Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar menegaskan pemewajiban pensijilan halal bagi restoran yang tidak menghidangkan babi dan alkohol masih di peringkat cadangan dan kajian mengenainya masih belum dibuat.
Mohd Na'im berkata, dia menyentuh isu berkenaan sebelum ini selepas ditanya wartawan mengenai cadangan berkenaan berdasarkan kebimbangan umat Islam di negara ini.
"Wartawan tanya pada saya sama ada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) sebagai agensi yang terlibat mengawal selia isu halal ini ada hasrat ataupun tidak untuk mewajibkan pensijilan halal. Sebab setakat ini pensijilan ini secara sukarela.
"Bila mana berlaku seperti mana yang wartawan sebut kerisauan orang Islam...ada sesetengah restoran tak ada sijil halal, jadi ada kebimbangan di situ, dia (wartawan) tanya pada saya ada cadangan untuk mewajibkan (miliki sijil halal), maknanya baru peringkat awal lagi.
"Saya sebut jelas sebelum ia belum menjadi keputusan dasar Kabinet, ia perlu melibatkan proses yang agak panjang, proses libat urus, proses Jakim jumpa pengusaha-pengusaha restoran dulu, peniaga-peniaga kecil. Sebab kita nak lihat apa impaknya.
"...(Sekarang ini) kajian pun belum lagi, baru cadangan, baru lontaran idea," katanya kepada media selepas program kejohanan badminton di Puchong, hari ini.

Program berkenaan anjuran bersama Christians for Peace and Harmony in Malaysia Movement dan Muslim NGO Global Unity Network.
Isu pensijilan halal mencetuskan polemik apabila Ahli Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok membantah cadangan kerajaan untuk mewajibkan restoran dan syarikat pengendali makanan yang tidak menghidangkan babi dan alkohol memiliki sijil halal.
Kenyataan Teresa itu membawa kepada kecaman daripada pemimpin parti politik dan juga NGO Islam.
Malah, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menjadi antara individu yang lantang mengecam Teresa.
Semalam, Teresa dilapor bertemu Jakim bagi merungkai isu yang mencetuskan polemik serta kemarahan sebahagian umat Islam.
Sementara itu, Mohd Na'im berkata dia akan membentangkan kepada kabinet perkembangan pensijilan halal di negara ini.
"Apa yang perdana menteri dan juga Kabinet minta saya buat untuk kita sediakan nota jemaah menteri memberikan penjelasan berkaitan isu halal. Perdana menteri nak lihat sejauh mana perkembangan halal ini.
"(Isu Teresa) Tak ada (untuk dibentangkan di Kabinet)," katanya lagi.
Jelas Mohd Na'im perdana menteri mahu penjelasan mengenai sejauh mana perkembangan pensijilan halal Jakim boleh menyumbang kepada ekonomi negara.





