32.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, August 16, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Saifuddin ingatkan Anwar – perang bawa pena, runding bawa pedang

    Shopee Sale

    Pemangku Timbalan Presiden PKR, Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya sentiasa berhati-hati ketika berunding dengan lawan politik, termasuk bersedia menghadapi kemungkinan dikhianati.

    Menurut Menteri Dalam Negeri itu, Anwar boleh terus menampilkan sikap diplomatik dan senyuman ketika berdepan lawan politik, namun tidak seharusnya mengetepikan kewaspadaan.

    "Anwar boleh terus senyum sebab Perdana Menteri. Tapi sambil senyum, keris di pinggang tetap kena pegang.

    "Saya dengar satu pesan kalau kamu pergi berperanang, jangan lupa bawa pena, [kerana] boleh jadi musuh ajak benda lain. Tapi kalau kamu pergi berunding, jangan lupa bawa pedang, boleh jadi musuh khianat kepada kamu," katanya.

    Saifuddin berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

    Dalam ucapan sama, Saifuddin menggesa Anwar supaya tidan mengetepikan politik identiti dan memberi tumpuan kepada agenda bantuan berasaskan keperluan.

    Katanya, tiga teras utama perlu dipegang kerajaan Madani, iaitu membesarkan kek ekonomi negara, mengekalkan dasar bantuan berasaskan keperluan tanpa mengira kaum serta meneruskan tindakan tegas terhadap rasuah walaupun ia turut membabitkan orang Melayu.

    "Jangan layan politik identiti. Kali ini kita perhebatkan bantuan kepada rakyat berasaskan keperluan. Bagi bantuan berasaskan keperluan.

    "Kita bukan bantukan orang berkulitnya sama dengan kita. Miskin tak kenal siapa. Orang Melayu miskin, orang China miskin, orang India miskin, orang Iban dan seluruh miskin," katanya.

    Politik berasaskan identiti mula diperkatakan susulan keputusan pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

    Pengarah Pilihan Raya PH, Amirudin Shari sebelum ini mendakwa kempen PRN Negeri Sembilan bersifat identiti dan perkauman luar biasa hingga menyebabkan kekalahan gabungan itu.

    Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata, kaedah kempen menyamai unsur memecahbelahkan masyarakat dan negeri, selain menimbulkan kegelisahan serta prasangka dalam kalangan rakyat.

    Saifuddin berkata, memandangkan majoriti golongan miskin di negara ini terdiri daripada orang Melayu, dasar bantuan berasaskan keperluan secara tidak langsung akan memberi manfaat besar kepada kaum berkenaan.

    "Cuma kebetulan sebagai Melayu untuk kelompok besar dalam negara, bila disebut membantu kemiskinan, the biggest beneficiary will be the Malays. Sebab dia ramai. Peratus saja ramai," katanya.

    Beliau turut menyentuh isu peruntukan yang terus diberikan kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri ditadbir pembangkang, walaupun sumbangan hasil cukai negeri berkenaan kepada kerajaan Persekutuan adalah kecil.

    MENARIK:  Rakyat Malaysia diingatkan guna permit sah tunai haji

    "Tiga tahun berturut-turut, Perdana menteri tambah dan tambah dan tambah. Hasil negeri mereka kepada perbendaharaan Persekutuan kecil sekali. Cukai Kastam, cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri, kecil sangat.

    "Perdana menteri bagi balik masa belanjawan tahunan terlalu besar. Apa dia sebut? Negeri kami masih dianak-tirikan," katanya.

    Beliau turut menyindir sikap pemimpin negeri berkenaan yang didakwa tidak menghargai peruntukan diterima.

    "Kalau dia tak berhati bersyukur kepada manusia, dia juga takkan bersyukur kepada Allah," katanya.

    Saifuddin turut mengimbas keputusan PKR pada 2007 untuk merangka Agenda Ekonomi Malaysia yang menolak pendekatan Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang menurutnya lebih banyak menguntungkan golongan elit yang mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan berbanding rakyat Melayu biasa.

    "Pak Mat buat teksi di Kuala Kedah, ada dapat saham? Tak dapat. Saham Telekom dapat? Tak ada. Saham Proton dapat? Tak ada.

    "Jadi siapa yang dapat saham? Atas nama Dasar Ekonomi Baru yang membela orang Melayu yang dapat adalah golongan elit yang dekat dengan pemerintah," katanya.

    Beliau mendakwa keberanian PKR mempertahankan pendirian itu ketika berkempen turut menyumbang kepada peningkatan kerusi parti daripada satu pada 2004 kepada 31 pada Pilihan Raya Umum 2008.

    Bidas dakwaan PAS isu Tabung Haji

    Saifuddin turut membidas kenyataan kepimpinan PAS yang mendakwa tindakan kerajaan menyiasat isu kerugian berbilion ringgit di Tabung Haji sebagai usaha menghina bangsa Melayu.

    "Presiden PAS punya kenyataan ialah, kerajaan Madani gunakan isu rasuah untuk menghina bangsa Melayu. Saya tak terfikir itu, sebab dia kata pemberi rasuah paling ramai adalah bangsa Melayu.

    "Isu rasuah bukan isu jenayah berasaskan kaum, sebaliknya satu sifat keji yang perlu dilawan tanpa mengira latar belakang etnik pesalah. Isu rasuah ini bukan isu Melayu jenayah. Rasuah itu sendiri adalah sifat keji, sifat mazmumah.

    "Yang kita lawan ini rasuah. Kita bukan lawan dia kerana dia Melayu, Cina, India. Melayu rasuah yang kita lawan. Cina rasuah yang kita heret ke muka pengadilan," katanya, sambil menyifatkan pendirian PAS itu sebagai satu yang salah besar, silap besar dalam wacana politik semasa.

    Kongres PKR tahun ini bertemakan "Memugar Reformasi, Membina Madani" dan menghimpunkan kira-kira 5,000 perwakilan serta pemerhati di MITC selama tiga hari bermula Jumaat.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah