26.3 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 6, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Empat Undang dakwa MB tandatangani proklamasi turunkan Tuanku Muhriz

    Shopee Sale

    Empat Undang, Tunku Besar Tampin dan Dato Shahbandar Sungai Ujong mendakwa Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, telah menandatangani proklamasi bagi melaksanakan penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada 3 Ogos lalu.

    Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam, mereka mendakwa Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar bersama mereka telah menerima menghadap Ismail di Istana Laguna Biru, Port Dickson, pada tarikh berkenaan.

    Menurut kenyataan itu, pertemuan tersebut diadakan bagi memperkenankan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

    "Dalam majlis mengadap itu, YAB Ismail Lasim turut menandatangani dan melengkapkan surat cara proklamasi di bawah Perkara 10 (2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), selaras dengan kewajipan perlembagaan beliau, di hadapan Raja Pemerintah Negeri Sembilan dan tetamu jemputan yang hadir dalam upacara ringkas yang diakhiri dengan bacaan doa selamat.

    "Semua Yang Teramat Mulia (YTM) Undang Yang Empat telah pun menandatangani Proklamasi di bawah Perkara 1O(2) UUTKNS, berserta menurunkan cop mohor masing-masing, pada 19 April 2026 bagi mengisytiharkan penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir," kata mereka.

    Sehubungan itu mereka menggesa proklamasi itu dikuatkuasakan serta-merta bagi memelihara kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

    "Maka dengan itu, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan semua ahli pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan disabdakan untuk mematuhi proklamasi tersebut dengan serta-merta dan menjujung keluhuran Perlembagaan tanpa berbelah bahagi," kata mereka.

    Untuk rekod, Ismail sebelum ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Tuanku Muhriz pada 2 Ogos selepas BN berjaya memenangi pilihan raya negeri yang berlangsung sehari sebelumnya.

    Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Mubarak Thahak yang mendakwa masih merupakan Undang Luak Sungai Ujong, Maarof Mat Rashad (Undang Luak Jelebu), Muhammed Haji Abdullah (Undang Luak Johol) dan Abdul Rahim Yasin (Undang Luak Rembau).

    Dua lagi ialah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, serta Dato’ Shahbandar Sungai Ujong, Badaruddin Mohd Khalid.

    Proklamasi yang didakwa ditandatangani Ismail pada 3 Ogos itu berbunyi:

    "Bahawasanya merujuk kepada Sabda Pengisytiharan Pemecatan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai duli yang maha mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan secara kebulatan oleh Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat menurut Perkara 10 (1) (b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 bertarikh 19 haribulan April 2026 yang telah sempurna ditandatangani dan dimeterai dengan cop mohor di atasnya;

    MENARIK:  'Henti projek lencana RM8.4 juta, guna dana untuk pendidikan sebenar’

    "Maka oleh yang demikian, pada memenuhi kehendak syarat Perkara 10 (2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan bagi maksud melaksanakan peruntukan tersebut, saya selaku Menteri Besar Negeri Sembilan dengan ini menurunkan tandatangan saya seperti di bawah".

    Mereka turut menegaskan bahawa Tuanku Muhriz tidak pernah mencabar penurunan takhta baginda pada 19 April mengikut Perkara 10(2) UUTKNS di mahkamah.

    Krisis adat dan takhta Negeri Sembilan

    Krisis adat dan takhta diraja Negeri Sembilan dilihat bermula pada 17 April apabila Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bersidang berhubung kedudukan Mubarak Thahak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.

    Dua hari kemudian, empat Undang termasuk Mubarak mengumumkan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar, dengan mendakwa tindakan itu dibuat berdasarkan Perkara 10(1)(b) UUTKNS.

    Mereka kemudian mengumumkan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar, sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baru.

    Bagaimanapun, pengisytiharan itu tidak diiktiraf kerajaan negeri dan mencetuskan pertikaian mengenai kesahan tindakan tersebut serta tafsiran terhadap peruntukan UUTKNS.

    Kemelut itu kemudian dibawa ke Mahkamah Tinggi Seremban apabila enam tokoh terbabit memfailkan saman pemula berhubung pertikaian dalam DKU.

    Pada 5 Jun, Mahkamah Tinggi Seremban memberikan injunksi ad interim yang antara lain menghalang keenam-enam plaintif daripada memanggil atau mengadakan mesyuarat DKU, termasuk Sidang Khas yang dijadualkan pada hari berkenaan, serta mengekalkan status quo pentadbiran DKU sementara prosiding mahkamah berjalan.

    Namun, krisis dalam institusi adat Negeri Sembilan terus berlaku.

    Pada 27 Jun, Muhammad Faris Johari dizahirkan sebagai Undang Luak Sungai Ujong ke-11 dengan gelaran Dato’ Klana Petra, manakala Hassan Ab Hamid dizahirkan sebagai Undang Luak Rembau ke-22 dengan gelaran Dato’ Sedia Raja pada hari yang sama. Kedua-duanya dizahirkan dalam istiadat berasingan di Istana Besar Seri Menanti.

    Pada 31 Julai, DKU mengiktiraf kedua-dua pelantikan itu dan memutuskan jawatan Undang Luak Jelebu kosong susulan penerimaan keputusan waris untuk memecat Maarof Mat Rashad, berkuat kuasa 31 Mei 2023.

    DKU turut menyatakan bahawa segala tindakan Maarof selepas tarikh tersebut dianggap tidak sah.

    Perkembangan itu kemudian membawa kepada pemasyhuran Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 pada 28 Ogos.

    Bagaimanapun, istiadat itu menyaksikan bantahan sekumpulan Dato’ Lembaga Luak Jelebu yang mendakwa Undang Luak Jelebu yang sah masih ada.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah