GLOBAL | Dalam usaha kemanusiaan yang penting, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menghantar lebih 40,000 tan bekalan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza menggunakan kapal, trak, dan penerbangan untuk menangani keperluan mendesak di tengah krisis yang berterusan di situ.
Menurut data Jabatan Strategik UAE yang dikongsi Kedutaan UAE di Kuala Lumpur, bantuan itu diangkut melalui pelbagai saluran, termasuk lapan kapal bantuan, 1,271 trak dan 414 penerbangan yang menggugurkan 104 bantuan dari udara.
"Inisiatif UAE dan operasi Gallant Knight 3 yang komprehensif terus memberikan sokongan kemanusiaan dan bantuan kepada Semenanjung Gaza," katanya.
Inisiatif Gallant Knight 3 ialah operasi kemanusiaan yang bertujuan untuk menyokong rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Diketuai oleh Komando Operasi Bersama Kementerian Pertahanan, ia melibatkan bekerjasama rapat dengan Bulan Sabit Merah UAE, Yayasan Khalifa bin Zayed Al Nahyan, Yayasan Amal & Kemanusiaan Zayed dan institusi lain.
UAE dengan kerjasama Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID), AS, Cyprus, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan beberapa penderma antarabangsa sudah menghantar 2,176 tan bekalan makanan melalui laut ke Semenanjung Gaza dengan kerjasama Bantuan Pelarian Timur Dekat Amerika (Anera).
Selain itu, UAE dan World Central Kitchen berjaya menghantar 300 tan bantuan makanan ke Gaza melalui koridor naritim dan mengagihkan bantuan di utara Gaza.
Sementara itu, UAE menubuhkan enam loji penyahgaraman dengan kapasiti gabungan 1.2 juta gelen sehari sebagai sokongan penting kepada Semenanjung Gaza.
Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 600,000 orang setiap hari untuk menangani krisis air yang berterusan.
Untuk memastikan bekalan roti - yang menjadi makanan ruji di rantau itu - berada dalam keadaan stabil, UAE mengerahkan lima kedai roti automatik untuk memenuhi keperluan harian lebih 72,000 orang.
Selain itu, UAE membekalkan tepung kepada lapan kedai roti sedia ada di Gaza untuk menyokong keperluan harian 17,140 orang.
Untuk menyokong keperluan penjagaan kesihatan penduduk Gaza pula, dua hospital ditubuhkan mengikut arahan Presidennya UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
Sebuah hospital medan di selatan Semenanjung Gaza, dengan kapasiti 200 katil, diselia oleh pasukan perubatan UAE dengan lebih 100 doktor, jururawat, ahli farmasi dan juruteknik makmal.
Untuk terus menyokong hospital medan itu, UAE melancarkan hospital terapung dengan kapasiti 100 katil yang berlabuh di Pelabuhan Al-Arish pada 26 Feb 2024.
Hospital itu menyediakan perkhidmatan perubatan kepada 4,201 kes, mengukuhkan infrastruktur penjagaan kesihatan yang tersedia untuk penduduk Gaza.
UAE juga telah melaksanakan Sistem Kebangsaan Komprehensif (R100), yang bertujuan untuk menyediakan rawatan perubatan untuk 1,000 pesakit kanser Palestin dan 1,000 kanak-kanak yang sakit dari Semenanjung Gaza.
Sementara itu, UAE telah memperuntukkan sumber kewangan yang besar untuk menyokong Gaza, termasuk AS$20 juta kepada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat, AS$15 juta kepada Dana Amalthea untuk inisiatif Koridor Maritim antara Cyprus dan Semenanjung Gaza, AS$11.7 juta kepada Program Makanan Sedunia (WFP) untuk bantuan makanan dan AS$10 juta untuk menyokong sektor kesihatan di Gaza, dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).





