Di dunia penulisan hari ini, ada satu makhluk baharu sedang berkeliaran di setiap bilik berita, pejabat editor, kuliah dan bilik pensyarah kolej dan universiti, malah menerobos hingga ke penthouse CEO dan meja kopi penulis tempatan. Namanya bukan hantu raya. Bukan juga jin atau puaka. Tetapi, Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang kemudian menciptakan nyawa bernama algoritma.
Kehadiran AI menjadikan penulisan nampak tenang di permukaan tapi gawat di dasarnya. Namun, kegawatannya masih ‘suam-suam kuku’, belum mencapai arus deras tahap krisis. Bagaimanapun, di barisan editor media massa dan penerbitan perbukuan telah berlaku sikap skeptis dan prejudis; diselubungi wasangka dan curiga. Editor bidang sastera khasnya, sebahagian mereka teruja, dan sebahagian lagi mula berkelakuan aneh, seolah-olah dunia penulisan sedang menunggu bunyi loceng kiamat terakhir.
Sementara itu, wujud pula kelompok penulis yang terkesima dan ramai menjadi seronok. Kerana, AI boleh dijadikan kuda tunggangan atau kenderaan untuk cepat sampai ke pangkalan. Tetapi, bak kata peribahasa Inggeris, one man’s meat is another man’s poison.
Lucunya, suasana itu mengingatkan kita kepada kata-kata ahli falsafah Jerman, Arthur Schopenhauer, “Setiap perubahan besar akan melalui tiga peringkat: mula-mula ditertawakan, kemudian ditentang, akhirnya diterima sebagai sesuatu yang biasa.”
Hari ini AI sedang melalui peringkat kedua: dipandang dengan rasa skeptisme dan ditentang penuh syak wasangka. Bukan semua penulis ataupun editor tapi segelintir. Namun persoalannya, adakah AI benar-benar musuh penulis dan editor? Atau sebenarnya ia cuma cermin yang memantulkan ketakutan manusia terhadap perubahan? Takut, khuatir dan benci ‘zon selesa’ mereka menerima gangguan dan perubahan.
Mesin masuk ke dunia kata-kata
AI memudahkan pengurusan penulisan terutama di bidang kewartawanan dan termasuk digunakan secara meluas merentasi hampir semua sektor perkilangan dan industri angkasa lepas. Ia memainkan perananan penting dalam memodenkan operasi, mempercepatkan tugas kompleks, meningkatkan tahap keselamatan dan membuat keputusan berdasarkan data terkumpul dari seluruh dunia.
Justeru, penggunaan AI sedikit-sebanyak sudah mengubah landskap dalam dunia penulisan; khususnya bidang kesusasteraan. Manakala daripada wartawan yang mahu menyusun data dengan cepat, hinggalah penyelidik yang perlu menyaring ratusan dokumen dalam masa singkat, teknologi AI ini menjadi alat bantu yang sangat berguna. Malah pelbagai media antarabangsa kini menggunakan AI untuk membantu kerja penyuntingan, penterjemahan dan analisis data.
Sewajarnya, kewujudan dan kehadiran AI dihulurkan salam persahabatan dan usaha sama bukan sebaliknya.

Di Malaysia, perbahasan mengenai AI semakin rancak. Dalam rencana “AI menghakis identiti penulis?” yang disiarkan oleh Berita Harian, antara persoalan utama yang dibangkitkan ialah sama ada penggunaan AI akhirnya akan menghilangkan suara asli seorang penulis. Sementara itu, Dewan Sastera melalui wacana “Pasca AI dan kematian penulis jujur?” turut membincangkan kebimbangan tentang keaslian karya dalam era algoritma.
Kebimbangan itu dianggap liar, tetapi tidak salah. Namun, ketakutan yang berlebihan dan tidak terkawal juga tidak sihat. Bak kata orang tua-tua, “Takutkan bayang-bayang sendiri, akhirnya kaki terpijak duri.” Kerana terlalu cerewet, teliti dan berhati-hati, diri keliru memilih belacu yang disangka mastuli.
