Kerajaan memberi jaminan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) akan dimansuhkan sepenuhnya, tanpa pengenalan sebarang undang-undang baru yang bersifat mengongkong atau menekan gerakan mahasiswa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau sendiri akan memperingatkan perkara itu, dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Ada kebimbangan, kadang-kadang dibatalkan Auku (dan) diperkenalkan undang-undang baru yang juga mengongkong mereka.
“Saya juga tidak bersetuju terhadap apa-apa pindaan atau gantian (undang-undang) yang mengongkong dan menekan kegiatan mahasiswa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bersempena dengan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2026, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Melaka hari ini.
Anwar berkata peruntukan undang-undang sedia ada termasuk berkaitan jenayah, sudah memadai untuk menangani sebarang salah laku yang mungkin dilakukan oleh kumpulan mahasiswa.
Beliau berkata sebagai warganegara, mahasiswa tertakluk kepada undang-undang umum yang terpakai kepada semua individu, sekiranya mereka melakukan kesalahan.
“Mahasiswa sebagai rakyat biasa, ada undang-undang jenayah, ada undang-undang yang memang terpakai kepada semua.

“Kalau dia pukul orang, kalau dia menyebabkan kecederaan, kalau dia menipu dalam peperiksaan, itu undang-undang sedia ada (mencukupi untuk hukuman),” kata Perdana Menteri.
Auku sebelum ini telah melalui tujuh siri pindaan sejak diperkenalkan pada 1971, termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti parti politik di luar kampus.
Pindaan terbaharu pada 2024, menyaksikan tindakan tatatertib terhadap pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk pada kuasa Naib Canselor, sebaliknya diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan Seksyen 16B Auku.
Selain itu, penambahbaikan Seksyen 15A Auku membenarkan Majlis Perwakilan Pelajar dan badan pelajar memungut wang serta menerima sumbangan dalam apa-apa cara, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa.





