dengan nilai mencecah RM2.4 bilion.

    Bagi tanaman sayur-sayuran, Pahang mencatatkan keluasan tertinggi dengan 32.7 ribu hektar, terutama di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands yang terkenal sebagai pusat pengeluaran utama sayur-sayuran seperti tomato, salad, sawi dan kobis Johor pula merekodkan keluasan 21.4 ribu hektar, diikuti Kelantan dengan 8.0 ribu hektar kawasan penanaman sayur.

    Sementara itu, bagi pengeluaran buah-buahan, Johor kekal sebagai peneraju utama dan boleh digelar ‘raja pengeluar buah-buahan negara’. Negeri ini merupakan pengeluar utama bagi beberapa jenis buah, antaranya nanas dengan pengeluaran sebanyak 351.2 ribu tan metrik, diikuti durian (295.6 ribu tan), selain turut aktif dalam pengeluaran pisang dan betik.

    Pahang juga memainkan peranan penting dalam industri buah-buahan, terutamanya melalui pengeluaran Durian Musang King yang berkualiti tinggi serta nanas. Kelantan pula banyak menyumbang kepada hasil pengeluaran buah seperti durian, tembikai dan pisang, menjadikannya antara negeri penting dalam sektor ini.

    Bagi kategori “lain-lain” yang merangkumi tanaman industri, kontan dan herba, jumlah keluasan bertanam ialah 138.5 ribu hektar, dengan pengeluaran 1.5 juta tan metrik.

    Antara yang menjadi penyumbang besar:

    • Kelapa – 743.5k tan (67.6k hektar)
    • Bunga hiasan – 466.4k tan (45.3k hektar)
    • Jagung manis juga antara yang meningkat

    Penternakan ayam catat jumlah kuantiti pengeluaran tertinggi

    Pada tahun 2023, jumlah keseluruhan ternakan hidup yang direkodkan di Malaysia adalah sebanyak 1.5 bilion ekor, dengan ayam kekal sebagai ternakan utama negara, mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 968.6 juta ekor. Ini diikuti oleh itik sebanyak 34.3 juta ekor, dan babi sebanyak 1.8 juta ekor.

    Selain ternakan hidup, hasil seperti telur ayam dan susu segar turut menyumbang secara signifikan kepada industri ternakan negara. Negeri-negeri seperti Johor, Perak dan Negeri Sembilan merupakan pengeluar utama ayam.

    Kredit: IGE Agro Farm

    Bagi ternakan lembu dan kerbau, negeri-negeri di Pantai Timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan, serta negeri Johor dan Selangor dikenal pasti sebagai antara negeri yang aktif dalam aktiviti penternakan ini.

    Dalam bidang penternakan kambing, negeri Selangor, Johor dan Kelantan merupakan antara negeri yang paling aktif. Sementara itu, Pulau Pinang dan Perak terkenal dengan kewujudan ladang babi moden yang berteknologi tinggi dan mematuhi piawaian kebersihan serta kawalan biosekuriti.

    MENARIK:  Nadeera Minta Netizen Jangan Salah Faham Insiden Dimarahi Mas Idayu – ‘Ketegasan Mami Jadikan Saya Berdisiplin’

    Perikanan Tangkapan: Pantai barat laut penuh hasil

    Perikanan tangkapan kekal sebagai antara penyumbang utama kepada bekalan makanan negara serta eksport ke luar negara. Negeri Kedah dan Perak merupakan kawasan utama bagi aktiviti perikanan tangkapan di pantai barat laut Semenanjung Malaysia.

    Kawasan seperti Kuala Kedah dan Manjung terkenal dengan kegiatan perikanan laut dalam, terutamanya pendaratan ikan pelagik seperti kembung, selar dan tongkol. Pada tahun 2023, jumlah pengeluaran perikanan tangkapan dicatatkan sebanyak 1.1 juta tan metrik.

    Akuakultur: Perak pengeluar utama ikan air tawar

    Kredit: Facebook Banci Pertanian 2024

    Akuakultur merangkumi aktiviti penternakan ikan, udang, kerang-kerangan serta rumpai laut di perairan tawar, payau dan laut. Berdasarkan Banci Pertanian 2024, jumlah pengeluaran keseluruhan bagi ikan marin dan ikan air tawar adalah sebanyak 484.3 ribu tan metrik.

    Sementara itu, jumlah pengeluaran baka dan benih ikan serta ikan hiasan pula mencatatkan sebanyak 6.5 bilion ekor.

    Perak merupakan peneraju dalam pengeluaran ikan air tawar seperti tilapia dan patin, dengan kawasan ternakan utama terletak di Bukit Merah dan Tanjung Tualang. Selangor pula terkenal dengan sistem penternakan moden untuk ikan marin, serta industri kerang-kerangan seperti kupang dan tiram yang aktif di perairan Kuala Selangor.

    Di Negeri Sembilan, penternakan ikan air tawar dan udang galah menunjukkan pertumbuhan positif, terutamanya di kawasan pedalaman.

    Sarawak, Pahang & Sabah negeri penyumbang utama sektor perhutanan dan pembalakan

    Banci turut meliputi aktiviti perhutanan dan pembalakan, termasuk pengeluaran hasil kayu dan hasil bukan kayu. Tiga negeri utama yang menyumbang kepada sektor ini ialah Sarawak, Pahang dan Sabah.

    Jenis kayu utama yang dikeluarkan termasuk belian, meranti merah muda, kelat, medang dan meranti seraya. Sementara itu, hasil bukan kayu seperti buluh, madu dan petai turut mencatatkan permintaan yang memberangsangkan.

    Jumlah pengeluaran keseluruhan bagi hasil bukan kayu adalah sebanyak 5.4 juta kilogram, manakala pengeluaran kayu balak direkodkan sebanyak 6.6 juta meter padu.

    Sorotan Dapatan Banci Pertanian

    Kredit: Facebook Menarik di Samarahan

    Banci Pertanian 2024 memberikan gambaran penting tentang sektor pertanian negara dengan beberapa sorotan utama seperti berikut:

    Pegangan Pertanian Tua:

    Data banci menunjukkan majoriti pemilik pertanian berumur 60 tahun ke atas, iaitu sebanyak 45.4%, manakala kumpulan umur 46 hingga 59 tahun pula merangkumi 32.3%.

    Situasi ini menimbulkan kebimbangan tentang kesinambungan sektor pertanian, terutama dalam penggantian tenaga kerja dan pemindahan ilmu kepada generasi muda. Oleh itu, strategi pemodenan dan insentif kepada golongan belia perlu diperkukuh agar mereka berminat menceburi bidang pertanian.

    Jurang Produktiviti antara Pertubuhan dan Individu:

    Pemilik pertanian berasaskan pertubuhan mencatat produktiviti lebih tinggi berbanding pemilik individu, terutamanya bagi tanaman kelapa sawit, nanas, dan koko.

    Ini kerana mereka mendapat manfaat skala ekonomi, teknologi moden, dan pengurusan yang lebih baik. Cabaran utama bagi pemilik individu adalah saiz tanah yang kecil, kurang daripada lima ekar, yang menjejaskan hasil dan pendapatan.

    Industri Baharu Berpotensi Tinggi: 

    Tanaman seperti kenaf, napier, dan rumpai laut menunjukkan potensi tinggi. Contohnya, kenaf seluas 1,497 hektar dengan pengeluaran hampir 10,000 tan, manakala napier pula 1,388 hektar dengan pengeluaran lebih 35,000 tan. Industri ini berpeluang memberi nilai tambah, eksport, dan produk hiliran, tetapi memerlukan rantai bekalan yang kukuh untuk berkembang.

    Potensi Industri Tanaman Tradisional: 

    Tanaman kopi, kelapa, dan koko mencatat penurunan keluasan, produktiviti, dan usahawan aktif, namun masih penting dan boleh dipulihkan dengan pendekatan moden dan bersepadu. Kopi tempatan mendapat perhatian global, koko walaupun kini kecil sumbangannya, dan kelapa mempunyai potensi besar dalam produk bernilai tambah.

