ANALISIS | Pilihan raya umum ke-16 (PRU16) boleh menyebabkan Pakatan Harapan (PH) mundur 20 tahun jika kerjasama BN-PN mengekalkan momentum dan mengubah gelombang “perpaduan Melayu” menjadi gelora tsunami.
Pilihan raya Negeri Sembilan menunjukkan pengundi BN-PN sangat terdorong oleh agenda perkauman kerjasama itu, yang disemarakkan sentimen ant-DAP dan persepsi kerajaan Madani pimpinan PH gagal memperbaiki kehidupan rakyat.
Corak undi mereka pada 1 Ogos hampir menyamai gabungan peratusan undi BN dan PN pada PRU15, dengan pemindahan undi antara kedua-duanya berlaku hampir sempurna.
Analisis Malaysiakini yang menggunakan formula sama di Semenanjung menunjukkan jika BN-PN dapat mengekalkan peratusan undi PRU15 pada PRU16, kerjasama itu boleh memperoleh 122 kerusi — 10 kerusi melebihi majoriti mudah — sekali gus membolehkannya membentuk kerajaan tanpa sokongan parti dari Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, PH hanya berkemampuan meraih 43 ahli parlimen di Semenanjung — kurang 37 kerusi berbanding pencapaiannya hampir 20 tahun lalu pada pilihan raya 2008.
PH juga boleh kehilangan Selangor kepada BN-PN manakala penguasaannya di Pulau Pinang semakin terhakis.
Bagi kerusi parlimen, analisis Malaysiakini menunjukkan PH akan terkepung di kawasan bandar dan kerusi campuran, dengan kekalahan berlaku dari Pulau Pinang ke Johor, malah di Lembah Klang.
DAP dijangka paling kurang terjejas apabila jumlah kerusinya di Semenanjung berkurangan dari 33 sekarang kepada 30. Tiga kerusi yang berisiko terlepas ialah Raub, Bentong dan Labis.
Namun, gambaran lebih suram bagi PKR yang boleh merosot kepada hanya 11 kerusi di Semenanjung berbanding 28 dimenanginya pada PRU15.
Antara kerusi utama PKR yang boleh tumbang ialah Tambun yang kini disandang Perdana Menteri Anwar Ibrahim, selain Sungai Siput, Tanjong Malim, Gombak, Sungai Buloh, Setiawangsa, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Pasir Gudang dan Johor Bahru.
Amanah pula mungkin hanya tinggal dua kerusi berbanding lapan sekarang, iaitu Kota Raja dan Pulai.
Boleh jadi lebih buruk
Ketika dihubungi, saintis politik Universiti Sunway Wong Chin Huat bersetuju dengan penilaian Malaysiakini.
“Betul — jika faktor lain kekal sama, dengan hanya menggabungkan undi BN dan PN, 28 kerusi Pakatan Harapan akan bertukar tangan dan PH akan tinggal 43 kerusi,” katanya.
Begitu juga dalam podcast Malaysiakini, pegawai penyelidik kanan Merdeka Center Ted Lee secara berasingan mencapai kesimpulan sama, dengan PH berkemungkinan hanya tinggal 43 kerusi di Semenanjung pada pilihan raya umum akan datang.

“Situasi di Negeri Sembilan berkemungkinan besar menjadi senario ‘salin dan tampal’ yang akan berlaku di Melaka selepas ini, malah mungkin di seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya melalui bual bicara berbahasa Cina yang disiar di YouTube, Spotify dan Apple Podcasts.
Bagaimanapun, Lee berkata angka 43 kerusi itu sekadar garis dasar dan prestasi PH boleh menjadi lebih buruk jika berlaku peralihan sokongan dalam kalangan pengundi Cina dan India.
“Kita mungkin melihat sebahagian pengundi Cina tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan, manakala pengundi India mungkin merasakan isu agama mereka — atau kebimbangan mereka sebagai kumpulan minoriti — langsung tidak ditunaikan dan tidak ditangani (oleh PH).
“Jika pengundi ini beralih sokongan, 43 kerusi hanya garis dasar bagi senario terbaik. Selepas itu, jumlahnya boleh merosot kepada 35, malah 30 kerusi,” katanya.

Lee berkata satu lagi faktor yang boleh menambah kemerosotan PH ialah parti serpihan Bersama pimpinan dua bekas pemimpin PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang dijangka memberi kesan di Lembah Klang.
Halangan buat BN-PN
Sementara itu, saintis politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Syaza Shukri berkata sebelum pilihan raya Negeri Sembilan lagi, dia meramalkan BN dan PN boleh memperoleh 109 kerusi.
Bagaimanapun, katanya jumlah itu boleh meningkat jika BN dan PN dapat menyelesaikan beberapa halangan.

“Mungkin boleh memperoleh 120 kerusi, tetapi itu dengan andaian tiada masalah lebih jauh di utara dan persefahaman ini berterusan, terutama di negeri seperti Perak, Pahang dan negeri lain yang dikuasai PAS,” katanya.
Dia merujuk penguasaan PN di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, selain pengaruhnya yang semakin berkembang di Perak dan Pahang.
BN kini tidak memiliki sebarang kerusi di Kedah, Perlis dan Terengganu, malah gagal meraih kemajuan walaupun bekerjasama dengan PH.
Bagaimanapun, BN berjaya memenangi satu kerusi di Kelantan pada 2023.

Justeru, kerjasama BN-PN di peringkat persekutuan berkemungkinan bergantung pada suatu bentuk percaturan, atau BN mungkin tidak perlu diberikan ruang di negeri tertentu, untuk membolehkan kedua-duanya menawan Putrajaya.
Analisis Malaysiakini menunjukkan jika isu berkenaan dapat diselesaikan, BN-PN akan terus menguasai Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu — dengan hanya tiga kerusi DUN Kedah berpotensi dimenangi PH, iaitu Kota Darul Aman, Bakar Arang dan Sidam.
Kerjasama itu juga akan menyaksikan BN-PN membentuk kerajaan negeri seterusnya di Perak dan Pahang, masing-masing dengan 41 dan 37 kerusi.
Mereka juga mampu memenangi Melaka dengan menguasai 24 dari 28 kerusi.
Selangor berisiko tumbang
Namun, potensi kemenangan terbesar BN-PN ialah menawan Selangor, negeri yang dikuasai PH dan gabungan pendahulunya, Pakatan Rakyat, sejak 2008.
Di Selangor, gabungan peratusan undi BN dan PN boleh memberikan mereka 32 daripada 56 kerusi, tiga kerusi melebihi jumlah diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah. PH pula hanya akan tinggal 24 kerusi.
Antara kerusi Selangor yang boleh beralih daripada PH ialah Kuala Kubu Bharu, Kota Damansara, Meru dan Sungai Pelek.
Lee berkata pengiraan Merdeka Center mendapati hampir dua pertiga undi Melayu berpihak kepada PN pada pilihan raya negeri 2023 manakala satu pertiga lagi merupakan gabungan undi BN dan PH yang bekerjasama ketika itu.
Katanya, setakat ini PH hanya memiliki 29 kerusi di negeri itu — sekadar cukup untuk membentuk kerajaan, kedudukan yang disifatkan penyelidik berkenaan sebagai genting.
“Ini bermakna jika pilihan raya Selangor diadakan dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang, titik permulaannya sudah menjadi pertarungan 50-50. Walaupun dalam senario 50-50 — dengan andaian undi India kekal bersama PH — kedudukannya 29 berbanding 27.
“Dalam keadaan ini, undi bukan Melayu tidak perlu beralih banyak; peralihan lima peratus sudah cukup untuk mengubah keadaan,” katanya.

Sementara itu, Syaza berpendapat persaingan itu bukan lagi 50-50 jika BN dan PN bergabung.
Bagaimanapun, dia berkata tidak seperti Johor dan Negeri Sembilan, PN akan menjadi kuasa utama di Selangor, bukannya BN.
Pulau Pinang, kubu terakhir
Dengan sebahagian besar Semenanjung berpotensi ditelan tsunami BN-PN, Pulau Pinang akan menjadi kubu terakhir PH.
Di sini, BN-PN dijangka terus menghakis penguasaan PH, tetapi tidak cukup untuk menawan kerajaan negeri.
PH dijangka mengekalkan Pulau Pinang dengan 24 dari 40 kerusi, kurang satu kerusi berbanding jumlah dimenanginya pada 2023.

Kerusi yang dijangka dirampas BN-PN ialah Bayan Lepas, sekali gus meningkatkan penguasaan mereka kepada 14 kerusi di negeri itu.
“Bagi Pulau Pinang, saya fikir keadaannya masih baik kerana banyak kawasan kekal mempunyai majoriti pengundi Cina,” kata Lee secara terus terang.
Bagaimanapun, seperti Selangor dan negeri lain di Semenanjung, keputusan PH boleh menjadi lebih buruk jika pengundi bukan Melayu berpaling daripada gabungan itu.
Syaza merumuskan keadaan itu dengan berkata: “Pakatan Harapan akan menghadapi kesukaran di mana-mana jika BN dan PN benar-benar dapat mengekalkan kerjasama ini hingga PRU16.”

Sementara itu, Wong menawarkan pandangan berbeza bagi Selangor dan Pulau Pinang dengan berkata senario berkenaan hanya mungkin berlaku jika “PH cukup bodoh” untuk membubarkan DUN Selangor dan Pulau Pinang serentak dengan parlimen.
“Jika PRU16 diadakan menjelang akhir tahun ini, manakala Selangor dan Pulau Pinang melengkapkan penggal penuh dengan DUN masing-masing hanya dibubarkan pada September dan Ogos 2028, sebelum pilihan raya negeri diadakan pada akhir Oktober, Malaysia ketika itu sudah berada di bawah BN-PN selama hampir dua tahun.
“Gelombang perpaduan Melayu mungkin sudah reda ketika itu. Ringkasnya, Pakatan Harapan perlu berfikir untuk jangka lebih panjang mengenai cara untuk kembali berkuasa,” katanya.

Ramalan suram buat PH bukan hanya berpunca daripada nasionalisme Melayu.
Sebaliknya, ia juga disebabkan gabungan itu tidak mempunyai sebarang daya tarikan atau hujah balas yang berkesan terhadap kempen “perpaduan Melayu”.
Ke mana hilangnya harapan?
Seperti dikatakan Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran: “Kami (Pakatan Harapan) tidak menawarkan sebarang alasan meyakinkan kepada pengundi untuk memilih kami selain semata-mata kerana kami sedang memegang jawatan.”
Dia mengukuhkan lagi mesej itu dengan berkata slogan “kami lebih baik” dibawa DAP dan PH sekadar pendekatan malas.

Malah, katanya naratif kempen lama PH untuk menghentikan rasuah BN kini kedengaran kosong.
Gabungan di bawah pentadbiran Anwar itu dituduh bersubahat dengan dakwaan rasuah dalam skandal perlombongan Sabah.
Turut menjadi pertikaian ialah keputusan menghentikan pendakwaan terhadap Presiden BN Ahmad Zahid Hamidi dalam kes Yayasan Akalbudi — yang berkemungkinan akhirnya membawa kepada pembebasan penuh terhadapnya.
Perkembangan politik terkini menunjukkan Anwar bukan sahaja gagal mengekalkan Zahid di pihaknya, malah berbuat demikian dengan mengorbankan penyokongnya sendiri.

Begitu juga, gelombang BN-PN menunjukkan meskipun ideologi politik bergerak semakin ke kanan, Anwar gagal meyakinkan orang Melayu bahawa kepentingan mereka tidak akan terjejas jika dia memperoleh penggal kedua dan DAP bukan ancaman terhadap orang Melayu seperti didakwa BN dan PN.
Sementara itu, cubaan menakutkan pengundi Cina dengan ancaman PAS menyertai kerajaan mungkin membantu PH bertahan dalam masa terdekat, tetapi strategi itu tidak mampu menjamin kelangsungan gabungan berkenaan untuk jangka panjang.
Namun, masa semakin suntuk bagi Anwar dan PH susulan jangkaan tinggi yang Zahid dan BN akan mendesak pilihan raya umum mengejut diadakan tidak lama lagi.

[Baca berita asal]





