Ketua jawatankuasa disiplin DAP Tony Pua membangkitkan persoalan mengenai risiko memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan reputasinya.
Itu kali kedua dia mengemukakan kebimbangan sedemikian secara terbuka dalam tempoh dua minggu.
Kenyataannya tertumpu kepada sama ada seseorang patut membawa “seseorang yang berkuasa” ke mahkamah, dan sama ada berbuat demikian akan mengundang lebih banyak laporan polis terhadapnya.
“Jika seseorang yang berkuasa tersilap fakta dan mencemarkan reputasi saya, bolehkah atau patutkah saya menyaman kerana memfitnah?
“Adakah saya mempunyai hak untuk membela diri? Atau adakah saya akan menerima lebih banyak laporan polis?” soalnya dalam hantaran ringkas di Facebook.

Dia tidak menyebut sebarang nama atau insiden khusus.
Namun tulisan bekas anggota parlimen itu dibuat selepas titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai laluan LRT3 Shah Alam.
Malaysiakini telah menghubungi Pua untuk mendapatkan komennya.
Mei lalu, laporan polis dibuat terhadapnya susulan kenyataannya bahawa Malaysia mengamalkan sistem raja berpelembagaan yang mana kuasa raja-raja Melayu secara amnya terhad kepada bidang tertentu.
Dia juga berkata rakyat Malaysia tidak “hidup dalam sistem yang mana raja boleh mengeluarkan titah perintah mengikat yang menggubal semua aspek kehidupan kita”.
Pada masa itu, kenyataan Pua dipercayai dibuat susulan titah Sultan Sharafuddin yang mencadangkan anggota Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan Wong Siew Ki dan bekas exco kerajaan negeri Ronnie Liu melawat Dataran Selangor untuk lebih memahami maksud Rukun Negara.
Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan Sultan Sharafuddin, menteri kewangan sebelum ini Lim Guan Eng dan Pua, sebagai pembantu menteri, mengurangkan kos pelaburan projek LRT3.

Titah baginda perkara itu dilakukan kerana mereka menganggapnya sebagai projek mega serta tidak faham bahawa LRT3 dibina untuk kemudahan rakyat.
Sultan Sharafuddin menambah bahawa saiz setiap stesen dikecilkan, bilangan gerabak dikurangkan, dan lima stesen dibatalkan.
Bagaimanapun, baginda mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mengembalikan semula lima stesen yang dibatalkan dan meluluskan pembinaan rumah mampu milik di sekitar stesen dan di sepanjang laluan LRT3.
Pada 22 Jun, Pua juga mengemukakan soalan yang sama, sambil memikirkan sama ada berbuat demikian boleh menyebabkan dia menghadapi masalah bawah Akta Hasutan.
Seperti hantaran terbarunya, dia tidak menyebut sebarang nama, tetapi kenyataan itu hadir selepas komen Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika negeri itu bersiap sedia untuk pilihan raya negeri.
“Apabila ahli keluarga diraja kanan terlibat secara terbuka secara langsung (atau secara tidak langsung) dengan politik dan kempen politik, menunjukkan berat sebelah dan keberpihakan, adakah mereka tidak tertakluk kepada sanggahan dan bidasan?” soal Pua.
"Dalam kes sedemikian, adakah ahli keluarga diraja ini kebal daripada kritikan? Adakah Akta Hasutan masih terpakai?” katanya lagi.





