Persekutuan Kristian Malaysia menolak dakwaan bahawa mereka dirujuk berhubung cadangan pindaan Rang Undang-undang Mufti Wilayah Persekutuan 2024.
Penafian itu dikeluarkan susulan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Zulkifli Hasan bahawa banyak sesi libat urus, termasuk dengan kumpulan bukan Islam, seperti CFM, diambil kira dalam pindaan berkenaan.

"Kami ingin menjelaskan bahawa tiada perundingan atau penglibatan sedemikian berlaku dengan CFM, atau mana-mana badan komponen kami, berhubung semakan kecekapan DUN untuk menggubal undang-undang Islam," kata pengerusinya Cor Episcopa Philip Thomas dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Senada dengan kenyataan Thomas, Setiausaha Eksekutif CFM, Andy Chi dalam kenyataan berasingan menambah: "CFM ingin menyangkal laporan itu kerana kami tidak pernah terlibat atau dirujuk mengenai RUU itu."
Semalam, Zulkifli memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah mengadakan banyak sesi libat urus, termasuk dengan kumpulan bukan Islam, bagi memastikan pandangan pelbagai pihak diambil kira dalam pindaan dalam RUU Mufti Wilayah.
Antaranya, kumpulan bukan Islam yang terlibat dalam perbincangan itu, katanya adalah Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), Persatuan Ajaran Taoism Malaysia dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) kerajaan Sarawak.
“Ini membuktikan kita mengambil kira untuk memberi penerangan dan pencerahan dan ia mesti bersifat inklusif dan merangkumi keseluruhan masyarakat.
“Insya-Allah kita akan teruskan lagi sesi libat urus agar semua memahami usaha ini bukan untuk politik, tetapi untuk memartabat dan mengangkat institusi perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Baca lanjut: PANDUANKINI l Apa polemik di sebalik RUU Mufti?
RUU itu berdepan kritikan daripada beberapa pihak, termasuk peguam hak asasi, Latheefa Koya, yang memberi amaran bahawa ia boleh membawa implikasi serius kepada umat Islam di negara ini.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyifatkan RUU itu sebagai membawa “takrifan sempit” dan tidak bersifat inklusif.
Titah baginda, ia akan menyebabkan negara-negara Islam lain mudah dianggap terkeluar dari kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah.
Kumpulan hak wanita Sisters in Islam pula menyuarakan kebimbangan, bahawa RUU itu akan memberikan kuasa tanpa kawalan kepada pihak berkuasa agama kerana mereka akan kebal terhadap tindakan undang-undang.
Sementara itu, sekumpulan 14 NGO yang berpangkalan di Sarawak dan Sabah itu pula mendakwa RUU berkenaan melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan merupakan serangan secara langsung terhadap sistem sekular di negara ini.





