30.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 2, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Tiada lagi aset tersembunyi?

    Shopee Sale

    Perubahan paling penting dalam peraturan baru pengisytiharan aset bagi pegawai perkhidmatan awam persekutuan bukanlah kewajipan mengisytiharkan mata wang kripto atau pelaburan digital.

    Sebaliknya, perubahan paling besar ialah peralihan kepada penjejakan pemilikan benefisial. 

    Bawah pekeliling baru Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) (MyPPSM Seksyen UP.7.2.6), pegawai awam perlu mengisytiharkan aset yang dipegang oleh pihak lain bagi pasangan atau anak mereka.

    Pengisytiharan aset digital hanya menunjukkan aset yang dimiliki oleh seseorang pegawai.

    Pemilikan benefisial pula membantu mengenal pasti siapa yang sebenarnya mengawal aset tersebut.

    Ringkasnya, pemilik benefisial ialah individu yang benar-benar memiliki atau menikmati manfaat sesuatu aset, walaupun nama orang lain tertera dalam dokumen rasmi.

    Memiliki aset bukan satu kesalahan 

    Isunya bukan sama ada pegawai awam boleh memiliki syarikat atau mengumpul kekayaan. 

    Mereka boleh berbuat demikian, selagi mematuhi rangka kerja yang ditetapkan dalam pekeliling pindaan terkini.

    Isunya ialah ketelusan.

    Jawatan awam membawa tanggungjawab akauntabiliti yang lebih tinggi kerana kepentingan kewangan peribadi boleh bertembung dengan proses membuat keputusan awam.

    Rangka kerja yang disemak semula ini direka untuk memastikan kepentingan tersebut didedahkan menerusi pengisytiharan, had pemilikan serta keperluan mendapatkan kelulusan bagi pelaburan dan aset tertentu.

    Sebelum ini, laporan aset hanya melihat nama yang tertera pada dokumen undang-undang.

    Dengan memberi tumpuan kepada pemilikan benefisial, kerajaan kini melihat melangkaui dokumen untuk mengenal pasti siapa yang benar-benar mengawal dan menikmati manfaat sesuatu aset.

    Selama berdekad-dekad, mereka yang terlibat dalam rasuah bergantung kepada helah yang mudah: pastikan rekod sendiri bersih, tetapi simpan hasil yang diperoleh atas nama orang lain.

    Pengaturan seperti ini lazimnya melibatkan nomini, iaitu individu yang namanya tertera sebagai pemilik sah, manakala pemilik sebenar berada di sebalik urusan tersebut.

    Pemilikan benefisial dalam sektor swasta

    Malaysia pernah menyaksikan perkara ini.

    Skandal 1MDB menunjukkan bagaimana wang dan aset boleh dipindahkan melalui rangkaian syarikat, amanah dan proksi merentasi pelbagai bidang kuasa sebelum penyiasat berjaya mengesan pemilik benefisialnya.

    Pengalaman itu, bersama kebimbangan terhadap pematuhan Malaysia kepada piawaian pasukan petugas tindakan kewangan berkaitan ketelusan pemunyaan benefisial, mendorong pembaharuan pemilikan benefisial korporat negara pada tahun 2024.

    Akta Syarikat dipinda bagi mewajibkan syarikat mengenal pasti dan merekodkan pemilik benefisial mereka.

    Syarikat juga diwajibkan menyelenggara daftar pemilikan benefisial serta melaporkan sebarang perubahan. Tanggungjawab itu diletakkan kepada setiausaha syarikat masing-masing.

    Ini satu pembaharuan penting, tetapi ia memberi tumpuan kepada syarikat.

    Rangka kerja baharu pengisytiharan aset perkhidmatan awam melangkah lebih jauh dengan memberi tumpuan kepada individu yang memegang jawatan awam.

    MENARIK:  Bekas pengarah SRC: Saya tak akan bantah arahan Najib

    Malaysia, kini menyertai negara-negara lain yang sejak sekian lama memperkukuh peraturan pemilikan benefisial kerana pemilikan dari sudut undang-undang sahaja sering kali tidak memberikan gambaran sebenar.

    Tiada rangka kerja pengesahan menyeluruh

    Skop pengisytiharan aset juga diperluaskan.

    Ia kini merangkumi kewajipan mengisytiharkan syarikat persendirian yang dimiliki oleh ibu bapa, ibu atau bapa mentua serta adik-beradik.

    Rangka kerja itu turut memperluaskan takrifan anak.

    Anak luar nikah, anak tiri, anak angkat serta anak dewasa tertentu yang mempunyai kelainan upaya turut termasuk, jika mereka masih berada bawah tanggungan pegawai berkenaan.

    Secara keseluruhannya, perubahan ini menjadikan usaha memindahkan kepentingan kewangan dalam kalangan keluarga terdekat tanpa pengisytiharan lebih sukar dilakukan.

    Pekeliling itu tidak memperkenalkan hukuman tatatertib baharu.

    Ini mungkin kerana kewajipan mengisytiharkan aset sudah pun diperuntukkan bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

    Sebaliknya, pekeliling itu memperluaskan perkara yang perlu diisytiharkan.

    Namun, keberkesanannya bergantung kepada sejauh mana pengisytiharan tersebut dipantau dan dikuatkuasakan secara konsisten.

    Pekeliling itu sendiri tidak secara jelas mewujudkan rangka kerja pengesahan yang menyeluruh. Justeru, pengawasan yang berkesan menjadi lebih penting.

    Langkah seterusnya: Tutup jurang di peringkat negeri

    Malangnya, keperluan yang sekian lama tertangguh ini pada masa ini hanya terpakai kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan.

    Jabatan Perkhidmatan Awam telah memperluaskan rangka kerja yang disemak semula ini kepada perkhidmatan awam negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan, tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa yang mentadbir masing-masing.

    Ini menjadikan langkah seterusnya amat penting.

    Kerajaan negeri perlu menerima pakai rangka kerja yang disemak semula ini tanpa kelewatan yang tidak perlu.

    Kerajaan negeri menguruskan antara aset awam paling bernilai di Malaysia, iaitu tanah.

    Ramai pegawai kanan kerajaan negeri juga menganggotai lembaga pengarah syarikat milik kerajaan negeri, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). 

    Mereka membuat keputusan yang melibatkan tanah, perolehan, pelaburan dan dana awam.

    Jika ada negeri menerima pakai rangka kerja ini manakala negeri lain tidak, pegawai awam yang menjalankan tugas yang serupa akan tertakluk kepada standard pengisytiharan yang berbeza. 

    Ini akan mewujudkan jurang dalam pemantauan ketelusan dan integriti.

    Keyakinan rakyat tidak sepatutnya bergantung kepada tempat seseorang pegawai awam bertugas.

    Oleh itu, orang ramai juga mempunyai perananan.

    Desak setiap kerajaan negeri supaya menerima pakai rangka kerja yang disemak semula ini agar standard ketelusan yang sama dapat dilaksanakan di seluruh negara.


    S VINOTHAA adalah wartawan penyiasatan Malaysiakini.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian portal ini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah