WAWANCARA | Umno tidak mempunyai masalah dengan perjuangan PAS untuk menghapuskan judi di negara ini kerana perbuatan itu memang dibenci oleh semua bangsa dan agama.
Bagaimanapun, kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii, pindaan terhadap undang-undang perlu dilakukan terlebih dulu bagi menjayakan agenda berkenaan.
"Itu PAS punya pandanganlah, nak halang judi daripada diadakan tetapi kita ada kerajaan Persekutuan yang (mengawal selia) undang-undang.
"Maka sekiranya esok lusa – manalah tahu ahli parlimen PH kata kita perlu ubah perlembagaan, tak nak (aktiviti) judi (kerana) merosakkan masyarakat dan segalanya – boleh saja buat.
“Halanglah judi, tak ada masalah," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Razlan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian PAS yang mahu menghapuskan pusat judi di negara ini. Parti itu menjadikan langkah kerajaan Kelantan yang berbuat demikian sejak 1990.
Baru-baru ini pula Kedah cuba mengambil langkah sama namun dicabar pemilik premis kegiatan judi dan membawa isu berkenaan ke mahkamah.
Minggu lalu Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri untuk merayu ketetapan dibuat Mahkamah Tinggi Alor Setar yang memihak kepada pemilik premis judi.
Bagaimanapun ia bukanlah bermakna pihak mahkamah menghalalkan kegiatan judi, sebaliknya keputusan tersebut dibuat berdasarkan kepada tafsiran Perlembagaan Persekutuan terkait pembahagian kuasa di antara kerajaan negeri dan pusat.
Untuk rekod, Umno dan PAS kini menjalin kerjasama politik melalui BN dan PN dan menghasilkan keuntungan kepada kedua-dua parti gabungan dalam PRN Johor serta Negeri Sembilan.
Mereka juga sedang cuba mencari persefahaman sekali lagi bagi menghadapi PRN Melaka.
Justeru perkembangan terbaru PAS sedikit sebanyak dilihat memberi kesan terhadap kerjasama BN-PN.
Pada 13 Ogos lalu, mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan, Dewan Ulama PAS Pusat “mewajibkan” orang ramai mengundi parti itu sebagai satu-satunya jalan untuk memastikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis judi dapat dihentikan.
"Ini membuktikan bahawa kerajaan PAS di peringkat negeri kini telah berhabis daya, tenaga, dan menggunakan semaksimum mungkin ruang perundangan yang ada bagi menyekat kemungkaran ini.
“Segala usaha telah digembleng hingga ke titik batas kuasa (limitasi) di peringkat negeri.
"Memandangkan keputusan mahkamah yang memutuskan punca kuasa sebenar membasmi judi terletak pada akta di peringkat kerajaan pusat, bebanan dan tanggungjawab ini kini telah beralih sepenuhnya ke atas bahu dan tangan pengundi," kata ketua penerangannya, Mohd Nor Hamzah.
Sementara itu, Razlan berkata, bangsa lain tidak perlu risau jika BN kembali mentadbir negara bersama PN pada masa hadapan.
Katanya, sejarah pentadbiran BN membuktikan bahawa gabungan itu tidak pernah meminggirkan kaum lain dan mereka dapat menikmati kemakmuran secara bersama.
"Kalau kita ditakdirkan bersama, sudah tentu kita ada persefahaman dengan PN. Sekiranya benda itu berlaku kaum-kaum lain jangan takut.
"Sebab dulu pun BN ini kita jadi kerajaan kita tidak pernah mengetepikan kaum lain," katanya lagi.





