Pendakwah bebas, Zamri Vinoth dan aktivis, Arun Dorasamy, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berasingan hari ini.
Zamri, 41, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman terhadap kenyataan yang dibuat dengan niat menyebabkan, atau mungkin mencetuskan kegentaran awam.
Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut menerusi satu hantaran di Facebook pada 3 Feb lalu berhubung satu perhimpunan melibatkan "kuil haram".
Pendakwah bebas itu yang memakai kot warna biru dan berseluar hitam kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan, dan memohon dibicarakan.
"Tidak bersalah," katanya.
Jika disabitkan kesalahan itu, Zamri boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Arun, 56, pula memohon dibicarakan atas satu pertuduhan di Mahkamah Majistret Jawi, Nibong Tebal.
Kesalahan yang didakwa dilakukannya adalah berkaitan dengan pengeluaran kenyataan yang berniat untuk menyebabkan kegentaran awam.
Dia juga didakwa mengeluarkan kenyataan dengan niat untuk mencetuskan kegentaran awam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran dilaporkan berada di kompleks mahkamah di Pulau Pinang tersebut.





