Seorang ahli parlimen PKR yang dilihat sehaluan dengan pengasas bersama Bersama, Rafizi Ramli, melancarkan kritikan pedas berikutan kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan, buat pilihan raya negeri (PRN) ketiga bermula di Sabah pada November tahun lalu.
Anggota Parlimen Subang, Wong Chen, tanpa tapoisan terus meletakkan kekalahan tersebut atas sikap PH yang didakwanya sanggup mengkompromikan prinsip demi kelangsungan politik.
“Inilah yang berlaku apabila keghairahan untuk mengkompromikan segala-galanya demi kekal berkuasa bagi jangka masa pendek menguasai diri, sehingga mengakibatkan kelesuan politik dan kelumpuhan prinsip teras,” katanya.

Wong, yang memberi isyarat bahawa dia sedang bersiap sedia untuk merancang haluan politik yang berbeza, berkata kestabilan demi kelangsungan hidup sendiri dan supaya individu tertentu kekal menjadi menteri tidak patut dikelirukan dengan kestabilan negara.
“Ketelusan, kebertanggungjawaban, dan penentangan terhadap rasuah adalah misi serta mandat asal reformasi kita.
“Bukan kuasa demi kuasa semata-mata,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Dia seterusnya mendesak rakan-rakannya dalam PH untuk bertanggungjawab atas kekurangan mereka dan mempertimbangkan untuk berundur sekiranya tidak lagi mempunyai tekad atau selera untuk meneruskan reformasi.
“Setiap kali penentang dalam PKR bersuara di Parlimen, sebahagian besar memilih untuk berdiam diri.
“Mantra mengenai 'kestabilan', 'demi kebaikan yang lebih besar', 'perlu ada disiplin parti', dan 'kita boleh berubah secara perlahan-lahan dari dalam' semuanya sudah lesu dan lapuk.
“Pengundi tidak lagi menerima alasan-alasan ini,” tambahnya.

Wong memetik dakwaan yang melibatkan bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, serta dakwaan kewujudan mafia korporat yang melibatkan pegawai SPRM yang didakwa berpakat dengan usahawan bagi memudah cara pengambilalihan korporat, sebagai contoh isu yang gagal ditangani secara tegas oleh kerajaan.
“Kekurangan keberanian dalam kalangan kita telah mencapai tahap kritikal sehingga kita tidak mampu mendapatkan 51 peratus anggota Parlimen untuk mendesak perdana menteri mengesyorkan penubuhan RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja), sedangkan kita mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan,” katanya.
Mengenai kekalahan PH dalam pilihan raya Negeri Sembilan, Wong berkata ia akhirnya bergantung kepada pengiraan matematik, apabila gabungan tersebut gagal meraih undi Melayu ketika dua parti teras Melayu - Umno dan PAS - bekerjasama.

“Undi lain tidak memberi banyak makna apabila golongan progresif dari semua pihak telah dikecewakan oleh ketidakwujudan reformasi yang ketara.
“Tanpa platform progresif yang berwibawa untuk menyatukan semua kaum, kita akan terus terperanangkap dalam corak pengundian berasaskan kaum,” katanya.
Wong turut mendedahkan bahawa dia tidak diminta untuk berkempen bagi PKR sama ada di Johor mahupun Negeri Sembilan.
“Pada peringkat ini, perasaan itu adalah sama. Siapa yang menanam, dialah yang menuai hasilnya, dan bagi saya, sudah tiba masanya untuk melangkah ke hadapan,” katanya Lagi





