Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menjelaskan siasatan terhadap Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) masih berterusan.
Dia mengulas laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kepada Dewan Rakyat hari ini, yang memetik pegawai penyiasat SPRM 'membersihkan' sebarang salah laku dalam HRD Corp.
"Saya tidak pasti dari sudut mana pegawai itu merujuk kepada isu ini, tetapi secara amnya kami telah membuka beberapa fail siasatan terhadap HRD Corp.
"Semua siasatan masih berjalan dan saya sudah mengarahkan pegawai saya untuk memaklumkan kepada PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara)," katanya seperti dipetik media selepas perasmian Hari AntiRasuah Antarabangsa di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di Kelana Jaya.

Terdahulu, pegawai penyiasat SPRM Mohd Fuad Sedet memberitahu PAC tiada kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 yang dikesan dalam siasatan pihaknya terhadap HRD Corp.
"Di Bahagian Siasatan (SPRM) pula, tiada kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 yang didapati.
"Maklumat ini kami bawa kepada Bahagian Pemeriksaan dan Tatakelola (BPT)," kata Mohd Fuad dalam keterangan kepada PAC.
HRD Corp sebelum ini berada dalam perhatian selepas Jabatan Audit Negara mendapati entiti kerajaan itu gagal dalam auditnya.
Laporan audit mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia merujuk HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan.
PAC turut mendedahkan HRD Corp menggunakan kutipan levi berjumlah RM3.77 bilion daripada majikan untuk program pembangunan latihan.
Bagaimanapun, sebahagian daripada dana itu telah digunakan untuk pelaburan yang tidak sejajar dengan tujuan asalnya.
Sebagai langkah susulan, Kementerian Sumber Manusia telah membuat laporan kepada SPRM pada 5 Julai lalu.
Susulan itu, SPRM membentuk satu pasukan khas menyiasat dakwaan berkaitan HRD Corp.





