29.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Dua wajah: Satu berdepan krisis, satu sibuk bertengkar politik

    Shopee Sale

    Amaran Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Mohd Hassan Marican baru-baru ini bukanlah amaran biasa. Ia merupakan amaran keras bahawa krisis bekalan dan tenaga global jangan dilihat sebagai isu harga minyak semata-mata. Ia lebih dahsyat.

    Menurut beliau, ia adalah gangguan fizikal yang akan merebak secara berperingkat: dari kos logistik, ke bahan mentah petrokimia, ke plastik, ke baja, ke pembuatan, ke pembinaan dan akhirnya ke isi rumah.

    “Walaupun kesannya mungkin akan dirasai secara berperingkat yang bermula dengan kos bahan api dan logistik sebelum melibatkan bahan mentah, petrokimia, plastik, baja, pembuatan dan pembinaan, akhirnya ia akan melibatkan isi rumah melalui tekanan kos sara hidup yang lebih luas," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

    Namun, jika membaca ruang media dan mengikuti gelanggang politik tanah air kebelakangan ini, seolah-olah wujud dua Malaysia yang hidup dalam dimensi berbeza.

    Wajah pertama adalah realiti yang dijelaskan oleh Hassan Marican. Negara yang sedang berhadapan dengan kelemahan rantaian bekalan global, kenaikan harga bahan mentah, dan ketidaktentuan tenaga. Data terkini mengesahkan kegawatan ini sudah pun bermula. Harga baja di Malaysia telah melonjak lebih 120 peratus sejak 2025, selari dengan peningkatan harga urea global sekitar 128 peratus pada 2026, hasil daripada ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan sekatan eksport dari China.

    Akibatnya, seorang petani kecil kini terpaksa membayar sehingga RM350 bagi setiap 25 kilogram baja, satu kadar yang mampu menentukan sama ada mereka mampu meneruskan musim penanaman seterusnya atau tidak. Kerajaan sendiri mengakui bahawa kos input pertanian terus meningkat kerana bahan mentahnya diimport, dan walaupun subsidi baja dinaikkan 25 peratus kepada RM3,184.40 sehektar semusim, tiada dana khas diwujudkan untuk menampung tekanan ini memandangkan ia didorong faktor luaran.

    Dalam sektor pembinaan, tidak kurang teruk. Data import menunjukkan harga purata keluli Malaysia meningkat daripada RM805.83 setiap tan pada Januari 2026 kepada RM884.06 pada Mac 2026, dengan import tiga bulan pertama 2026 mencecah RM14.36 bilion. Kos bahan mentah yang terus meningkat ini akan diterjemahkan kepada harga rumah, infrastruktur, dan projek-projek awam.

    Sementara itu, Bank Negara Malaysia menjangkakan inflasi keseluruhan meningkat kepada antara 1.5 peratus dan 2.5 peratus pada 2026, berbanding 1.4 peratus pada 2025, didorong tekanan kos luaran yang lebih tinggi dalam persekitaran global yang tidak menentu. Inflasi teras, yang tidak termasuk makanan segar yang tidak menentu, sudah pun mencapai 2.2 peratus pada Oktober 2025 — kadar terpantas dalam dua tahun.

    Bukan sekadar teori tapi sudah berlaku

    Kadar inflasi April 2026 mencatatkan 1.9 peratus, tertinggi sejak Oktober 2024, dengan komponen pengangkutan melonjak kepada 4.1 peratus. Semua nombor ini adalah petunjuk awal bahawa amaran Hassan Marican  tentang kesan berantai yang merebak ke pelbagai sektor bukan sekadar teori — ia sudah berlaku.

    Wajah kedua pula adalah yang menghuni berita-berita politik harian. Ia sesak dengan PRN Johor dan Negeri Sembilan, di mana Menteri Besar Johor sibuk dengan kenyataan bertanding solo dan tidak duduk semeja dengan DAP. Negeri Sembilan bergolak pula dengan isu Yang di-Pertuan Besar Negeri dan PRN-nya yang seolah-olah menjadi medan tunjuk kuasa, bukan medan fikir krisis. Sementara itu PAS  menghentikan kerjasama dengan Bersatu, menjadikan keretakan dalam gelanggang Perikatan Nasional sebagai tumpuan. Kesemua isu ini ada satu persamaan: ia soal kuasa, bukan soal rakyat. Ia soal kedudukan, bukan soal kelangsungan ekonomi negara.

    MENARIK:  Lapan lelaki bergaduh di Bazar Ramadan Tawau ditahan

    Hassan Marican memberi amaran bahawa fokus semata-mata pada harga minyak adalah berisiko kerana memandang ringan skala gangguan. Tetapi dalam politik Malaysia hari ini, fokus semata-mata pada PRN, kerusi, dan konflik ideologi juga sama berisikonya kerana ia memandang ringan darurat senyap yang sedang melumpuhkan ekonomi rakyat.

    Ketika harga baja naik 120 peratus, ketika inflasi pengangkutan mencecah 4.1 peratus, dan ketika kos pembinaan terus melonjak, tiada satu pun isu ini menjadi agenda perbincangan utama di pentas politik. Persoalannya, mengapa parti-parti politik tidak menjadikan amaran ini sebagai agenda utama? Jawapannya terletak pada dua sifat dasar politik tempatan. Pertama, naratif kuasa lebih cepat memberi pulangan daripada naratif krisis ekonomi. Isu "kami lawan mereka", "solo", atau "kerjasama dihentikan" mampu menggerakkan pengundi akar umbi dalam masa beberapa hari, bukan tahun. Kedua, tanggungjawab dilimpahkan ke Putrajaya.

    Parti di peringkat negeri dan parti pembangkang seolah-olah berkata, "Itu urusan Kerajaan Madani." 

    Sedangkan krisis bekalan tidak mengenal sempadan DUN atau Parlimen. Bila kos baja naik, nelayan dan petani di Johor, Negeri Sembilan, atau Kelantan tetap terjejas tidak kira siapa menteri besarnya.

    Apa yang berlaku sekarang adalah perpecahan temporal. Masa ekonomi bergerak perlahan, bertimbun dan tidak mengikut kalendar pilihan raya. Inflasi mungkin kelihatan "terkawal" pada kadar 1.9 peratus, tetapi hakikatnya tekanan kos sudah mula menghimpit petani, pembina, dan pengeluar. Apabila kesan ini akhirnya sampai ke isi rumah — dan ia pasti akan sampai — rakyat akan bertanya kenapa tiada persiapan dibuat.

    Parti memilih masa politik kerana ia memberi ganjaran segera. Namun, seperti yang Hassan Marican  ingatkan, krisis bekalan akan akhirnya membabitkan isi rumah. Apabila tiba masanya rakyat tersentak dengan kos sara hidup yang melonjak tanpa dapat dikawal, mereka tidak akan bertanya "siapa bertanding solo" atau "siapa tinggalkan Bersatu". Mereka akan bertanya: di mana semua pemimpin ketika negara mula berdarah? Ketika itu, jurang antara dua Malaysia ini bukan lagi satu pemerhatian politik. Ia akan menjadi krisis legitimasi yang meruntuhkan kepercayaan terhadap sistem politik itu sendiri.

    Hassan Marican belum lagi hilang suara. Kerajaan Madani masih ada ruang dan Bank Negara sudah mula mengunjurkan tekanan inflasi yang lebih tinggi. Tapi parti-parti politik terutama yang sedang hangat dengan PRN dan konflik dalaman perlu sedar bahawa krisis bekalan tidak akan menunggu PRN selesai. Harga baja tidak peduli siapa Menteri Besar Johor. Kos keluli tidak mengenal DUN mana yang dimenangi. Amaran itu sudah keluar dan data sudah membuktikan ia bukan sekadar retorik.

    Sama ada ia diendah atau diketepikan, ia tetap akan berlaku. Hanya bezanya: esok bila rakyat menderita, adakah pemimpin masih punya jawatan untuk menjawab, atau jawatan itu sudah hilang ditelan arus kemarahan rakyat? Atau pemimpin politik, sama ada pembangkang atau parti dalam gabungan dengan mudah menuding tangan kepada Kerajaan Madani tentang apa kamu buat mempertahankan negara?

    IISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pemerhati geopolitik dan hubungan, dan mengulas perkembangan isu semasa melalui semiotik dan naratif.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah