31.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 30, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN| Anugerah sasterawan negara: Kenapa Mana Sikana dipilih, nama lain cicir?

    Shopee Sale

    ULASAN| Tulisan ini merujuk sepenuhnya dua buah rencana sastera berjudul ‘Siapa Sasterawan Negara ke-16?’ (Berita Harian - April 27, 2026) dan ‘Layak Tetapi Terlewat’ (Berita Harian – Mei 4, 2026) kedua-duanya oleh Haliza Mohamad]

    Dunia kesusasteraan tanah air, anugerah besar tidak pernah sunyi daripada polemik. Lagi tinggi martabat anugerah itu, lagi kuat gegaran debatnya. Debat itu harus berpijak pada karya, bukan sentimen. Begitulah yang berlaku apabila Allahyarham Mana Sikana diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara (ASN) ke-16. Ada yang bersorak, ada yang terpinga-pinga dan tidak kurang juga yang bertanya perlahan-lahan di warung kopi budaya: “Mengapa bukan nama lain?”

    Hakikatnya, ASN bukan pertandingan “siapa paling popular” atau “siapa paling banyak buku”. ASN ialah mahkota tertinggi dunia kesusasteraan negara. Ia bukan sekadar mengukur tebalnya novel atau banyaknya cerpen, tetapi menilai siapa yang benar-benar membentuk arah pemikiran bangsa melalui sastera.

    Bak kata orang tua-tua,“harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.” Dalam dunia sastera, nama itu pula hidup melalui karya.

    Mengapa nama-nama besar tidak terpilih?

    Sebab itulah polemik ASN sering panas. Kerana sastera bukan sekadar tulisan, tetapi soal ego intelektual, pengaruh budaya dan legasi zaman.

    Ramai sebenarnya layak dipertimbangkan. Dalam kalangan penggiat sastera, nama seperti Faisal Tehrani, Dr Lim Swee Tin, Azmah Nordin, Zaen Kasturi, S.M. Zakir, Jasni Matlani dan beberapa lagi memang sering disebut-sebut sebagai calon kuat.

    Tetapi masalah besar dunia sastera ialah:

    • Tidak semua penulis besar akhirnya menjadi “institusi bangsa”.

    • Ada penulis hebat dari sudut bahasa.

    • Ada kuat dari sudut idea.

    • Ada besar di universiti.

    • Ada popular di media sosial.

    Tetapi ASN biasanya mencari sesuatu yang lebih besar daripada semua itu — iaitu pengaruh jangka panjang terhadap pemikiran sastera negara.

    Bak kata bidalan Melayu, “besar periuk, besar keraknya.” Lagi besar seseorang tokoh, lagi besar juga penilaian terhadap dirinya.

    Faisal Tehrani: Genius mengundang ribut

    Kalau mahu bercakap soal keberanian intelektual, nama Faisal Tehrani memang sukar diketepikan. Beliau prolifik, tajam, berani bereksperimen dan sentiasa mencabar pemikiran arus perdana.

    Novel seperti 1515 menjadikan sejarah sebagai medan permainan imaginasi besar. Beliau bukan sekadar menulis cerita, tetapi menggoncang cara masyarakat melihat sejarah, agama dan kuasa.

    Namun di situlah juga masalahnya.

    Dalam dunia sastera Malaysia, Faisal Tehrani ibarat “api dalam sekam” semakin dipadam, semakin menyala. Kontroversi terhadap beberapa bukunya yang pernah diharamkan menyebabkan namanya sentiasa berada di tengah gelanggang perdebatan.

    Dan dalam anugerah sebesar ASN, unsur “penerimaan nasional” sering menjadi pertimbangan penting.

    Bak kata orang lama, “terlalu tajam mata pedang, akhirnya melukai sarung sendiri.”

    Beliau mungkin terlalu mendahului zaman. Atau mungkin juga negara ini masih belum cukup bersedia menerima sepenuhnya keberanian intelektual seperti itu.

    Lim Swee Tin: Wajah harmoni bahasa Melayu

    Nama Dr Lim Swee Tin pula membawa dimensi yang berbeza. Beliau bukan sekadar penulis, tetapi simbol keharmonian budaya dalam bahasa Melayu.

    Karyanya lembut, mendidik dan dekat dengan dunia pendidikan. Beliau dihormati sebagai jambatan budaya membuktikan bahasa Melayu bukan milik satu kaum semata-mata, tetapi milik seluruh negara.

    Namun, dalam pertandingan sebesar ASN, panel lazimnya mencari tokoh yang bukan sahaja berjasa kepada bahasa, tetapi juga memiliki “kanon karya kreatif” yang benar-benar menggoncang sejarah kesusasteraan.

    Dr Lim dihormati ramai. Tetapi kemungkinan panel melihat beliau lebih kuat sebagai pendidik budaya berbanding “arkitek besar” perubahan sastera nasional.

    Bak kata peribahasa, “Yang indah itu bahasa, yang dalam itu makna.”

    Azmah Nordin dan suara dari pinggir negara

    Azmah Nordin pula membawa suara Sabah ke pentas nasional. Dalam dunia sastera yang lama berpusat di Semenanjung, beliau antara tokoh yang membuka jalan agar Borneo tidak terus menjadi “anak tiri” kesusasteraan Melayu.

    MENARIK:  Malaysia kekal komited sokong proses damai Thai-Kemboja - Panglima ATM

    Novel dan cerpennya kaya dengan persoalan wanita, identiti wilayah dan masyarakat pinggiran.

    Namun, masalah klasik dunia sastera Malaysia masih sama karya dari wilayah sering berdepan cabaran penembusan nasional.

    Bak kata simpulan bahasa, “jauh perjalanan, luas pengalaman.” Tetapi sayangnya, pengalaman luas itu kadang-kadang tidak cukup untuk menembusi tembok pusat budaya yang sudah lama terbina.

    Zaen Kasturi, S.M. Zakir dan dunia “elit sastera”

    Zaen Kasturi dan S.M. Zakir pula berada dalam kategori yang sering disebut sebagai “penulis penulis”. Maksudnya, mereka sangat dihormati dalam kalangan penggiat sastera serius, tetapi kurang dikenali pembaca umum.

    Zaen Kasturi kuat dalam puisi. Bahasanya indah seperti ukiran halus di dinding istana lama. Tetapi puisi sentiasa berdepan masalah klasik pembacanya kecil.

    S.M. Zakir pula tajam dari sudut budaya dan intelektual. Beliau menulis dengan disiplin pemikiran yang kuat. Namun dunia sastera Malaysia hari ini semakin mengecil pembacanya.

    Bak kata sindiran sinis dunia buku:

    “Penulis semakin ramai, pembaca semakin ghaib.”

    Inilah tragedi besar sastera moden.

    Dunia sastera dan 'kartel halimunan'

    Dalam media sosial, muncul pula suara-suara nakal yang bercakap tentang “kartel sastera”. Ada yang mendakwa nama tertentu sentiasa mendominasi panel, anugerah dan ruang budaya. Betul atau tidak, itu cerita lain.

    Tetapi satu perkara tidak boleh dinafikan, dunia sastera memang mempunyai kelompok elit intelektualnya sendiri. Fenomena ini bukan berlaku di Malaysia sahaja. Dunia sastera Barat pun sama.

    Bak kata Pierre Bourdieu, dunia budaya sering dikuasai “modal simbolik” siapa yang menentukan siapa besar, siapa kecil dan siapa layak masuk sejarah.

    Sebab itu ada penulis hebat yang besar di universiti tetapi asing di hati rakyat. Ada pula penulis popular di media sosial tetapi tidak dianggap serius oleh institusi.

    Akhirnya, sastera menjadi seperti gelanggang silat lama “yang bersorak di tepi ramai, tetapi yang benar-benar faham bunga silatnya sangat sedikit”.

    Jadi, kenapa Mana Sikana?

    Di sinilah muncul jawapan paling penting. Mana Sikana bukan sekadar penulis. Beliau ialah pembina sistem pemikiran sastera. Beberapa kriteria berikut uapaya dikesan:

    ● Beliau menulis kreatif.

    ● Beliau mengkritik karya.

    ● Beliau membina teori.

    ● Beliau mempengaruhi universiti.

    ● Beliau membentuk generasi penulis dan pengkaji.

    Dalam bahasa mudah, beliau bukan sekadar menghasilkan buku, tetapi membentuk cara orang Melayu berfikir tentang sastera. Itulah yang membezakan “penulis besar” dengan “tokoh peradaban”.

    Bak kata orang tua-tua, “kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga.” ASN bukan semata-mata soal siapa paling popular hari ini. Ia soal siapa yang jejak pemikirannya masih hidup puluhan tahun akan datang.

    Masa hakim sebenar

    Akhirnya, debat ASN sebenarnya membuka satu hakikat pahit, ramai suka berbalah tentang siapa menang, tetapi jarang benar-benar membaca karya mereka. Percayalah, hakikatnya kelak mungkin berlaku:

    ● Trofi boleh berdebu.

    ● Gelaran boleh dipertikai.

    ● Panel boleh silih berganti.

    Tetapi karya agung akan terus hidup.

    Kalau sebuah karya masih dirujuk selepas 30 tahun; novel dibaca dan puisi pula dihayati oleh generasi baru, demikian sebuah pemikiran masih dibahaskan di universiti dan warung kopi budaya, itulah kemenangan sebenar.


    RAMLEE WAHAB penulis dan penyair berasal dari Segamat dan kini menetap di Batu Pahat, Johor. Dia pernah memenangi Hadiah Utama Peraduan Menulis Rencana Sastera - Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan Hadiah Kategori Puisi Eceran - Hadiah Sastera Darul Ta'zim. Penulis juga adalah mantan timbalan pengerusi dan pemeriksa kira-kira Pena.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah