28 C
Kuala Lumpur
Monday, August 3, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN l Umno usung ular dalam selimut

    Shopee Sale

    ULASAN l Aminuddin Harun dihukum tanpa kesalahan. Seperti banyak kisah tragis dalam filem Melayu purbawara, wira ditewaskan. Ada dendam disalut sentimen kaum.

    MB baharu Negeri Sembilan pun sudah angkat sumpah. Tapi ‘jadi bahan’ pula apabila orangnya bukan yang dicanangkan awal-awal oleh Umno-BN, iaitu Adun Pertang.

    Adun tujuh penggal yang berpindah-pindah dari DUN Juasseh ke Senaling; Senaling balik ke Juasseh pula yang terpilih.

    Apa pun, tahniah YAB Ismail Lasim!

    Ketika beliau berbaju Melayu hitam, berdiri di depan Yang di- Pertuan Negeri Sembilan, kerusi-kerusi Adun BN hampir kosong.

    Ramai melihat, ia isyarat protes sesama mereka.

    Sementara puak Umno-BN yang menarik sokongan terhadap MB Aminuddin sebelum ini atau lebih mesra dengan panggilan Tok Min, masih belum hilang henyakan bekas tapak-tapak kaki mereka di halaman Istana Sri Menanti.

    Lain dipesan, lain sampai

    Macam kata natizen, “lain yang dipesan, lain yang sampai”. Begitu jugalah riuh-rendah sewaktu PRN Johor tempohari, dalam begitu banyak janji-janji BN, yang terawal ditunaikan meski tak diminta ialah perlantikan 10 timbalan exco; jawatan yang tidak pernah wujud sepanjang zaman sebelum kita.

    Belum pun hilang dakwat di jari pengundi, Umno-BN sudah kembali ke peranangai beraja di mata, bersultan di hati.

    Sampai bila-bila, PRN Johor dan Negeri Sembilan tahun ini tercatat kerana helah dan ketamakan Umno-BN.

    Kedua tempoh di negeri berkenaan belum sampai akhir penggal. Tapi hari ini, cakap pun sudah tak guna kerana berpuluh juta wang rakyat sudah ‘dibakar’ untuk kedua-dua PRN yang Umno idam-idamkan.

    Alih-alih semalam, foto Tok Min pula bertempek berceracak memenuhi media sosial. Tanda like jauh lebih tinggi berbanding sepanjang beliau berkempen dua minggu sudah.

    Mungkin ada yang kesal, ada pula yang sedih… begitulah, aduhai Melayu-Melayu! Selalu terantuk dahulu.

    Ketika disoal wartawan pada malam kekalahan, Tok Min menjawab tenang.

    Senyum seperti selalu. Dia bukan sahaja percaya bahawa semuanya merupakan qada-qadar illahi, malah yakin ada hikmah di sebalik luka khianat yang sedang menitis darahnya di bawah meja sidang media.

    Lebih menyinar ialah ketika dia percaya bahawa pilihan raya yang dipaksakan ini telah mendidik anak-anak bangsa tentang sesuatu kebaikan tidak datang bergolek. Seperti sebuku roti, kebaikan perlu diperjuangkan dengan ikhlas.

    Dan bagi para pejuang seperti Tok Min yang ikut terjun dalam Gerakan Reformasi 1998, tiada pilihan selain mati berdiri adalah lebih mulia daripada hidup menyembah menggadai maruah.

    Dalam ketewasan ini, Tok Min meninggalkan simpanan lebih RM1 bilion; juga pelaburan yang mulai mencurah, yang bakal mengubah wajah Negeri Sembilan lima hingga 10 tahun ke depan; berbagi bonus tiga bulan kepada kakitangan awam yang tak mampu diberikan oleh mana-mana negeri kawalan Umno atau PAS. Dan banyak lagi.

    MENARIK:  Tambang bas sekolah akan naik? MCA gesa k'jaan percepat subsidi minyak

    Tuhan Maha Besar, maha mengetahui pula. Apa yang direncana secara senyap-senyap oleh elit Umno, tidak semuanya berjalan ikut skrip.

    Ketawa terbahak, masuk jerat

    BN yang bertanding 25 kerusi bersama dokongan PN sepatutnya sudah menang melebihi majoriti mudah 19 kerusi secara sendiri

    Dengan apa yang kononnya disebut “gelombang biru” sekalipun, BN kalah di tujuh kawasan. Jumlah menang 18 DUN bererti tetap kurang satu untuk membentuk kerajaan mutlak.

    Di sinilah PN mula ketawa terbahak, yang mana Umno-BN sebenarnya sudah masuk jerat mereka.

    Sedang kita tahu, kalau boleh, Umno-BN hendak mendirikan kerajaan yang tidak boleh digugat sesiapa.

    Strateginya untuk menang besar dengan memakai undi PN, khususnya PAS, tak menjadi. Dan kini, bukan PH yang menjadi kerikil dalam sepatu, namun, rakan komplot mereka sendiri, iaitu PAS-PN!

    Selama mana kerajaan Negeri Sembilan penggal ini bernafas, selama itulah PN akan menjadi ular yang tidur bersekali di dalam selimut BN di atas ranjang kuasa.

    Tidak hari ini, tetap sampai masa ia akan mematuk dan menyemburkan racun. Ada mungkin, kerajaan Negeri Sembilan BN-PN itu akan tergolek dog lagi di tengah jalan.

    Leher di hujung mata gergaji PAS

    Sejak zaman Onn Jaafar, PAS takkan membiarkan Umno atau pemimpinnya kembali kuat dan dominan.

    Mereka hanya tunggangan sementara. Tiap-tiap kali PAS menjadi kuat, semuanya dari darah yang diminum, yang cucur dari krisis dalaman Umno.

    Lihatlah, Onn pernah disembelih secara halus di Kuala Terengganu; parti serpihan Semangat 46 diracun pelan-pelan; dan yang terbaru, Bersatu baru sahaja dicincang-cincang hidup-hidup sampai terkulai layu.

    Umno yang pernah terlepas daripada lubang ular bernama Muafakat Nasional (MN), kini kembali ke jerlus yang sama. Umno yang pernah diselamatkan oleh Anwar Ibrahim, kini bersorak-sorai, sedang tidak disedari leher sudah berada di hujung mata gergaji PAS.

    Sejarah sedang mencatat, strategi paling agung parti-parti yang mengatasnamai Melayu-Islam tidak lain hanyalah perbuatan khianat. Tahun-tahun mutakhir ini membuktikan itu: Umno kali PAS, dua kali lima sahaja!

    Ya, sila tandakan tulisan ini supaya kelak saatnya tiba, ia boleh dirujuk kembali kemudian hari kepada anak bangsa betapa mahalnya harga yang perlu dibayar atas amalan khianat sesama parti-parti yang memakai nama “Melayu-Islam” itu.

    Kalau inilah “hikmah” seperti yang diucapkan Tok Min, sesungguhnya Tuhan sudah menyelamatkan beliau dengan cara luar biasa, yang tidak terduga oleh sesiapa.

    Penghargaan khusus buat Aminuddin Harun: MB pertama dari PKR-PH Negeri Sembilan, yang di masanya, kata-kata berupa sebuah tindakan. Dan kesetiaan adalah kekuatan yang tiada tolok bandingnya.


    HASMI HASHIM ialah seniman dalam bidang seni lukis, lirik lagu dan puisi, selain seorang penggiat PKR.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah