26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, July 17, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Catur politik ala Keluarga 69 di Sang Hyang Hujong

    Shopee Sale

    ULASAN | Sudah terang lagi bersuluh, atau bagaikan Masjid Rusila di tengah hari rembang. Semua orang sudah tahu bahawa memang benar-benar wujud permuafakatan atau kerjasama di antara BN dan PN bagi mendepani pilihan raya negeri (PRN) terkini - Negeri Sembilan.

    Tidak kiralah kerjasama itu secara tidak rasmi sekali pun, ia tetaplah kerjasama namanya apabila sesuatu keputusan dibuat secara berpakat dengan matlamat yang sama: mengelak keadaan yang tidak diingini.

    Dalam konteks politik dan PRN, BN dan PN sama-sama mahu mengelak kekalahan. Atau mungkin untuk lebih tepat, kita boleh kecualikan PAS dari perbincangan kalah – menang ini, kerana PAS terbukti tidak teragak-agak bertanding untuk kalah.

    Dalam konteks di negeri Darul Khusus itu juga, BN dan PN memilih untuk tidak bertembung antara satu sama lain. Sudah tentu ia bukan satu langkah kebetulan sama sekali.

    Jika di Johor baru-baru ini, BN dan PN (khususnya PAS) masih malu-malu kucing untuk isytihar secara terang-terangan betapa berlaku persefahaman tertentu, kali ini sudah jelas – seperti Masjid Rusila disimbah mentari rembang itu – ia terpatri begitu,

    Apa yang belum cuma istiadat berpelukan di atas pentas. Kemudian dilengkapkan dengan ahli PAS menyanyikan lagu Umno, dan ahli Umno mengibarkan bendera PAS dan PN dengan mendendangkan lagu Bersatulah Wahai Kaum Muslimin.

    Senario yang terbaik ialah, tampil sesiapa yang kreatif untuk menggubah satu lagu maha karya yang menggabungkan kisah pertautan kembali Umno – PAS itu. Dari segi seni filem, mungkin bekas Pengerusi Finas, Mohd Nasir Ibrahim, boleh turun tangan.

    Percaturan BN dan PN tidak lain tidak bukan adalah semata-mata untuk menewaskan PH sekali gus meranapkan kerajaan negeri yang ditadbir parti pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

    Songsang yang pertama

    Semua yang berlaku itu sudah tentu berlegar seputar kuasa yang menjadi candu para ahli politik. Pedulilah apa pun topeng yang melindungi wajah sebenar mereka, ke kiri atau ke kanan, ke depan atau ke belakang, mati hidup semua – semuanya tentang kuasa.

    Andai kata takdir berpihak kepada BN dan PN pada 1 Ogos nanti, secara logiknya kedua-dua gabungan itulah yang akan membentuk kerajaan baru Negeri Sembilan.

    Berdasarkan kerusi-kerusi yang ditandingi mereka, sudah tentu pemimpin BN akan menerajui kerajaan Negeri Sembilan itu nanti sebagai menteri besar. Dan PAS – seperti diikrakan presidennya, Abdul Hadi Awang, di Johor tidak lama dulu – rela jadi “penampung” kepada BN.

    Jadi di Negeri Sembilan nanti adalah sebuah negeri BN - PN, sedangkan pada masa sama di peringkat persekutuan masih lagi ditadbir kerajaan perpaduan PH - BN.

    Aneh sekali (bahkan berkali-kali) sekiranya keadaan itu berlaku selepas 1 Ogos nanti.

    Kerana PN adalah gabungan pembangkang, manakala BN adalah parti kerajaan. Jadi kerajaan Negeri Sembilan jika dibentuk BN - PN nanti sebuah negeri kerajaan atau negeri pembangkang?

    Atau kerajaan ‘Keluarga 69’ saja?

    Di sinilah akan muncul politik songsang yang tidak pernah berlaku dalam sejarah politik di tanah Melayu ini.

    MENARIK:  2 darjat: Lawan PMX disiasat, sokong PMX selamat - Pejuang

    Namun, keadaan itu tidak akan berlaku sekiranya PH mampu bertahan dengan memenangi majoriti kerusi DUN di negeri itu.

    Mahu atau tidak, PH perlu memastikan politik songsang ‘keluarga 69’ tidak akan berlaku. Jika tidak PH berdepan risiko lebih besar. Bukan sahaja mereka terlepas pemerintahan negeri, bahkan berisiko besar kehilangan pentadbiran di Putrajaya.

    Pada prinsipnya, BN sudah menghantar isyarat ‘pengkhianatan’ terhadap Anwar di Negeri Sembilan dalam PRN kali ini. Ia sedikit berbeza dengan persembahan parti Ahmad Zahid Hamidi dalam PRN Johor sebelum ini.

    Bara ditiup biar menyala

    Sekarang, apakah langkah yang Anwar perlu ambil? Adakah PH akan melalui semua ini dan menyerahkan diri kepada takdir sedangkan pihak lawan begitu asyik bertakbir?

    PRN Negeri Sembilan ini tidak mudah sama sekali untuk PH. Ia berbeza dengan edisi 2023 apabila ketika itu mereka juga bekerjasama dengan BN melawan musuh yang sama iaitu PN.

    Bayangkan juga dilema seorang pemimpin yang meninggalkan Umno kerana marahkan parti itu, kemudian menyertai PAS. Kini PAS mahu bekerjasama sekali lagi dengan Umno yang masih dipimpin orang yang sama.

    Ya, sudah tentu alasan lunaknya ialah demi Melayu-Islam dan penyatuan ummah. Lalu seruan itu disambut dengan bertebarannya segala fitnah dan persepsi jahat di media-media sosial.

    Ia ibarat bara yang sedang menjalar di dalam sekam, lalu dikipas-kipas oleh ahli politik jahat agar marak dan membakar secara terang-terangan.

    Pada masa sama senario politik kita sedang tunggang-terbalik. PH yang berada dalam kerajaan bersama pula berisiko berdepan pengalaman pahit pada 2020 apabila tumbang akibat langkah di luar pilihan raya.

    ‘Atap’ di Putrajaya mungkin ditebuk lagi. Cuma watak yang terlibat sedikit berbeza.

    Jika dulu Bersatu terlibat dan mendapat laba – yang kemudian dikongsi bersama PAS dan BN – kini parti itu mungkin berterusan memikul bala. Pada mada sama PH adalah mangsa yang paling tersakiti.

    Muhyiddin juga tentu masih terkesan dengan gerakan dicatur BN yang menyaksikan dia – yang ketika itu menjadi perdana menteri – tidak mempunyai pilihan kecuali berundur dan menyerahkan jawatannya kepada Ismail Sabri Yaakob.

    Senario lain ialah Anwar akan berdepan dengan situasi Muhyiddin dan Ismail Sabri – tidak ada pilihan kecuali membuka jalan kepada PRU dan ia akan mengundang pelbagai cabaran lain. Juga kemungkinan penjajaran baru.

    Pada akhirnya, inilah wajah politik Malaysia dalam dekad terkini.

    Orang yang berjawatan dan di atas sana bersedap-sedap mencatur gerak untuk merangkul kuasa, dan rakyat – yang menjadi bidak-bidak sifir mereka – terpaksa menelan segala kepahitan.

    Lebih malang, sesetengah rakyat tidak sedar pun mereka dijadikan bahan percaturan.

    Kemudian semua yang mendapat laba menamakan langkah mereka sebagai “demokrasi.” Ia sedang berkembang dan membesar di tanah Sang Hyang Hujong.

    Cis!


    N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini yang masih tidak sabar menanti perdana menteri dari PAS.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah