Ahli Parlimen PAS Syahir Sulaiman meminta Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan perkara yang memalukan dalam lafaz sumpah baiah pemimpin parti itu.
Sedangkan, kata Syahir, lafaz baiah seperti yang didakwa Mohd Asri tidak dilakukan di Perlis, sebagaimana yang didakwanya.
Setiausaha politik kepada Presiden PAS itu turut mengongsikan contoh lafaz baiah yang digunakan dalam mengikat kesetiaan pemimpin kepada perjuangan parti itu.
"Dengan penuh hormat, tunjukkan di mana perkara yang ‘memalukan’ di dalam teks lafaz baiah dan sumpah ini? - Tiada di Perlis.
"Kita diajar, jangan diadakan perkara yang tiada. Tabayyun," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Syahir menjawab dakwaan Mohd Asri bahawa timbul isu sumpah baiah yang "mempertaruhkan isteri" di Perlis.
Dalam hantaran video di Facebook, Mohd Asri menyifatkan perkara itu sebagai memalukan dan bercanggah dengan perjuangan PAS yang ingin menegakkan negara Islam.
Katanya, sumpah baiah melibatkan penceraian adalah bercanggah dengan politik Rasulullah yang mahu memperkukuhkan institusi kekeluargaan.
“Timbul isu di Perlis tentang sumpah baiah yang menceraikan isteri. Kamu berpolitik mempertaruhkan isteri. Ini adalah asas bagi pembinaan masyarakat, tapi belum lagi memerintah, kita mempertaruhkan isteri kita.
“Ini sesuatu yang serius. Saya mohon maaf kepada teman-teman daripada parti tertentu, tetapi ini sesuatu yang tidak wajar dan memalukan,” katanya.