    Usaha pemulihan termasuk mekanisasi dan penggunaan benih berkualiti tinggi seperti Matag, Pandan, MYD, dan MRD sedang dijalankan. Kerajaan juga berusaha meningkatkan pengeluaran kelapa tempatan untuk mengurangkan import.

    Video ini memaparkan cabaran dan situasi sebenar yang dihadapi oleh pembanci semasa menjalankan tugas di lapangan dalam pelaksanaan Banci Pertanian. Sumber: Youtube Banci Pertanian 2024

    Kesimpulannya, Banci Pertanian 2024 merupakan pencapaian penting selepas 20 tahun, menyediakan data terkini dan lengkap yang sangat diperlukan untuk pembangunan sektor pertanian negara. Dengan pelaksanaan banci setiap 10 tahun, data yang diperoleh akan sentiasa relevan dan mencerminkan keadaan sebenar sektor pertanian.

    Selain itu, survei jangka pendek yang akan bermula pada 2026 juga akan menambah baik kualiti data dan analisis bagi memastikan keputusan yang dibuat berasaskan maklumat tepat.

    Montaj ini memfokuskan kepada penyampaian hasil dan dapatan utama Banci Pertanian yang telah diterbitkan dalam laporan rasmi. Sumber: Youtube Banci Pertanian 2024

    Sistem Papan Pemuka Geospatial akan dibangunkan untuk mengukuhkan pendaftaran alamat dan perniagaan pertanian, manakala DOSM akan menubuhkan Jawatankuasa TaniStats bagi menyelaraskan kerjasama agensi dalam pembangunan dan pemantauan data statistik pertanian.

    Sistem ini diharap menjadi sumber utama bagi dasar dan perancangan berasaskan bukti.

    Untuk memastikan data banci dan isu-isu penting seperti keterjaminan makanan dapat dibincangkan secara menyeluruh, sesi libat urus bersama kerajaan, penyelidik, akademia, industri, dan petani akan dianjurkan untuk membincangkan dapatan banci dan isu seperti keterjaminan makanan.

    Kerjasama ini penting untuk memanfaatkan data bagi memajukan sektor pertanian yang mampan dan kompetitif.

    Sektor pertanian terus menjadi tulang belakang ekonomi negara, memastikan bekalan makanan cukup, mengurangkan import, menyokong industri pemprosesan, mewujudkan pekerjaan, dan meningkatkan pendapatan petani. Data terperinci hingga ke lokaliti kecil membolehkan perancangan dan intervensi yang lebih tepat untuk pertumbuhan sektor yang berterusan dan mampan.

    Video ini menampilkan keseluruhan perjalanan pelaksanaan Banci Pertanian, merangkumi fasa persediaan, pengumpulan data di lapangan, kerjasama bersama pihak media, pelaksanaan majlis pelancaran, serta proses memuktamadkan data. Sumber: Youtube Banci Pertanian 2024

    Sebagai tambahan, Jabatan Perangkaan Malaysia akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) pada tahun 2025, yang bertujuan memperkukuh kerjasama statistik serantau demi pembangunan mampan.

    Malaysia turut mencatat kejayaan besar di peringkat global apabila menduduki tempat pertama dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 198 negara lain — peningkatan ketara dari kedudukan ke-67 pada 2022/23.

    Kerajaan juga mengisytiharkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara (MyStats Day) dengan tema Statistik Nadi Kehidupan, sementara Hari Statistik Dunia Ke-4 akan disambut pada 20 Oktober 2025 dengan tema Driving Change with Quality Statistics and Data for Everyone.

    Selain itu, platform OpenDOSM NextGen telah dibangunkan untuk menyediakan katalog data dan visualisasi interaktif, memudahkan pengguna mengakses dan menganalisis data secara lebih berkesan melalui portal rasmi 

    The post 97.9% Ladang Diusahakan Individu, Majoriti Berumur 60 ke atas – Ini Fakta Menarik Banci Pertanian 2024 first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah