Seorang perwakilan DAP dari Sarawak menggesa parti itu menuntut beberapa langkah reformasi daripada pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sekiranya memilih untuk terus kekal dalam kerajaan Persekutuan.
Soo Tien Ren berkata DAP perlu menunjukkan kepada rakyat sebab parti itu wajar terus berada dalam kerajaan, sambil mengemukakan lima reformasi bagi membuktikan komitmennya terhadap ketelusan dan akauntabiliti.
Antara tuntutan utamanya ialah supaya Perdana Menteri melepaskan portfolio Menteri Kewangan, memberikan peruntukan kawasan sama rata kepada semua Ahli Parlimen dan memansuhkan Akta Hasutan 1948.
Soo turut berkata DAP perlu memperjuangkan penubuhan Ombudsman Malaysia, pelaksanaan subsidi diesel kepada semua kenderaan komersial serta mengembalikan kuota Budi95 sebanyak 300 liter.
“Ini bukan reformasi yang mustahil - sebahagiannya merupakan janji kita sejak bertahun-tahun lalu yang tidak memerlukan pindaan Perlembagaan, hanya kemahuan politik,” katanya ketika membahaskan usul pada Konvensyen Tahunan DAP hari ini.
“Jangan beritahu ahli kita bahawa hanya memorandum telah dihantar kepada perdana menteri, beritahu kami apa sebenarnya yang kita minta mereka lakukan, apakah garis masa dan apakah yang dianggap sebagai kejayaan,"ujarnya.
Soo berkata sekiranya DAP gagal menunaikan janji reformasinya berdasarkan “kad skor” yang digariskannya dalam tempoh setahun dari sekarang, parti itu mesti bersedia membuat keputusan sukar demi kelangsungan parti.
“Jika kita berjaya melaksanakannya, kita boleh kekal dalam kerajaan atas satu sebab (iaitu) kehadiran kita penting.
“Tetapi, jika kita tidak dapat melaksanakan agenda reformasi yang munasabah ini, mungkin sudah tiba masanya kita mempunyai keberanian untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Anwar,” katanya.

Soo merupakan antara 13 perwakilan parti yang membahaskan usul sama ada DAP patut terus kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal.
Usul itu kemudiannya diputuskan melalui undian sulit, dengan keputusan dijangka diumumkan lewat hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo mencadangkan agar sidang khas Parlimen yang baru-baru ini diadakan bagi membolehkan Ahli Parlimen membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji, turut diadakan bagi membincangkan reformasi institusi lain yang dibawa kerajaan.
Dalam ucapannya kepada para perwakilan, dia merujuk kepada usaha memisahkan perananan Peguam Negara dan pendakwa raya, selain mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal.
“Mungkin kita boleh mengadakan sidang khas (Dewan Rakyat) untuk meluluskan pindaan Perlembagaan ini bagi menunjukkan kerajaan serius apabila kita bercakap mengenai reformasi.
“Kita juga boleh mengadakan persidangan untuk membincangkan bagaimana kita boleh menangani kebimbangan ekonomi, seperti isu yang menjejaskan PKS (perusahaan kecil dan sederhana) serta peluang pekerjaan untuk golongan belia,” katanya.





