Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, menzahirkan sokongan penuh kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ismail berkata demikian susulan dakwaan empat Undang, Tunku Besar Tampin dan Dato Shahbandar Sungai Ujong bahawa dia telah menandatangani proklamasi bagi menurunkan takhta Tuanku Muhriz pada 3 Ogos lalu.
"Apa jua pandangan YTM Undang Yang Empat adalah hak mereka.
"Fokus saya kini adalah menjalankan amanah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat dan negeri.
"Saya bersama kerajaan negeri menzahirkan sokongan penuh serta taat setia kepada DYMM Tuanku Muhriz ibni almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan," ujarnya.

Kenyataan itu dilihat sebagai pendirian kerajaan negeri dalam kemelut berkaitan institusi adat dan takhta Negeri Sembilan yang berlarutan sejak April lalu.
Semalam enam tokoh adat berkenaan dalam satu kenyataan bersama mendakwa Ismail telah menandatangani proklamasi pada 3 Ogos lalu bagi melaksanakan peruntukan Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Kenyataan bertarikh 5 Sept itu ditandatangani oleh Undang Luak Sungei Ujong, Mubarak Thahak, Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol, Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin.
Turut menandatangani kenyataan itu ialah YTM Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Dato Shahbandar Sungei Ujong, Badarudin Abd Khalid.
Kenyataan itu menyebut semua Undang Yang Empat terlebih dahulu menandatangani proklamasi serta menurunkan cop mohor masing-masing pada 19 April lalu bagi mengisytiharkan penurunan takhta Tuanku Muhriz.
Mereka turut menggesa proklamasi berkenaan dikuatkuasakan serta-merta.
Bagaimanapun, Ismail dalam kenyataan terbarunya tidak mengulas secara terperinci mengenai dakwaan tersebut.





