Pempengaruh dan usahawan, Ashhry Atan meraikan kejayaan cawangan pertama restorannya, Ashhryshoshedap di Nongchik Riverside, Johor Bahru, Johor selepas menerima pensijilan halal rasmi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Labur RM1.8 Juta Buka Restoran Kedua, Ashhry Dedah Pernah Kena Sihir & Dirompak
Artikel Berkaitan: Ashhry Buat Kejutan Istimewa Buat Jururawat, Chef ‘Ashhryshoshedap’ Masuk Dapur Seawal 6 Pagi
Ashhry belanja sarapan

Sebagai tanda kesyukuran, Ashhry belanja hampir 1,000 pengunjung menikmati sarapan secara percuma pada Jumaat.
Menurut Ashhry, inisiatif tersebut juga menjadi tanda penghargaan kepada pelanggan yang terus menyokong perniagaannya sejak awal dibuka.
Alhamdulillah, hari ini saya mengadakan program sarapan percuma untuk orang ramai sempena meraikan kejayaan Ashhryshoshedap memperoleh sijil halal daripada JAKIM.
Saya mahu berkongsi berita gembira ini dengan pelanggan dan semua pihak yang sentiasa menyokong kami sejak awal pembukaan restoran sehingga sekarang.
Bukan mudah untuk mendapatkan sokongan dan kepercayaan orang ramai. Dalam perniagaan makanan dan minuman, kita perlu sentiasa menjaga kualiti makanan serta perkhidmatan yang diberikan.
Kalau tidak konsisten, memang sukar untuk bertahan. Jadi, program ini adalah salah satu cara saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terus menyokong Ashhryshoshedap.
Dalam pada itu, Ashhry bakal menawarkan diskaun 50 peratus untuk semua makanan, minuman dan manisan di dua cawangan restorannya sempena ulang tahun kelahirannya pada 21 Oktober ini.
Mengulas mengenai pensijilan halal, Ashhry menyifatkan pengiktirafan JAKIM sebagai perkara penting bagi meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap hidangan yang disediakan.
Bagi saya, sijil halal memang sangat penting. Walaupun saya sendiri seorang Muslim, saya tetap mahu mendapatkan pensijilan halal supaya pelanggan lebih yakin untuk menikmati makanan di restoran kami.
Halal bukan sekadar makanan yang dihidangkan, tetapi turut melibatkan bahan mentah, proses penyediaan dan aspek kebersihan.
Kami mahu memastikan setiap hidangan bukan sahaja halal, malah bersih dan baik untuk pelanggan, selaras dengan konsep halalan toyyiban.
Ashhry turut berkongsi proses mendapatkan sijil halal bukan sesuatu yang mudah, terutama apabila restorannya menawarkan hampir 300 pilihan menu.
Proses mendapatkan sijil halal memang mengambil masa kerana kami mempunyai hampir 300 pilihan menu termasuk minuman, makanan utama dan pencuci mulut.
Setiap bahan yang digunakan perlu disemak satu per satu. Kami juga perlu mengumpulkan dokumen dan sijil halal berkaitan daripada pembekal.
Memang banyak perkara yang perlu diteliti, tetapi Alhamduliah, segala usaha dan komitmen itu akhirnya membuahkan hasil.
Sasar buka cawangan di Kuala Lumpur

Sementara itu, Ashhry yang kini mempunyai dua cawangan berkata dia mahu memberi tumpuan kepada operasi sedia ada sebelum mengembangkan perniagaan.
Buat masa sekarang, saya mahu fokus menjaga dua cawangan yang sudah beroperasi terlebih dahulu.
Saya mahu memastikan kualiti makanan dan perkhidmatan kami sentiasa konsisten. Kalau semuanya berjalan lancar, insya-Allah dalam tempoh dua tahun lagi saya merancang untuk membuka cawangan di Kuala Lumpur.
Harapan saya supaya lebih ramai orang berpeluang menikmati makanan Ashhryshoshedap.
Selain itu, Ashhry turut merancang membangunkan central kitchen bagi mengembangkan perkhidmatan katering untuk majlis perkahwinan, acara syarikat dan pelbagai majlis lain.
Sekarang saya sedang merancang untuk membangunkan central kitchen. Melalui kemudahan itu, saya mahu mengembangkan lagi bahagian katering untuk majlis perkahwinan, acara syarikat dan pelbagai majlis lain.
Pada masa sama, kami juga sudah aktif menjual produk sambal kering dan sambal basah secara dalam talian.
Selepas ini, saya mahu memberikan lebih fokus kepada jualan menerusi TikTok dan Shopee supaya pelanggan yang berada jauh juga berpeluang menikmati produk Ashhryshoshedap.
Dalam perkembangan lain, Ashhry turut berkongsi keadaan kesihatannya yang semakin baik selepas berdepan pelbagai ujian, termasuk mendakwa dirinya terkena gangguan sihir hingga berat badannya mengalami penurunan ketara.
Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya semakin baik dan berat badan pun makin naik.
Sekarang saya cuba untuk lebih menjaga diri supaya kekal sihat dan dapat terus menguruskan perniagaan dengan baik.
Untuk rekod, Julai lalu Ashhry membuka cawangan kedua restorannya di Tanjung Puteri, Johor Bahru, Johor.
The post [VIDEO] Ashhry Belanja 1,000 Pengunjung Sarapan Percuma Selepas Raih Sijil Halal JAKIM first appeared on OHBULAN!.