Kapak, gergaji dan mesin raksasa
Bayangkan seorang penebang balak seratus tahun dahulu. Untuk menumbangkan sebatang pokok sebesar pemeluk orang dewasa, dia memerlukan kapak, beliung dan tenaga luar biasa, yang mungkin memakan masa berhari-hari. Sedemikian penggunaan lokomotif dijana oleh arang batu, mahu sampai ke destinasi memakan masa berhari-hari.
Tetapi, hari ini? Satu mesin pemotong berkuasa tinggi bernama chainsaw mampu menyelesaikan kerja yang sama dalam masa jauh lebih singkat. Adakah itu bermakna kemahiran tukang balak sudah mati? Demikian juga bullet train mampu sampai ke destinasi dalam waktu lebih cepat. Adakah keupayaan pengalaman pemandu lokomotif tidak lagi berguna? Tidak, semestinya tidak sama sekali. Yang berubah hanyalah alat. Yang terus kekal manusia dan kudrat.
Terbaharu, AI berjasa kepada ramai pakar matematik sedunia dengan memberi bakti menyelesaikan masalah matematik yang paling kompleks, setelah tertangguh puluhan tahun.
Petikan berita: “New Delhi: Satu masalah matematik lama yang mencabar ramai ahli matematik hebat dunia selama hampir 80 tahun diselesaikan oleh model kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh OpenAI.”
NDTV World melaporkan, penemuan itu membabitkan masalah terkenal dikenali sebagai "unit distance problem", pertama kali dikemukakan pada tahun 1946 oleh ahli matematik Hungary yang terkenal, Paul Erdős. Memang adakalanya keupayaan minda manusia turut terbatas dan AI menjadi penawar yang bernas.
Begitulah AI. Naratif mudah untuk dicerna oleh pemikiran positif:
● AI tidak mencipta bakat.
● AI tidak mencipta jiwa.
● AI hanya mempercepatkan proses.
Masalah muncul apabila manusia mula menyerahkan seluruh pemikiran kepada mesin. Di situlah bahaya sebenarnya. Friedrich Nietzsche pernah mengingatkan, “Sesiapa yang terlalu lama melihat ke dalam jurang, akhirnya jurang itu akan melihat kembali kepadanya.”
Sedemikian juga AI. Jika manusia terlalu bergantung kepadanya, akhirnya manusia sendiri kehilangan daya fikir. Malah mungkin kehilangan identiti dan jati diri; terkurung dan tersesat dalam jaringan algoritma AI paling kompleks.
Jangan jadi hamba teknologi
Menggunakan AI bukan dosa. Bukan juga jenayah. Malah dalam banyak keadaan ia membantu mempercepatkan kerja yang melelahkan:
● Mencari data.
● Menyemak fakta.
● Memperbaiki tatabahasa.
● Menghasilkan rangka awal penulisan.
Semua itu boleh dibantu oleh AI.
Tetapi jangan sampai hubungan itu berubah daripada “menggunakan alat” kepada “ditunggang alat”. Penulis boleh berkawan dengan AI. Tetapi jangan sampai berkahwin dengannya. Kerana karya kreatif bukan sekadar susunan ayat:
● Pantun asalnya tercipta dari kepekaan indera.
● Puisi misalnya, lahir daripada liang-liang luka.
● Cerpen lahir daripada pahit-manis pengalaman.
● Novel lahir daripada pergaduhan panjang antara akal dan jiwa.
Dan perkara-perkara seperti itu belum mampu ditiru sepenuhnya oleh mesin. Perhati dan teliti perkara berikut:
● AI boleh menulis tentang kesedihan. Tetapi AI tidak pernah menangis.
● AI boleh menulis tentang kebencian. Tetapi AI tidak pernah bergaduh.
● AI boleh menulis tentang kehilangan. Tetapi AI tidak pernah kehilangan sesiapa.
● AI boleh menulis tentang kemenangan. Tapi AI tidak pernah bertanding.
Justeru, mesin tetap mesin; kekal kaku, tapi tahu meniru tanpa rasa ragu atau malu. Mesin tidak punya perananti mengesan emosi atau jentera mencipta jiwa. Itulah bezanya.
Editor: Penjaga mutu atau polis bahasa?
Dalam kekecohan ini, golongan editor juga sedang berdepan dilema besar. Ada editor yang menerima AI sebagai alat. Ada pula yang melihat setiap manuskrip seperti pegawai forensik memburu penjenayah:
● Setiap ayat diperiksa.
● Setiap perenggan disyaki.
● Setiap karya diselongkar.
● Setiap penulis dianggap suspek.
Justeru, jadilah ‘supraeditor’ jika mampu. Jangan jadi editor terlalu berhati-hati dan teliti hingga timbul rasa sangsi tahap infiniti. Akhirnya wujud budaya ‘paranoia.’ Ironinya, banyak sistem pengesan AI sendiri tidak konsisten. Terdapat pengguna yang melaporkan tulisan lama mereka, yang ditulis bertahun-tahun sebelum kemunculan ChatGPT, turut ditandakan sebagai “hasil AI”. Kecelaruan begini semakin menambah kecelaruan dan keliru terhadap isu yang sudah sedia bercelaru.
Maka timbul persoalan besar menagih jawapan terkini. Kalau alat pengesan sendiri tidak pasti, bagaimana manusia boleh menghukum dengan begitu yakin? Di sinilah editor perlu menjadi bijaksana. Menjadi pengawas mutu, bukan pengawas ketakutan. Kerana jika semua orang terlalu sibuk mencari “bau AI”, akhirnya mereka terlupa mencari “bau bakat”.
Bagaimanapun, pengecualian diberikan pada editor yang benar-benar mewarisi dan menganut fahaman ‘purist’; berhak memastikan setiap tulisan tidak tercemar daripada manipulasi teknologi AI oleh penulis yang tidak bertanggungjawab. Sikap tidak berkompromi walau seinci, demi mengekalkan kesucian dan ketulenan hasil penulisan dan karya sastera di ruangan kelolaan mereka, harus diraikan.
Bahaya sebenar bukan AI, tapi penipuan
Namun dalam keterujaan menerima teknologi, kita juga tidak boleh menjadi naif. AI boleh digunakan untuk tujuan yang merosakkan. Malaysia sendiri sudah melihat bagaimana teknologi deepfake digunakan untuk menipu dan memfitnah.
Nama penyanyi terkenal dan tokoh awam pernah disalahgunakan melalui suara serta video palsu yang dijana AI untuk memperdaya orang ramai. Malah terdapat juga kes video palsu melibatkan pegawai kanan kerajaan yang tersebar di media sosial.

Dalam dunia sastera antarabangsa pula, kontroversi mula tercetus apabila karya yang memenangi anugerah sastera berprestij disyaki menggunakan AI secara tersembunyi. Di sinilah persoalan etika menjadi sangat penting. Masalah akar bukan pada canggihnya AI. Masalah sebenar kerana onar manusia, mereka tidak jujur.
Perlu diingatkan, pisau yang sama boleh digunakan untuk memasak atau mencederakan. Teknologi pun begitu juga.
Masa depan tak tunggu sesiapa
Dunia tidak akan berpatah balik. AI tidak akan hilang. Teknologi tidak akan meminta maaf kerana berkembang. Maka pilihan yang tinggal hanyalah dua:
● Menerima seadanya dan menyesuaikan diri.
● Atau terus merungut sambil ditinggalkan zaman.
Confucius pernah berkata, “Orang bijaksana menyesuaikan dirinya dengan keadaan, bukan memaksa keadaan menyesuaikan dirinya.”
Barangkali itulah hikmah terbesar yang perlu difahami oleh dunia penulisan hari ini.
Kerana akhirnya, AI bukan ancaman terbesar kepada dunia penulisan atau bidang sastera. Ancaman terbesar ialah apabila manusia:
● berhenti berfikir.
● apabila penulis berhenti membaca.
● apabila editor berhenti mempercayai bakat.
● dan apabila masyarakat lebih percaya kepada algoritma daripada kebijaksanaan manusia.
Apa pun situasi dialami manusia, AI akan terus berfungsi sama ada mereka suka ataupun sebaliknya. Tidak wajar AI dibenci atau dimusuhi, tapi dirai di ruang kompromi. Demi diberikan juga pertimbangan dan keadilan terhadap kemajuan pesat teknologi AI yang dikongsi bersama sarwajagat.
