Ibu kepada pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin membuat permohonan di mahkamah bagi mendapatkan kebenaran untuk menggali semula kubur anaknya bagi tujuan bezah siasat kedua dan prosiding inkues terhadap kematiannya.
Ummu Haiman Bee Daulatgun memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam, melalui firma guaman Messrs Naran Singh & Co, dengan menamakan Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, dan Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar sebagai responden.
Ibu itu mendakwa terdapat unsur jenayah di sebalik kematian anaknya, terutamanya selepas kecederaan yang jelas terdapat pada mayat mangsa dan alasan yang bercanggah diberikan kepadanya berhubung kematian tersebut.
"Saya sesunguhnya percaya bahawa kematian anak saya adalah disebabkan oleh orang dan/atau orang-orang yang terlibat dalam latihan Palapes di Pulada pada 28 Julai 2025 dan saya juga percaya pelatih-pelatih yang berada bersama anak saya dapat memberi keterangan mengenai apa yang berlaku pada hari itu.
“Saya sesungguhnya percaya bahawa kecederaan yang terdapat pada mayat anak saya bukanlah kecederaan yang biasa, tetapi adalah disebabkan oleh objek tumpul,”katanya dalam afidavit sokongan.
Ummu berkata seorang jurulatih ROTU bernama Ikhwan memberitahunya bahawa Syamsul Haris mengalami sawan semasa latihan menembak, manakala seorang pegawai ROTU bernama Mejar Azmi berkata terdapat pergaduhan semasa latihan.
Bagaimanapun, katanya, Mejar Azmi tidak menjelaskan siapa yang terlibat dalam pergaduhan itu.

“Tetapi gambar-gambar yang saya rakam jelas menunjukkan pendarahan pada bahagian hidung yang begitu banyak dan tidak berhenti, dan mata kanan yang lebam.
“Saya percaya bahawa ini tidak sama sekali menunjukkan kesan daripada sawan, tetapi menunjukkan kecederaan yang dilakukan oleh orang atau orang-orang tertentu.”
Lebam dan pendarahan
Ummu, ketika menceritakan semula kejadian kematian anaknya, berkata dia dimaklumkan pada 26 Julai mengenai penyertaan Syamsul Haris dalam latihan ROTU keesokan harinya.
Bagaimanapun, dua hari kemudian, dia menerima panggilan daripada salah seorang pensyarah UTM yang memaklumkan bahawa anaknya telah meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor.
Dia berkata pada ketika itu punca kematian anaknya tidak dapat ditentukan kerana keputusan makmal masih belum diperoleh.
“Saya pergi ke hospital keesokan harinya untuk melihat mayat anak saya. (Namun) saya tidak dibenarkan melihat keseluruhan badannya, kerana separuh daripadanya ditutup dengan kain dan dijaga oleh pegawai di situ.
“Saya melihat lebam dan kecederaan pada badan anak saya, terutamanya pada leher dan dada yang berdarah, serta wajah dan mata kanannya yang lebam akibat kecederaan yang jelas disebabkan oleh pukulan objek tumpul,” katanya.
Dia turut berkata hidung anaknya berdarah, sehinggalah ketika mayatnya hendak dikebumikan pada hari yang sama.
Menurutnya pendarahan tersebut jelas menunjukkan anaknya dipukul dan mengalami kecederaan pada otak dan dada.
Sebelum mayat Syamsul Haris dibawa pulang ke Semenyih untuk dikebumikan, Ummu Haiman mendakwa dimaklumkan bahawa bezah siasat hanya boleh dilakukan oleh pegawai perubatan gred UD10 yang berada di Hospital Pasir Gudang pada waktu itu.
“Susulan itu, saya meminta agar mayat anak saya dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail supaya bezah siasat dapat dilakukan oleh pakar forensik dan bukan pegawai perubatan.
“Namun, mengejutkan saya, semasa tiba di Hospital Sultan Ismail, saya melihat pegawai perubatan yang sama dari Hospital Kota Tinggi hadir untuk melakukan bezah siasat.
“Saya juga dimaklumkan bahawa laporan bezah siasat anak saya hanya akan tersedia dalam tempoh tiga bulan dari tarikh bezah siasat, tanpa diberikan sebarang sebab untuk tempoh tersebut. Sehingga kini, saya masih belum menerima sebarang kemas kini mengenai keputusan itu.”
Menurut Ummu, Dr George Sixtus Fernandez Jr telah melakukan bezah siasat ke atas mayat Syamsul Haris pada hari tersebut.
Dua hari selepas pengebumian anaknya, Ummu membuat laporan polis di Balai Polis Kajang, meminta polis menyiasat kematian Syamsul Haris dengan teliti, kerana dia percaya anaknya meninggal dunia akibat sebab yang bukan semula jadi.
Mohon perintah mahkamah
Pada 6 Ogos, Ummi berkata peguamnya telah mengemukakan permohonan rasmi, atas permintaannya, agar kubur anaknya digali semula bagi membolehkan bezah siasat kedua dijalankan.
Dalam tuntutannya, Ummu memohon perintah mahkamah untuk menggali kubur secepat mungkin, sementara mayat tersebut masih dalam keadaan sempurna dan terpelihara, serta membolehkan bezah siasat kedua dilakukan oleh pakar forensik, dengan kehadiran pakar Dr Bhupinder Singh dan peguamnya Naran Singh.
“Saya memohon mahkamah memerintahkan pakar forensik yang menjalankan bezah siasat agar mengeluarkan laporan dalam tempoh sebulan (dari proses) dan salinan laporan diberikan kepada peguam saya.
“Saya juga ingin mahkamah memerintahkan satu pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengambil alih siasatan kematian anak saya, sebagaimana dilakukan dalam kes siasatan kematian Zara Qairina Mahathir.
“(Ini kerana) pegawai penyiasat utama dalam kes ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada unsur jenayah dikesan dan oleh itu dia tidak sesuai untuk meneruskan siasatan terhadap anak saya,” katanya.
Ummu juga memohon relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pada 13 Ogos, Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata polis telah merakam keterangan daripada 22 individu untuk membantu siasatan kematian Syamsul Haris, dan sedang menunggu laporan bezah siasat penuh.





