SPRM sekali lagi memanggil pemberi maklumat yang mendedahkan skandal rasuah lesen cari gali mineral yang membabitkan beberapa Adun Sabah.
Bercakap kepada pemberita di luar ibu pejabat agensi antirasuah itu di Putrajaya hari ini, peguam pemberi maklumat berkata anak guamnya tidak dimaklumkan mengapa suruhanjaya itu ingin berjumpanya buat kali keempat.
“(SPRM) panggil (pemberi maklumat) untuk sesi dua hari - hari ini dan esok.
"Saya tidak tahu apa lagi yang boleh kami sediakan (kepada SPRM). Setakat pengetahuan anak guam saya, semua bukti telah pun diberikan," kata peguam Mahajoth Singh.
Pemberi maklumat, yang hanya dikenali sebagai Albert, difahamkan sebelum ini telah menyerahkan kepada SPRM rakaman video yang yang tidak diedit, dengan lebih 300 muka surat bukti berkaitan, log panggilan, rekod mesej WhatsApp, dan dokumentasi digital lain yang menyokong dakwaannya.
Mahajoth (gambar atas) menegaskan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki telah mengumumkan bahawa sekurang-kurangnya dua individu akan didakwa tidak lama lagi berhubung skandal rasuah yang sedang berlaku.
"Berdasarkan apa yang telah diperkatakan (oleh SPRM) beberapa minggu lalu, pertuduhan akan dibuat (terhadap mereka yang didakwa terlibat dalam skandal itu). Kami berharap perkara ini benar," tambahnya.