Mesin tak punya roh
Kerana pada akhirnya, mesin mungkin mampu meniru loghat, laras bahasa dan gaya. Mesin mungkin turut mampu menyusun frasa, berperibahasa dan berbahasa sastera. Mesin mungkin juga mampu menghasilkan ribuan halaman berunsur seni dalam satu malam. Mesin membuat segala-gala penulisan dan karya kreatif ‘sehampir’ akal dan jiwa manusia. Hingga sulit dan terlalu sukar mencari perbezaan buatan mesin atau ciptaan insan. Apa pun, jangan terkejut, pelik dan panik.
Tetapi, hanya manusia berjiwa seni punya intuisi yang mampu meninggalkan “roh” seninya dalam tulisan dan karya. Dan selagi “roh” itu masih hidup, sentiasa murni, selagi itulah sastera tidak akan mati. Mesin boleh berdebu. Teknologi boleh berubah. Algoritma boleh bertukar setiap tahun. Namun, jika AI digunakan secara berhemah dan bertanggungjawab, tidak mungkin timbul persoalan terhakis identiti atau membunuh kejujuran penulis.
Kerana, tulisan yang lahir daripada ketulenan idea dan kejujuran jiwa akan terus bernyawa; seperti “setia nyala pelita lama yang tidak pernah jemu menerangi alam malam.”
Penulis, AI dan masa depan
AI bukan ancaman kepada penulis yang benar-benar membaca, tetapi ancaman kepada penulis yang selama ini hanya berpura-pura membaca. Kerana hakikatnya, AI tidak mencipta krisis baharu. AI hanya membuka topeng lama menyerlahkan kebenaran.
Penulis yang rajin membaca akan menggunakan AI sebagai pembantu meningkatkan mutu. Sebaliknya, penulis yang malas membaca akan menggunakan AI sebagai pengganti untuk memanipulasi. Di situlah bezanya penulis (tukang tulis) dengan pengarang (tukang karang).
Renungi kata Umberto Eco, "Sesiapa yang tidak membaca, hanya memiliki satu kehidupan. Sesiapa yang membaca, telah hidup ribuan kehidupan."
AI mungkin boleh membaca seluruh perpustakaan sedunia dalam beberapa seconds. Tetapi, AI tidak pernah hidup di mana-mana zaman, walau satu kehidupan pun. Sebab itu masa depan sastera bukan ditentukan oleh mesin, tapi di tangan manusia bijaksana. Lumrah alam, manusia hidup untuk mencipta kemajuan, kemudian manusia juga mencipta permasalahan. Jean-Jacques Rousseau pernah berkata, “Yang mengkritik bahawa kemajuan teknologi dan sains tidak semestinya menjadikan moral manusia lebih baik.”
Masa depan sastera tetap ditentukan oleh manusia yang masih mampu menjadi perasa yang merasai denyut nadi, perenung yang merenungi penuh simpati, pemikir yang memikirkan kesejahteraan manusia dan menjadi manusia yang mencintai dan bahagia setelah menderita. Inilah keistimewaan manusia upaya mengatasi kelebihan AI yang ada algoritma. Yang sentiasa mendahului adalah manusia.
Dan selama manusia masih mempunyai hati, jiwa dan perasaan, sastera dan dunia penulisan akan sentiasa mempunyai masa depan.
[NOTA: Tulisan ini merujuk rencana sastera berjudul “AI menghakis Identiti Penulis” oleh Ardini Najhan’ (Berita Harian, 11 Mei, 2026) dan “Pasca AI dan Kematian Penulis Jujur?” oleh Putraery Hussin (Dewan Sastera, 25 Mei, 2026).]
RAMLEE WAHAB penulis dan penyair berasal dari Segamat dan kini menetap di Batu Pahat, Johor. Dia pernah memenangi Hadiah Utama Peraduan Menulis Rencana Sastera - Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan Hadiah Kategori Puisi Eceran - Hadiah Sastera Darul Ta'zim. Penulis juga adalah mantan timbalan pengerusi dan pemeriksa kira-kira Pena.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





